Wednesday, May 12, 2010

Masih mencari...Nur Fazura

pix_gal0
Nur Fazura sudah bayangkan gaun pengantin yang diimpikan

SELEPAS menceriakan layar lebar pada tahun lalu menerusi filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly, nampaknya pelakon cantik Nur Fazura bagai menyepikan diri. Tidak banyak khabar yang didengar mengenai pelakon Gol & Gincu itu sejak akhir-akhir ini.Si empunya diri juga nampaknya lebih selesa mendiamkan diri seandainya tiada projek terbaru, sama ada lakonan di filem mahupun televisyen, yang harus dikongsinya bersama peminat. Nasib baiklah wajah jelita itu sering kali muncul di akhbar dan majalah, menerusi iklan produk kecantikan yang diwakilinya. Paling tidak, hilang juga rindu peminatnya.
Amat difahami apabila Fazura lebih suka mengambil sikap berdiam diri tatkala berasakan dirinya tidak perlu muncul mempromosikan sesuatu produk. Jauh di sudut hati, dia ingin sekali mengelakkan dirinya daripada segala cerita yang berbaur kontroversi.

Tambahan pula pernah suatu ketika dia dikaitkan dengan keluarga diraja dan menyebabkan pelakon ini terus mengambil sikap mendiamkan diri. Setakat ini, Fazura enggan memberi sebarang ulasan kerana berasa tidak perlu cerita itu meleret-leret. Setidak-tidaknya pelakon ini dapat mengurangkan kisah sensasi dirinya.

Begitupun, sebagai insan terkenal, tentunya gerak-geri Fazura sentiasa diperhati. Jika bukan peminat yang dahagakan khabar berita mengenainya, wartawan hiburan juga sudah tentu teringin sekali mendapatkan cerita terbaru daripada wanita berkenaan.

Justeru, apabila dikhabarkan pelakon berusia 26 tahun ini akan muncul dalam sebuah rancangan bual bicara wanita di sebuah stesen TV baru-baru ini, maka tumpuan diberikan seketika kepada kaca televisyen, apatah lagi apabila Fazura dijadualkan berbicara mengenai gaun pengantin!
Terdetik juga di hati, apakah akan ada pengumuman istimewa daripada wanita anggun ini sewaktu muncul secara langsung dalam rancangan itu nanti?

Selain daripada Fazura, turut diundang menjayakan program tengah hari itu ialah pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini. Mereka memperkatakan mengenai topik gaun pengantin, serta segala perkara berkaitan dengan busana yang dipakai ratu sehari pada hari yang cukup bermakna terbabit.

Sejak awal-awal lagi diusik dengan pertanyaan mengenai majlis perkahwinannya sendiri, Fazura memaklumkan, dia tidak mengetahui bilakah tarikh bersejarah itu akan tiba dan menyerahkan segala-gala kepada takdir.

Sebelum itu Fazura mengaku, dia menyukai gaun pengantin ala Grace Kelly yang direka pereka berkenaan, yang dikira tidak mendedahkan, serta tidak dikaburi begitu banyak perincian. Katanya, gaun itu cukup disenanginya kerana ia mampu untuk kelihatan menarik dengan sendirinya, tanpa bantuan perincian yang berlebih-lebih.

"Saya seorang wanita yang bersederhana. Justeru, saya inginkan gaun pengantin yang sederhana juga, tetapi tetap cantik. Lagi pun, perkara yang lebih penting apabila berbicara mengenai majlis perkahwinan ialah perhubungan itu sendiri.

“Asalkan hubungan itu berkekalan, ia mengatasi perkara lain," katanya dalam rancangan yang disiarkan mulai jam 12 tengah hari itu.

Fazura turut memberitahu betapa dia sebenarnya sukakan elemen tradisional pada baju pengantin. Di samping potongan moden, gaun yang diperindahkan dengan sentuhan tradisional tetap menjadi pilihan wanita ini.

"Saya mungkin akan memakai kain layah apabila saya berkahwin nanti. Saya rasa, kain layah menampakkan ciri kewanitaan seseorang pengantin.

"Saya juga berasakan saya tidak perlu memakai gaun yang panjangnya meleret-leret pada hari persandingan. Bagi saya, orang ramai bukannya mahu melihat gaun yang dipakai, tetapi pengantin itu sendiri. Apakah pengantin kelihatan berseri-seri atau sebaliknya, itulah yang ingin mereka saksi," ujarnya.

Fazura berulang kali menyatakan, betapa dia mementingkan elemen kesederhanaan apabila bercerita mengenai gaun pengantin. Namun, dia tidak menolak pandangan sesetengah wanita hari ini yang lebih sukakan gaun yang bergemerlapan serta penuh dengan perincian, kerana cita rasa masing-masing tidaklah sama.

Ketika yang sama pelakon dan pengacara ini mengaku, dia sanggup berbelanja lebih dalam memastikan gaun pengantinnya direka secantik mungkin.

"Hari perkahwinan ialah hari yang amat penting. Ia berlaku sekali seumur hidup. Jadi, rasanya amat berbaloi jika kita mengeluarkan belanja yang lebih sikit untuk mendapatkan gaun yang meletup.

"Berapa banyak yang akan saya belanjakan itu, kenalah tengok akaun bank dulu. Tetapi saya sanggup berhabisan untuk mendapatkan gaun yang cantik," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: