
KOTA BHARU - Seorang penjaga sarang burung layang-layang, Mohd. Sabri Jusoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian dua pengunjung di pusat beli-belah KB Mall di sini pada 6 Disember tahun lalu.
Mohd. Sabri (gambar), 28, yang berasal dari Kampung Gertak Seratus, Besut, Terengganu yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Haslinda Che Seman.
Tertuduh tidak melantik peguam sebaliknya mohon bicara sendiri.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah didapati menyebabkan kematian dengan cuai ke atas Siti Nor Amira Shamsudin, 20, dan Siti Nur Dianah Azman, 19, di kawasan kompleks membeli-belah KB Mall lebih kurang pukul 5.10 petang, 6 Disember tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Noor Haslinda tidak merekodkan sebarang pengakuan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: