Saturday, May 8, 2010

Memastikan khazanah laut tidak pupus


Crown of thorn turut dibersihkan kerana ia boleh merosakkan terumbu karang.


MENYELAMI dunia skuba - mungkin ramai yang beranggapan bahawa ia lebih kepada aktiviti rekreasi atau santai untuk keseronokan semata-mata.

Pastinya apabila berada di dasar laut, banyak keindahan dan keunikan dapat dilihat sama ada membabitkan spesies ikan atau terumbu karang.

Pelbagai spesies hidupan laut seperti ketam, udang, penyu, jerung dan sebagainya dapat dilihat apabila berada di dasar laut.

Pastinya ini dapat menyejukkan hati para penyelam selain keindahan serta keunikan terumbu karang yang berwarna-warni.

Ketika menjalankan aktiviti menyelam, selain keindahan yang ditemui, jangan terkejut jika terserempak dengan pelbagai barangan tidak sepatutnya berada di dasar laut.

Ia merupakan barangan yang dibuang ke dalam laut disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah masyarakat.

Segala sampah-sarap yang dicampak ke laut itu bukan sahaja menyakitkan mata, malah mencemarkan keindahan dasar laut.

Lebih menakutkan ia akan menyebabkan kerosakan pada terumbu karang dan seterusnya menjejaskan pembiakan hidupan laut di sekitarnya.

Terumbu karang cukup sensitif dengan pencemaran. Malah untuk tumbuh ia mengambil masa puluhan serta ratusan tahun.

Kehadiran sampah-sarap ini juga menyebabkan hidupan laut seperti ikan, penyu dan banyak lagi mula pupus disebabkan habitat mereka telah diganggu.

Mungkin ada di kalangan kita termasuk segelintir nelayan atau individu yang tidak begitu merasakan kesan akibat daripada kerosakan ini.

Namun, kajian oleh banyak pihak termasuk pakar-pakar maritim, universiti dan sebagainya, menunjukkan kesan pada kehidupan laut dan terumbu karang sebenarnya sudah berlaku dan ia semakin hari amat membimbangkan.

Tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini seperti terumbu karang dan pelbagai spesies ikan, akan pupus jika kerosakan yang berlaku tidak dikawal.

Bagi generasi yang ada sekarang, kesan berkenaan mungkin tidak seberapa menimbulkan kesedaran namun ia akan memberi impak besar kepada generasi pelapis.

Banyak akibat lain yang bakal ditanggung oleh negara apabila keadaan ini berterusan termasuk pendapatan dari sektor pelancongan berkurangan berikutan kurangnya kehadiran pelancong.

Begitu juga dengan golongan nelayan yang akan menanggung risiko apabila pendapatan mereka kian berkurangan disebabkan spesies ikan mula pupus.

Bagi para penyelam pula mereka mula beralih arah ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan sebagainya apabila terumbu karang mula rosak dan mati.

Moralnya, kita sendiri bakal menanggung kerugian besar jika khazanah laut ini tidak dijaga, dihargai dan dipulihara mulai sekarang dan secara berterusan.

Dalam hal ini, Ocean Elements yang memang terkenal dengan kegiatan menyelam telah mengambil inisiatif untuk membantu pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri memulihara khazanah laut.

Baru-baru ini Ocean Elements telah mengumpulkan ahli-ahlinya bagi menjayakan program pembersihan sampah-sarap di dasar laut di Pulau Tenggol, Terengganu.


para penyelam Ocean Elements bersama sampah-sarap yang berjaya dibawa naik ke daratan di Pulau Tenggol.


Program pembersihan sampah-sarap di dasar laut itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Za'abar Mohd. Adib.

Apa yang mengagumkan ialah para penyelam ini telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menjayakan aktiviti tersebut atas dasar prihatin, bertanggungjawab dan cintakan alam semulajadi.

Selain perbelanjaan sendiri, mereka juga sanggup mengambil cuti tahun bagi memastikan program anjuran Ocean Elements itu mencapai matlamatnya.

Selama tiga hari mereka menyelam di beberapa lokasi berasingan untuk membersihkan kawasan dasar laut sekitar Pulau Tenggol.

Antara sampah-sarap yang berjaya dibawa naik ke daratan ialah botol kaca, tin, pukat dan banyak lagi.

Malah banyak lagi sampah-sarap seperti besi, tong, pukat dan sebagainya yang berat-berat tetapi sukar untuk dibawa naik ke daratan.

Turut dibawa naik ke daratan ialah crown of thorn (COT) - sejenis landak laut yang memakan dan merosakkan terumbu karang.

Dianggarkan lebih 15 botol kaca, 32 tin, 40 kilogram pukat dan 80 ekor COT berjaya dibawa naik ke darat oleh para penyelam berkenaan.

Pengarah Ocean Elements, Mohd. Halimi Abdullah berkata, terlalu banyak sampah-sarap di situ dan kebanyakannya sudah berada di dasar laut berpuluh tahun.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu perlu dilakukan sepanjang tahun jika masyarakat mahu melihat dasar laut di negara ini benar-benar bersih dan kehidupan laut dapat membiak.

''Kerja-kerja pembersihan dasar laut ini perlu dilakukan sepanjang masa dan mengambil masa bertahun-tahun.

''Terlalu banyak sampah-sarap seperti pukat dan sebagainya.

''Ia harus dilakukan secara berhati-hati kerana ia boleh merosakkan terumbu karang,'' katanya.

Mohd. Halimi menambah, program pembersihan dasar laut itu diakui memenatkan para penyelam, tidak seperti aktiviti selam santai.

''Semasa menyelam, sampah-sarap itu perlu dipotong dan diletakkan dalam jaring. Kita akan pastikan terumbu karang tidak rosak.

''Kebanyakan sampah-sarap ini memang berat dan para penyelam terpaksa menggunakan tenaga yang kuat untuk membawanya naik ke daratan,'' katanya.

Beliau berkata, selain Pulau Tenggol, Ocean Elements turut menjalankan program yang sama di pulau-pulau lain di seluruh negara.

''Kita telah menjalankan program ini di beberapa negeri lain. Namun, semua ini bergantung kepada para penyelam. Mereka menggunakan perbelanjaan sendiri, mengambil cuti dan sebagainya. Mereka lakukan ini secara sukarela,'' katanya

Sementara itu, Za'abar ketika ditemui menyatakan, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan sejumlah bajet bagi memastikan program pembersihan dasar laut itu dapat diteruskan.

Beliau berkata, program tersebut amat bermakna kerana ia dapat mengekalkan kecantikan alam semulajadi di dasar laut.

''Kita sedar bahawa para penyelam ini mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai program ini.

''Bagi kerajaan negeri, kita sanggup menyediakan bajet kepada pihak-pihak yang menjalankan aktiviti seperti ini termasuk Ocean Elements,'' katanya.

Bagi mereka yang berminat menyertai aktiviti membersihkan sampah-sarap di dasar laut boleh menghubungi Mohd. Halimi di talian 012-3787926 atau e-mel halimi@oceanelements.my atau layari web www.oceanelements.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: