
Menyedari mereka kurang dikenali biarpun sudah lama bertapak dalam industri seni hiburan tanah air, namun tiada perasaan gentar atau erti putus asa. Mereka terus berusaha mengembangkan bakat muzik nasyid mereka.
Jika album ketiga taruhan konsep taranum berjaya memikat pendengar, untuk album keempat mereka ini, Far East terus menghidangkan konsep yang sama. Walaupun agak sukar untuk membawakan konsep taranum ini, namun untuk peminat dan juga sebagai langkah untuk berkongsi ilmu, Far East tetap meneruskannya.
“Kami bersyukur kerana akhirnya album ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang begitu singkat. Bukan terkejar-kejar cuma kami tidak mahu bertangguh kerana lagu pun sudah ada.
“Kami tak sangka percubaan pertama dulu untuk mencuba tarannmun mendapat perhatian ramai. Maklum sahaja, bukan mudah untuk membawakan lagu-lagu begini kerana ia mestilah tepat.
“Walaupun kami ada asas dalam tarannmun ini tetapi untuk lebih terperinci kami dapatkan pandangan daripada Ustaz Rodhi iaitu seorang pensyarah. Kami mahu, peminat boleh belajar sesuatu daripada lagu-lagu kami ini dan boleh belajar serba sedikit mengenai taranum,” kata mereka ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Saloma Bistro Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Album terbaru mereka yang berjudul Halawatul Iman II Saat Lafaz Sakinah turut mendapat sentuhan daripada komposer luar selain sebahagian album ini adalah hasil daripada kreativiti mereka sendiri.
“Untuk album ini, 50 peratus adalah daripada kami dan sebahagian lagi adalah kerjasama kami bersama komposer terkenal seperti Adnan Abu Hassan, Hafiz Hamidun dan ramai lagi.
“Kami amat berbesar hati kerana dalam tempoh tiga bulan, album dapat disiapkan sepenuhnya. Kini, album ini sudah hampir dua minggu berada di pasaran,” kata mereka yang lebih menekankan lirik dalam setiap bait lagu-lagu nyanyian mereka.
Lirik adalah memainkan amat penting dalam penghasilan sesebuah lagu dan untuk album ini mereka lebih menekankan kasih sayang antara pasangan dan kekeluargaan.
“Bagi kami, walau sesedap mana pun sesebuah lagu itu, tetapi jika tidak disertakan dengan lirik yang bagus, pasti tiada kesannya," katanya.
“Inilah hadiah istimewa kami untuk peminat semua,” kata mereka lagi.
Album yang diedarkan InTeam Records ini memuatkan sebelas buah lagu serta dua lagu yang dirakam semula iaitu Syahdu dan Ala Baladi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: