Saturday, May 8, 2010

Konsert: Antara populariti dan promosi

Konsert kumpulan popular dari Indonesia, Kumpulan Ungu berjalan lancar pada 1 Mei lalu. Peminat yang membeli tiket tidak pulang hampa malah berpuas hati menonton persembahan hebat kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu rock jiwang itu.

Konsert Mega Malaysia 2010, nama konsert itu. Benar-benarkah ia sebuah konsert bertaraf mega? Kalau ikut kepada populariti kumpulan itu, memang mereka sebuah kumpulam mega yang tidak putus-putus undangan menjelajah seluruh Indonesia.

Pasha digilaipeminat wanita

Bagaimana dengan sambutan di Kuala Lumpur? Hanya lebih 2,000 penonton memenuhi sebahagian tempat duduk yang disediakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Amat meleset daripada jangkaan awal semasa pihak penganjur mengadakan sidang akhbar lebih sebulan sebelum tarikh konsert.

Adakah konsert pertama Ungu di Malaysia dianggap gagal? Apa kata anggota kumpulan popular itu?

Ungu mahu berkonsert lagi di Malaysia.

Penyanyi utama, Pasha ada jawapan apabila ditanya pasal sambutan selepas konsert selesai. Katanya: "Bagi kami konsert ini telah berjaya dan tugas kami menghiburkan peminat yang datang. Kami membuat persembahan terbaik malam ini."

Memang mereka hebat di atas pentas. Selain mempersembahkan lagu dengan hebat, cara Pasha berkomunikasi juga menyenangkan penonton. Pasha tahu cara memikat penonton, khususnya golongan wanita yang memujanya.

Pada malam yang sama Konsert Double Trouble yang menggabungkan kumpulan Search dan Wings diadakan di tempat berasingan. Lebih 20,000 peminat membanjiri malah berlaku kekecohan gara-gara ada pembeli tiket yang sukar masuk sebab terlalu ramai orang.

Adakah mereka membahagikan kumpulan pengikut muzik yang sama? Rasanya tidak, sebab pengikut Search dan Wings lebih kepada mat rock sedangkan peminat Ungu rata-ratanya kalangan peminat wanita. Ada ramai juga lelaki, namun dimonopoli oleh golongan hawa.

Apa yang kurang?

Selain populariti sesebuah kumpulan atau penyanyi, promosi juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah konsert berjaya menarik penonton. Konsert Ungu tidak cukup ruang promosi sehingga ada yang tidak tahu atau ragu-ragu sama ada konsert tersebut bakal diteruskan atau batal.

Konsert Rossa hujung bulan ini

Selepas mengadakan sidang media, Kumpulan Ungu pulang ke Jakarta dan tiada lagi ruang untuk mempromosikan konsert tersebut. Mereka berharapkan liputan media cetak dan media elektronik untuk menguar-uarkannya. Laporan media tidak mencukupi.

Wakil Ungu di Malaysia juga dihujani pertanyaan yang ingin mengetahui sama ada konsert itu batal atau diteruskan kerana semasa tarikh konsert semakin hampir, berita pasalnya tidak didengari.

Apatah lagi hanya sekali sahaja liputan pengumuman konsert dibuat tanpa informasi susulan. Bagaimana mahu mendapat berita susulan kalau kumpulan itu sendiri tiada di negara ini untuk bercerita pasalnya.

Hanya tiga hari sebelum konsert mereka datang untuk membuat latihan dan mengadakan promosi ringkas dengan menjadi tetamu sebuah stesen radio bagi memperkatakan pasal konsert. Kehadiran mereka hanya sekadar memberitahu atau menyegarkan ingatan peminat, tapi sudah tidak mampu lagi untuk mengajak mereka ke konsert. Suntuk.

Berbeza dengan kumpulan Search dan Wings yang sentiasa ada ruang untuk memperkatakan pasal konsert itu kepada pihak media kerana mereka di sini. Buktinya mereka dapat menghimpun lebih 20,000 penonton. Untung besar penganjur malam itu.

Hujung bulan ini Rossa akan mengadakan konsert sulung yang berskala besar. Rossa lebih bertuah kerana mempunyai masa yang lebih panjang untuk mempromosikannya, apatah lagi mendapat kerjasama stesen TV untuk sama-sama mempromosikannya.

Konsert Rossa lebih dulu diumumkan dan tariknya masih berbaki sekitar 20 hari lagi. Rossa sudah beberapa kali turun ke Kuala Lumpur untuk rangka promosi. Malah wakil media Malaysia juga pernah dibawa ke Jakarta bertemu Rossa bagi tujuan publisiti.

Sekarang Rossa masih ada di Kuala Lumpur untuk mengikuti plan promosi yang diatur untuk memeriahkan lagi konsert itu. Promosi hebat yang diatur melantunkan jualan tiket. Kita tidak boleh menidakkan kepentingan publisiti dalam memeriahkan sambutan sesebuah acara termasuk konsert berbayar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: