![]() |
| Semua lubang di Shan Shui menuruni bukit seperti lubang 10 par-5 ini. |
SEJAK mula dibuka pada 12 tahun lalu, Kelab Golf Shan Shui (SSGC) di Tawau, Sabah sering menjadi buah mulut kaki golf di negara ini.
Ramai yang ingin beraksi di lapangan itu tambahan pula ia mendapat pengiktirafan sebagai yang terbaik di Asia.
Majalah Golf Magazine, Amerika Syarikat pernah menyenaraikan lubang 15 Shan Shui sebagai 500 lubang terbaik dan 250 par-4 terbaik dunia.
Ini satu reputasi yang cukup hebat untuk Shan Shui.
Sebab itu lapangan rekaan Nelson & Haworth sepanjang 6,664 meter (antara lapangan terpanjang di negara ini) sering menjadi igauan kaki golf.
Kali pertama 'bersemuka' dengan Shan Shui memang sudah boleh merasa akan kehebatan dan cabaran yang menunggu.
Biarpun keadaannya tidak betul-betul sempurna (banyak rumput di fairway dan green mati), tetapi reka bentuknya yang dikelilingi alam semula jadi cukup mengujakan.
Beraksi di Shan Shui ibarat meneroka keindahan alam semulajadi.
Dengan dikelilingi hutan hujan tropika yang berusia ribuan tahun, desiran aliran sungai cukup menenangkan.
Pemain juga diingatkan supaya tidak terlalu teruja dengan elemen semulajadi itu.
Di lubang tiga par-3, kolam yang terletak antara tee box dan green dihuni buaya liar yang merupakan penghuni asal kawasan berpaya itu.
Jika bernasib baik pemain boleh melihat buaya tersebut berjemur di green atau tee box.
Terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Tawau dan 20 kilometer dari lapangan terbang, Shan Shui sesuai untuk semua lapisan pemain.
![]() |
| Tanda amaran kehadiran buaya pada lubang tiga par-3. |
Bagi yang berhandikap tinggi mungkin akan terasa sukar atau mengah kerana lapangan ini panjang. Tetapi, keindahan alamnya membolehkan kita lupa permainan yang buruk.
Namun, tidak bermakna pemain berhandikap rendah atau tunggal boleh tunjuk lagak apabila beraksi di sini. Jika bercita-cita tinggi atau terlalu yakin pemain pasti akan terhukum. Setiap lubang di Shan Shui ada helah tersendiri. Ada yang nampak mudah dan pendek, tetapi ada aliran jeram merentasinya menyebabkan pemain terpaksa lay-up.
Dibina di kawasan seluas kira-kira 220 hektar, beraksi di sini memerlukan kita memanjat bukit, menuruni lembah dan merentasi jeram.
Dengan latar belakang kehijauan gunung, greennya cukup mencabar dan tidak boleh diambil mudah.
Dibuka pada 1997 lapangan par-72 ini pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan Jelajah Asia, Sabah Masters pada 1998.
Sebahagian daripada lapangan ini adalah estet getah dengan sebatang sungai iaitu Sungai Buaya mengalir merentasinya.
Di tebing sungai ini merupakan hutan hujan semula jadi yang mengandungi pelbagai jenis flora dan fauna termasuk pokok beruang madu setinggi kira-kira 70 meter.
Kawasan tertinggi di lapangan ini membolehkan pemain melihat terus ke Laut Sulawesi.
Semua lubang di sini (kecuali selubang) menuruni bukit, menjadikan ia lebih dramatik dan menarik.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: