Tuesday, May 11, 2010

Malbatt, Malcon diterima penduduk Lebanon


Seorang doktor daripada pasukan Malcon East 5 merawat kanak-kanak lebanon yang luka melalui program medicare.


KEHADIRAN pasukan Batalion Malaysia 2 (Malbatt 2) di di At Tiri dan Kontinjen Malaysia (Malcon East 5) di Kaoukaba, Lebanon diterima baik oleh penduduk tempatan.

Komander Malbatt 2, Kolonel Mohd. Nizam Jaafar berkata, setakat ini, penerimaan penduduk tempatan amat baik.

Katanya ia mungkin disebabkan tentera Malaysia telah berada Lebanon sejak kehadiran Kontinjen Malaysia (Malcon) West 1 pada 22 Oktober 2007 sebelum diikuti Malcon West 2 dan Malbatt 1.

"Khidmat bakti kami di sini ialah melalui projek kemasyarakatan kepada penduduk setempat dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah serta pihak berkuasa tempatan untuk menilai beberapa projek kemasyarakatan lain yang boleh kami laksanakan secara bersama,'' ujarnya lagi.

Antara khidmat masyarakat yang dirancang ialah Bantuan Perubatan (MEDICARE) kepada 14 kampung di kawasan seliaan Malbatt 2.

Program komuniti kampung itu turut membabitkan perbincangan ke arah keperluan meningkatkan kemudahan kampung tersebut untuk dimajukan kepada pihak Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).

Selain itu pasukan Malbatt 2 turut mengadakan sukan rakyat dengan penduduk tempatan selain kelas bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, selain Malbatt 2, terdapat sebuah lagi pasukan pengaman yang beroperasi 53 kilometer ke sebelah timur sempadan Lebanon-Israel iaitu Malcon East 5 dengan kekuatan 300 orang yang berpangkalan di Kaoukaba.

Pasukan itu dipimpin oleh Komandernya, Leftenan Kolonel Subari Tomo.

Ia memulakan misi tugasan sebagai pasukan pengaman di Lebanon lebih awal berbanding pasukan Malbatt 2 iaitu pada 21 Januari lalu. Kedudukan kem mereka hanya 12 kilometer dari sempadan Israel.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai misi yang sama iaitu melaksanakan tugas sebagai untuk menstabilkan keamanan di rantau berkenaan melalui tugas-tugas yang diatur.

Menariknya, pasukan itu bakal diberi tambahan tanggungjawab dengan mengambil alih satu lagi kem baru iaitu Posn 4-23 yang terletak tidak jauh kem utama Malcom East 5 iaitu di Posn 7-4 di Kaoukaba dengan tumpuan tugas sebagai pasukan sokongan kepada pasukan dari Sri Lanka.

Menurut Subari, tanggungjawab baru yang diberi itu akan meluaskan kawasan tanggungjawab Malcon East 5 daripada kawasan seluas 8 kilometer persegi kepada 22 kilometer persegi.

"Ini akan memberi ruang atur gerak yang lebih luas kepada anggota-anggota Malcon sekali gus meningkatkan lagi kepentingan dan pengaruh Malcon yang secara tidak langsung ia menjadi platform kepada pasukan itu untuk menaikkan lagi imej negara kita di Lebanon,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: