Saturday, May 8, 2010

Melayan trek gunung Bunga Buah


PENULIS (tengah) bersama rakan yang menyertai ekspedisi mendaki gunung Bunga Buah dekat Genting Highlands, baru-baru ini.


SETELAH dua perancangan ke gunung ini gagal dilaksanakan saya nekad untuk memastikan rancangan kali ketiga berjaya. Walau apapun yang berlaku, tekad dan azam untuk menakluk akan diusahakan juga.

Itulah cabaran awal dalam ekspedisi mendaki Gunung Bunga Buah di Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu. Hakikatnya puncak gunung di ketinggian 4,690 kaki dari paras laut itu telah lama 'memanggil' saya.

Perjalanan bermula sebaik sahaja saya meninggalkan pejabat pada pukul 8 malam pada 12 Mac lalu. Entah kenapa jalan raya MRR2 dari Pandan Indah menghala ke rumah saya di Taman Ukay Perdana, Ampang sesak teruk. Kesesakan yang berlaku menyebabkan saya terlewat satu jam setengah untuk mengambil seorang rakan, Kamariah Ismail (Kak Kay) di Gombak.

Selepas mengambil Kak Kay, kami terus ke hentian tol Gombak di Lebuh Raya Karak. Di situ, kami bergabung dengan empat rakan pendaki dari Kelab Rekreasi Majlis Perbandaran Subang Jaya. Mereka ialah Isham Abu Kassim, Aznan Ramli, Radzween Hassan dan Nizam Yusof.

Tanpa melengahkan masa, saya memecut Kembara yang berusia hampir enam tahun membelah kegelapan malam di laluan berbukit. Kami tiba di sebuah restoran mamak bersebelahan hotel Seri Malaysia, Genting Highlands, Pahang sekitar pukul 11.30 malam.

Rakan baik saya, Isham bersama tiga rakan yang lain tidak muncul-muncul walaupun kami telah berjanji untuk berkumpul di restoran tersebut.

Rupa-rupanya, mereka berhenti makan di R&R Genting Sempah dan memandangkan hari telah larut malam, saya menelefonnya dan memberitahu supaya berjumpa di lobi resort yang kami telah tempah beberapa hari sebelum ekspedisi.

Hampir pukul 1 tengah malam, barulah kami bertemu dan setelah mendaftar masuk di Genting Highlands Resort, kami terus membuat persiapan untuk mendaki keesokan paginya. Persiapan itu adalah tidur lebih awal kerana esok kami bakal memerah tenaga untuk melakukan pendakian sehari suntuk tanpa bermalam di dalam hutan.

Sekitar 6 pagi saya dan Kak Kay terjaga dari tidur. Selepas solat Subuh, kami terus mendaftar keluar dan menuju ke restoran mamak yang kami singgah semalam untuk sarapan.

Hampir 15 minit berlalu, barulah Isham dan rakan-rakannya muncul. Kami berbual tentang trek yang bakal ditempuh. Dalam kalangan kami, hanya Nan yang pernah ke gunung ini.

"Kau ingat lagi ker… trek ke puncak," tanya saya kepada Nan. "Insyaallah … ingat," jawab Nan ringkas sebelum mengarahkan saya memandu mengikut kereta Vios hitam yang dipandunya.

Kami memberhentikan dan memarkir kereta di tepi sebuah kebun sayur. Selepas melakukan senaman regangan yang tidak sampai lima minit, kami terus menyusun langkah pertama menuju ke puncak gunung Bunga Buah pada pukul 8.35 pagi.

"Wah… terus mencanak trek ni," rungut saya kepada Nan yang berjalan di hadapan. Itulah 'sajian' kami pada awal pagi. Laluan yang menegak itu memang sukar untuk dilepasi jika kemudahan tali tidak dipasang di beberapa bahagian yang curam.

Terdapat tiga laluan bertali di sepanjang trek ini. Kami mendaki tanpa henti selama kira-kira 45 minit apabila akhirnya tiba di sebatang jalan raya lama yang tidak lagi digunakan.

Sempat juga kami bergambar bersama seekor kala jengking yang kebetulan berada di atas jalan raya yang masih berturap itu.

Memandangkan puncak masih jauh, kami meneruskan perjalanan dengan menempuh laluan bertar sebelum membelok ke kiri menuju ke laluan yang dipenuhi semak samun. Rupa bentuk laluan memang tidak kelihatan kerana semak yang terlalu tebal dan tinggi telah melitupinya.

Berjaya melepasinya membuatkan segala rasa bosan dan menyampah menempuh trek lalang yang panjang tadi lenyap. Kali ini, kami melayan trek gunung pula dan ia memang mengujakan. Selepas mendaki sebuah bukit, kami menempuh perjalanan turun yang sangat panjang. Memang seronok menuruni bukit tetapi bayangkan pula perjalanan balik nanti.

Mencabar minda

Kami terus berjalan tanpa rehat sehingga tiba di satu kawasan yang dipenuhi batu-batu besar dan sesetengahnya diliputi lumut berwarna oren. Terdapat beberapa spesies bunga-bunga kecil yang cantik. Keindahan flora dan fauna di gunung ini memang mengujakan.

Kuntuman orkid liar berwarna putih dan ungu, bunga seakan-akan trompet berwarna putih susu dan bunga-bunga lain yang ditemui sepanjang perjalanan ke kawasan ini merupakan antara khazanah alam yang begitu cantik untuk diungkapkan dengan kata-kata.

"Orang panggil kawasan ini… Kebun Batu," kata Nan .

Lokasi Kebun Batu di tengah permatang gunung membuatkan kami terdedah pada tiupan angin yang sejuk tetapi menyegarkan. Ini membuatkan kami melepak agak lama di situ. Sambil menjamu mata dengan panorama pergunungan yang cantik, kami menikmati bekalan makanan ringan yang dibawa.

"Ada lagi sejam …sampailah kita ke puncak," kata Nan.

Mendengar kata-kata itu, semangat kami untuk ke puncak terus membara. Namun, sebelum itu saya perlu menyelesaikan dahulu satu masalah yang muncul tanda diduga. Kasut yang menyarung kaki saya telah tercabut tapaknya. Terpaksalah saya mengikatnya dengan tali kasut yang ditemui di Kebun Batu.

Kami terus berjalan tetapi setelah sejam berlalu dan puncak masih tidak dijejaki, hati saya mula tertanya-tanya. Melihat persekitaran dan trek yang dijejaki, saya yakin puncak masih jauh. Kami terus berjalan sehinggakan peluh mula membasahi pakaian.

Akhirnya saya sampai di puncak pada pukul 12.15 tengah hari. Puncak gunung Bunga Buah kecil sahaja dengan sebuah beirut terpacak di tengahnya. Hanya kawasan beirut itu sahaja merupakan kawasan lapang dan kami terpaksa berkongsi kawasan yang sempit itu dengan dua kumpulan pendaki lain iaitu pelajar UiTM dan dua pendaki dari pasukan Bomba Kuala Kubu Bahru.

Hidangan makan tengah hari kami adalah mi segera perasa kari, biskut kering dan buah epal. Kopi 3+1 panas sumbangan kenalan baru dari pasukan bomba menyegarkan tekak kami. Banyak juga yang kami bualkan terutama mengenai pengalaman mendaki masing-masing. Sekitar pukul 1.50 petang, kami mula menuruni gunung dan perjalanan balik, rupa-rupanya lebih mencabar.

Bukit terakhir memang betul-betul mencabar minda dan fizikal kami. Namun, ada satu peristiwa agak lucu berlaku. Radzween yang baru kali kedua mendaki gunung dan kurang pengalaman tentang selok belok pendakian telah melakukan satu 'kesalahan' besar.

"Eh… kenapa buang kayu tu?" soal saya kepadanya tatkala melihat dia mencabut dan membuang kayu yang digunakan untuk menutup satu simpang di kanan laluan kami.

"Kenapa… kalau tak cabut kayu ni… nanti orang tak boleh lalu," jawabnya.

"Memang tak nak bagi orang lalu kat situ… Itu bukan trek gunung… mungkin trek haiwan, sebab itulah kena tutup," jawab saya yang baru menyedari Radzween rupa-rupanya tidak tahu tujuan kayu tersebut dipacak di situ.

"Lain kali… kalau jalan dalam hutan… jumpa kayu macam itu yang merentangi dan menutup laluan, jangan masuk ke situ … nanti sesat. Ikut saja laluan yang macam ni," ujar saya sambil menunjukkan trek betul yang ditempuhi kami.

Secara keseluruhan, pendakian Bunga Buah tidaklah sukar dan kami dapat melepasi setiap halangan tanpa banyak masalah. Selepas seharian melayan trek gunung Bunga Buah, dapatlah disimpulkan bahawa gunung ini sesuai untuk aktiviti latihan sebelum seseorang mendaki gunung-gunung lain yang lebih mencabar dan tinggi seperti Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: