Friday, May 7, 2010

LZS 'sinari' Idris sekeluarga


MUHAMMAD Idris Abdullah dan Siti Maryam @ Moganeswari Abdullah bertekad mahu berusaha mengeluarkan diri mereka daripada kategori asnaf.


SAUDARA baru atau mualaf adalah asnaf yang utama di dalam zakat. Mereka disebut oleh Allah SWT pada posisi keempat selepas fakir, miskin dan amil. Menyantuni mualaf juga merupakan keutamaan Rasulullah SAW.

Bahkan pada zaman dahulu, mualaf bukan sekadar mereka yang baharu memeluk Islam bahkan merangkumi mereka yang 'ada hati' dengan Islam.

Zakat diberi, dengan tujuan menyuburkan rasa kasih mereka kepada Islam dan akhirnya mereka reda menyerahkan diri kepada Allah SWT sebagai muslim sejati.

Jejak Asnaf kali ini, sekali lagi melewati sebuah keluarga saudara baru yang ditimpa ujian akibat penderitaan penyakit dan kemiskinan.

Mereka ialah pasangan Muhammad Idris Abdullah, 38, dan isterinya, Siti Maryam @ Moganeswari Abdullah, 34, bersama dua anak mereka, Muhammad Adam, 4, serta Muhammad Arif, dua bulan. Berasal dari Kemaman, Terengganu dan kini mendiami teratak serba sederhana di Sepang, Selangor.

"Alhamdulillah, kami menerima hidayah ini semasa di Terengganu pada tahun 2007. Ketika itu, kebaikan hati budi dan akhlak yang dipamerkan oleh jiran tetangga dan kawan-kawan di sana, amat menarik hati.

"Mereka melayan kami dengan baik walaupun berbeza agama dan bangsa. Ia menjadi detik permulaan hidayah Allah kepada kami," demikian kata Maryam.

Idris ketika itu berkerja sebagai pemandu jentera kayu. Mereka kemudiannya dipelawa oleh seorang kenalan untuk berhijrah ke Selangor. Kononnya, mereka ditawarkan untuk mengendalikan sebuah kedai makan. Tertarik dengan pelawaan itu, Idris membawa keluarganya berpindah ke Selangor.

Tetapi kedatangan mereka ke Selangor dengan harapan memulakan perniagaan tidak kesampaian.

Idris pula disahkan mengidap penyakit batuk kering (TB) yang memerlukan rawatan intensif.

Terlantar akibat menderita TB, Idris tidak mampu melakukan pekerjaan berat untuk menyara keluarga.

Maka terpaksalah Maryam bekerja untuk mencari rezeki menyara keluarga.

Apa saja kerja halal yang mampu memberi rezeki kepadanya dia lakukan. Sama ada kerja di rumah orang atau di kedai makan. Dia tidak memilih demi sesuap nasi

Malah ketika itu Maryam hamil, namun dia pasrah walaupun suaminya terlantar.

"Sewa rumah kami tertunggak. Pendapatan isteri pula sekadar cukup-cukup makan sahaja. Manalah kami mampu membayar sewa rumah ini," kata Idris.

Keadaan rumah sewa mereka memang cukup sederhana. Hanya ada sebuah televisyen lama. Tiada perabot besar apatah lagi permaidani mahal mengalas lantai.

Anak kecil Idris juga hanya berlampin kain dan terbaring di atas tikar plastik mengelakkan kesejukan lantai simen.

Keadaan mereka itu turut mengundang simpati insan prihatin yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga mualaf itu.

Yayasan al-Jenderami misalnya, membuat kutipan derma bagi membantu sekadar termampu.

Kes mereka kemudian dirujuk kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mereka di rujuk kepada LZS pada April 2009. Mulai Mei 2009 mereka sudah pun merasa nikmat wang zakat. LZS. Langkah pertama ialah melunaskan segera tunggakan sewa rumah selama enam bulan yang berjumlah RM2,450.

Bahkan wang saraan bulanan turut diberi dengan nilai RM400 sebulan. Demi menambahkan keceriaan menjelangnya Ramadan dan hari lebaran pada tahun 2009, sebanyak RM650 turut dihulur sebagai belanja membeli baju baru dan barangan keperluan lain.

Selain itu, wang runcit dan kecemasan juga beberapa kali dihulurkan dan semuanya berjumlah hampir RM1,000.

"Kami bercadang untuk pindah dari rumah ini. Bahkan, rakan dari Yayasan al-Jenderami juga ada menawarkan kami agar berpindah ke sana. Maklumlah, kami masih baru memeluk Islam.

"Jika di Yayasan al-Jenderami, mereka menyediakan pengajian agama Islam ala pondok. Saya yakin, kami lebih aman tinggal di sana. Tetapi, kesihatan suami masih belum mengizinkan.

"Jadi, buat sementara waktu kami akan tinggal dahulu di sini. Insya-Allah kami akan berpindah juga ke sana," jelas Maryam .

Untuk meringankan beban, Idris turut mengusahakan kebun sayur yang ditanam dengan bendi, terung, cili padi, kesum dan sebagainya untuk dijual bagi sebagai sumber pendapatan.

"Kebun sayur ini saya usahakan sendiri. Ia dapat juga menampung sedikit sebanyak belanja dapur. Cili kecil itu misalnya, saya tanam kira-kira 100 pokok.

"Ada pemilik restoran dari luar yang datang membeli. Alhamdulillah, dapatlah sedikit wang belanja harian," Idris mencelah.

Kini, dengan bantuan daripada LZS. nasib keluarga itu sedikit terbela. Ia adalah amanah Allah SWT. Berbakti kepada mereka dengan wang zakat ibarat menyalakan lantera menerangi gelapnya malam di teratak mereka yang kelam.

Sejalur cahaya itu adalah daripada pelita zakat.

Jaluran cahaya lain sewajarnya datang daripada seluruh umat Islam, kerana sebagai orang beriman kita semua adalah bersaudara. Wallahu a'lam.

Nota: Sebarang bantuan jika mahu dihulurkan boleh menghubungi Mohd. Shafazir Lazin di talian 012-301 2747.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: