Monday, May 10, 2010

Kisah pilu pesakit Aids


JOE Hasham (depan empat dari kiri) bersama-sama para pelakon yang menjayakan Adam The Musical ketika ditemui di majlis pra-tonton teater berkenaan di The Actor Studio @ Lot 10, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEBIASAANNYA, bila berbicara tentang kempen kesedaran HIV atau AIDS, pasti terbayang ceramah yang panjang meleret-leret tentang keburukan dan kesannya.

Ceramah itu, jika tak kena cara penyampaiannya hingga kedengaran sungguh membosankan. Itupun belum tentu lagi butir bicara si penceramah dapat diingat apatah lagi meninggalkan kesan kepada pendengar.

Namun, agak berbeza pendekatan The Actor Studio dan Majlis AIDS Malaysia apabila mereka berkerjasama menerbitkan sebuah pementasan yang diberi nama Adam The Musical.

Intipati Adam The Musical yang bermula pada 12 Mei ini di The Actor Studio @ Lot 10, Lot 10 Shopping Centre adalah memberi kesedaran tentang HIV dan Aids dalam bentuk yang tidak meleret dan seumpama khutbah.

Ia berkisarkan tentang Adam yang sedang merancang perkahwinan dengan kekasihnya, Sylvia namun dalam menjalani penuh debaran hari tersebut, Adam disahkan oleh doktor yang dia menghidap HIV positif.

Diselitkan unsur-unsur yang menghiburkan iaitu drama, tarian, nyanyian dan jenaka, teater ini menyuntik pengajaran kepada penonton dalam bentuk hiburan.

Turut mencipta sejarah, teater yang bermula pada 12 Mei ini akan menjadi persembahan teater yang terpanjang di Malaysia apabila ia akan dipentaskan selama 35 hari sehingga 20 Jun ini.

Pengarah teater ini, Joe Hasham berkata, tempoh yang lama itu bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan teater ini.

Ujarnya, Adam The Musical berbeza dengan teater muzikal yang selalu dipentaskan di Malaysia.

Kebiasaannya, teater muzikal gah dengan set yang teliti, kostum yang indah dan pelbagai lagi yang dapat menunjukkan bertapa hebatnya teater muzikal itu.

Kontra dengan Adam The Musical, teater yang diilhamkan dari pertemuan Joe dan Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah, pementasannya serba sederhana dari segi set dan kostum, cuma ia diperkuatkan oleh plot cerita yang menarik.

Teater muzikal ini membawa kisah tentang kehidupan normal sekumpulan kecil masyarakat dengan perjalanan hidup mereka seharian tetapi ia menyampaikan kisah yang penting berkenaan isu HIV yang dianggap taboo untuk dibicarakan bagi sesetengah orang.

"Ia mengenai kisah cinta Adam dan seorang wanita beragama Kristian, Sylvia, yang dilanda masalah apabila Adam disahkan menghidap HIV positif dan kakak Sylvia cuba menghalang hubungan mereka.

"Skrip yang ditulis oleh Mark Beau De Silva ini lucu, pilu, dramatik dan dalam masa yang sama memaparkan realiti kehidupan sebenar," ujar Joe Hasham ketika majlis Pra-tonton Adam The Musical di The Actor Studio @ Lot 10 baru-baru ini.

Teater ini dilakonkan 23 orang pelakon teater berbakat antaranya Datuk Faridah Merican, Malik Taufik, Maria Yasmin, Mark Sobels, Tria Aziz, Sandra Mannas Wolf, Mo Dee, Fairuz Tauhid dan Tabitha Kong.

Pementasan bermula pada pukul 8.30 malam dari hari Selasa hingga Sabtu dan pukul 3 petang pada hari Ahad.

Tiket berharga RM60 dan RM40 manakala tiket untuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya pula berharga RM30.

Tiket boleh didapati di The Actor Stuido @ Lot 10, Klpac, Sentul Park, Kaunter Axcess di One Utama Shopping Centra dan Alamanda Putrajaya atau menghubungi 03-21422009 atau melayari laman web www.theactorsstudio.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: