Saturday, May 8, 2010

Moq sertai Rentak Juara 2010


Pastikan anda tidak ketinggalan menonton episod suku akhir Rentak Juara 2010 yang akan bersiaran secara langsung pukul 9 malam ini di saluran TV2, RTM.


PROGRAM menjejaki kumpulan muzik yang dirintis oleh RTM, Rentak Juara 2010 yang bermula minggu lepas memperlihatkan rancangan berkenaan mampu melahirkan band-band yang bakal mewarisi kegemilangan industri muzik tanah air.

Masakan tidak, berdasarkan ulasan barisan juri profesional terhadap persembahan band-band yang beraksi pada peringkat suku akhir Rentak Juara 2010 minggu lepas, rancangan ini secara umumnya merupakan sebuah platform yang wajar diberi perhatian yang serius.

Pada episod suku akhir minggu lepas, dua buah kumpulan yang layak mara ke peringkat separuh akhir ialah kumpulan The Fingers serta kumpulan Silversound.

Persembahan kumpulan The Fingers disifatkan oleh juri Eddie Kismilardy dari Rentak 50 sebagai kumpulan yang mempunyai skil persembahan yang hebat.

Penggiat muzik terkenal, Roslan Aziz pula memberikan kredit pada persembahan kumpulan Silversound yang dianggapnya sebagai kumpulan yang benar-benar menghiburkan dari awal hingga akhir persembahan.

Seorang lagi juri profesional Datuk David Arumugam (Allyecats) turut sependapat dengan Eddie dan Roslan terhadap persembahan band-band yang bertanding minggu lepas.

Malam ini, episod suku akhir Rentak Juara 2010 akan menyaksikan lima buah band lain mengadakan persembahan dan sekali gus perlu menarik perhatian juri profesional untuk memilih dua buah band untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Dengan tema filem yang ditetapkan oleh penerbit, kesemua lima band yang akan menyahut cabaran malam ini terdiri daripada band-band yang mempunyai pengalaman tersendiri.

Namun begitu, salah sebuah band yang akan menjadi perhatian pastinya kumpulan Razor yang dianggotai oleh vokalisnya yang suatu ketika dahulu pernah menjadi vokalis kumpulan Search (di era kemelut kumpulan Search), Moq.

Moq bersama band bernama Razor khabarnya akan mengadakan persembahan yang hebat untuk memberi saingan kepada kumpulan The Crown dari Johor Bahru (JB).

Tidak ketinggalan kumpulan Mistaken juga dari JB tentunya akan mengingatkan penonton kepada kumpulan ini yang pernah menyertai Rentak Juara musim kedua dan ketiga.

Kumpulan ini pernah menjadi finalis pertandingan ini tetapi sayang sekali rezeki tidak berpihak kepada mereka.

Episod malam ini juga tentunya akan bertambah menarik dengan kehadiran band bernama Putrasari dari Seremban. Ini kerana kumpulan ini merupakan antara band yang menjadi favourite ramai kerana semasa sesi pemilihan pada uji bakat, Putrasari merupakan band yang memperoleh markah tertinggi daripada juri.

Tentunya Rentak Juara 2010 malam ini juga mempertaruhkan kumpulan Bintang yang pada musim pertama dahulu pernah menjadi finalis serta meraih kategori Kumpulan Paling Popular Rentak Juara 2004.

Kemunculan Bintang kali ini bersandarkan pada vokalis baru yang tentunya menjanjikan persembahan yang berbeza.

Rentak Juara 2010 malam ini akan diserikan dengan kehadiran artis muda Ana Rafalli & The Marhaens.

Namun begitu, kehadiran penyanyi dari seberang Harvey Malaiholo pula tentunya akan menarik perhatian peminat-peminat penyanyi legenda itu.

Persembahan Harvey malam ini akan diiringi oleh Kombo RTM di bawah pimpinan Datuk Mokhzani Ismail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: