Friday, May 14, 2010

Lelaki OKU tak serik jual DVD

KUALA LUMPUR: Biarpun cacat dan tempang sebelah kaki namun seorang lelaki kurang upaya (OKU) tidak serik menjadi saudagar cakera padat digital (DVD) cetak rompak walaupun sudah beberapa kali diberkas polis dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur.

RAMPAS  ...Othman (kiri) melihat DVD cetak rompak yang dirampas daripada lelaki  terbabit.
RAMPAS ...Othman (kiri) melihat DVD cetak rompak yang dirampas daripada lelaki terbabit.
Lelaki cacat berusia 40-an terbabit yang kerap menjalankan kegiatan menjual DVD cetak rompak sekitar Taman Melati di sini, sanggup bersengkang mata hingga larut malam semata-mata mendapat upah RM6 bagi setiap keping DVD yang dijual.


Difahamkan lelaki terbabit yang bekerja untuk sindiket pengedaran DVD cetak rompak sekitar Wangsa Maju, hanya perlu membawa beg pakaian berisi penuh bahan haram itu sebelum menjualnya.


Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Othman Nawang, berkata kegiatan penjualan DVD cetak rompak oleh lelaki terbabit bagaimanapun ditumpaskan selepas suspek diberkas kira-kira jam 8 malam kelmarin.


Menurutnya, sekumpulan pegawai KPDNKK yang menerima maklumat kegiatan terbabit melakukan intipan di kawasan berkenaan dengan menyamar ‘mat motor’ yang datang untuk menjamu selera.


“Hasil intipan, pegawai KPDNKK mengesan gerak-geri suspek yang didapati berlegar-legar menjual DVD sambil membawa beg sandang.


“Lelaki terbabit yang tidak menyedari kehadiran pegawai KPDNKK diberkas sebelum semua DVD cetak rompak yang dibawa dirampas. Hasil pemeriksaan mendapati suspek bekerja dengan satu sindiket besar yang membekalkan DVD cetak rompak terbabit kepadanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.


Menurutnya, DVD cetak rompak berkenaan yang dijual dengan harga RM10 setiap keping membolehkan suspek menerima upah RM6 bagi setiap satu yang terjual.


“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, suspek baru diberkas polis Sentul kelmarin namun masih meneruskan aktiviti sama sejurus selepas dibebaskan. Malah, suspek mengaku perlu hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes sama berhubung tangkapan sebelum ini.

“Selain OKU terbabit, pihak KPDNKK memberkas seorang remaja berusia 16 tahun yang dikesan turut bergiat cergas sebagai ‘ulat’ DVD cetak rompak berkenaan,” katanya.


Menurutnya, remaja terbabit yang membawa beg penuh DVD cetak rompak dikesan sudah berhenti sekolah sejak empat tahun lalu sebelum menceburkan diri dalam aktiviti berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: