Tuesday, May 11, 2010

Mahkamah Khas tak cukup kuorum


Mahkamah Khas di Putrajaya tempat berlangsungnya permohonan hebeas corpus berkaitan isu Sultan Kelantan.Mahkamah Khas di Putrajaya tempat berlangsungnya permohonan hebeas corpus berkaitan isu Sultan Kelantan.Mahkamah Khas tak cukup kuorum


PUTRAJAYA - Pendengaran permohonan writ habeas corpus yang berkaitan dengan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra oleh Mahkamah Khas di sini semalam ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum.

Hanya empat hakim menduduki panel itu semalam, sedangkan Artikel 182 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan jumlahnya perlu mencukupi lima orang.

Peguam Sultan Kelantan, Gobind Singh Deo berkata, ia ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan bagi membolehkan seorang lagi hakim dilantik bagi mencukupkan kuorum di samping membolehkan para responden yang diwakili Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail menfailkan afidavit mereka.

"Walaupun baginda sudah dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian semalam (kelmarin) masih ada beberapa perkara yang mempunyai kepentingan awam, kepentingan nasional dan antarabangsa yang semuanya perlu diselesaikan di mahkamah.

"Prosiding ini perlu diteruskan walaupun kes tersebut dianggap sebagai akademik kerana pihak mahkamah mesti menyelesaikan perkara itu," kata beliau selepas prosiding ditangguhkan di Mahkamah Khas di sini semalam.

Prosiding pada pukul 9.15 pagi yang berlangsung selama setengah jam dengan panel diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi itu diadakan secara tertutup selaras dengan Seksyen 14A peraturan Mahkamah Khas 1994.

Tiga lagi hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Datuk Linton Albert.

Mahkamah Khas buat masa ini kekurangan seorang lagi ahli panel yang mesti dilantik di kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan atau Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ia dapat mendengar writ habeas corpus Sultan Kelantan.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda di bawah Artikel 182 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima orang Mahkamah Khas itu perlu terdiri daripada Ketua Hakim Negara yang juga bertindak sebagai pengerusi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Besar Malaya dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang akan dilantik oleh Mesyuarat Raja-raja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: