Friday, May 14, 2010

Kembara 1Malaysia ke Tanah Suci Mekah


Penaung Ekspedisi, Datuk Ab. Rauf Yusoh (berdiri lima dari kanan) adalah tonggak semangat para peserta.


PERKARANGAN Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang Selasa lalu agak di luar kebiasaannya. Ketenangan awal petang itu diriuhkan dengan bunyi deruman enjin motosikal berkuasa tinggi. Malah bunyi serta bilangannya semakin bertambah, walaupun tirai senja telah melabuh.

Kemeriahan itu sebenarnya tanda sokongan padu serta seruan semangat Malaysia Boleh kepada kumpulan 'Ekspedisi 1Malaysia Kembara ke Bumi Suci 2010' yang dianggotai oleh 15 peserta, termasuk pasukan sokongan yang sudah bersedia menyahut cabaran penjelajahan mengerjakan umrah melalui jalan darat, bermula selepas solat sunat Jumaat hari ini.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekspedisi anjuran Israq Adventure Sdn. Bhd. hakikatnya bukan perjalanan selesa dengan segala kemudahan sudah tersedia. Ia juga bukan perjalanan untuk bergembira dan bersuka ria. Ia adalah satu bentuk konvoi ibadah yang menuntut pengorbanan, menagih keringat dan meruntun perasaan. Ia adalah kelana seorang hamba menuju kepada Tuhannya.

Pengarah Urusan Israq Adventure, Azman Baharuddin berkata, ekspedisi dianggotai oleh 11 penunggang motosikal bersama empat orang daripada unit sokongan menggunakan pacuan empat roda akan merentasi Thailand, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turkey, Syria, Jordan sebelum berakhir di Arab Saudi.

"Cetusan idea Ekspedisi Kembara Ke Tanah Suci 2010 ini bermula dari Penaung kita Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Pengarah Ekspedisi, Nahrawi Marzoki, kira-kira dua tahun lalu. Tetapi hasrat tersebut senyap sebentar sehingga Nahrawi bercerita dengan Ketua Ekspedisi iaitu Mohamed Assir Mohamed Ariff dan saya sendiri.

"Berbekalkan pengalaman 11 tahun dalam bidang pengembaraan serta telah mengembara ke lebih 50 buah negara, maka terbentuklah satu pentadbiran bagi menjalankan ekspedisi ini. Pada masa yang sama, saya memang menunggu peluang untuk mengembara ke Mekah melalui jalan darat.

"Selain menyahut seruan yang difardukan ke atas setiap Muslim itu, pengembaraan yang dijangka memakan masa kira-kira 50 hari itu diharap dapat dijadikan pembakar semangat rakyat negara ini. Selain, akan membawa bersama semangat Satu Malaysia yang didokong oleh Perdana Menteri," katanya kepada Mega sebelum bermulanya acara perasmian lewat petang itu.

Katanya, objektif utama ekspedisi yang julung kali diadakan itu adalah mengembara demi mengimbas kembali sirah junjungan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dalam melaksanakan ibadat umrah dan haji dengan menaiki unta. Bezanya, konvoi kali ini dengan menunggang motosikal.

Di samping itu, ekspedisi ini juga akan menyelitkan ziarah sambil membuat kebajikan di lebih 50 buah masjid-masjid besar di sepanjang perjalanan.

Penganjuran ekspedisi ibadah itu secara tidak langsung, menyakinkan rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam bahawa pemergian ke Mekah melalui jalan darat terus dari Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang mustahil.

Tambah Azman, sebaik lampu hijau diperoleh daripada pelbagai pihak yang menyokong, kerja-kerja dokumentasi dan logistik sudah bermula sejak bulan Januari lagi. Manakala kerja-kerja tinjauan jalan bermula pada November tahun lalu.

Pihaknya hanya meninjau tiga negara memandangkan 80 peratus jalan yang akan ditempuhi telah dilalui sebelum ini.

Bagi persediaan dokumen dengan negara terlibat pula, ia mengambil masa dua bulan sejak Mac lalu.

Mengulas cabaran yang bakal ditempuhi, akuinya laluan mencabar akan bermula dari sempadan Laos ke Kunming, China.

"Ini kerana laluan tersebut adalah berliku, menaiki gunung-ganang dan jalan yang kecil. Kita juga akan menempuhi laluan kampung dan tanah runtuh. Memasuki sempadan Kyrgyzstan, laluan offroad tiada bertar.

"Di Arab Saudi pula kita dijangka bertempoh dengan cabaran cuaca panas yang boleh mencecah 50 darjah celcius. Dalam keadaan sebegini, kita tidak digalakkan menunggang motosikal dari pukul 10 pagi hingga 5 petang. Ini kerana kita cuba mengelakkan cuaca terlampau panas dan angin lintang yang kuat.

"Bagi penunggang baru, perjalanan jauh sebegini akan menguji ketahanan fizikal dan mental," katanya.

Lantaran itu, Azman akan memastikan setiap peserta menunggang berhati-hati dan bergerak pada kelajuan yang perlahan serta menunggang cara defensive.

Bagi menghadapi keadaan cuaca yang terlampau panas pula, mereka akan berhenti di tempat yang selamat dan meneruskan perjalanan pada lewat petangnya.

Menyedari itu adalah ekspedisi ibadah, maka sudah pasti pengisian dari sudut agamanya menjadi keutamaan terutama kerja-kerja kebajikan.

Harapan Azman kepada rakyat Malaysia agar mereka mempunyai keyakinan tinggi dan berusaha lebih untuk berjaya.

"Malaysia sudah maju dari pembangunan fizikal dan ekonomi. Oleh itu, pembangunan rohani patut bergerak seiring. Kami berharap ini bukan kali pertama dan terakhir penganjuran konvoi ke Mekah. Insya-Allah usaha seperti ini akan berterusan pada masa akan datang," katanya selepas solat Jumaat, mereka akan bermalam di Kangar, Perlis atas jemputan Senator Mohd. Khalid Ahmad yang juga merupakan salah seorang peserta.

Selepas Subuh pada 15 Mei, Ekspedisi Kembara Ke Tanah Suci 2010, akan memulakan perjalanan mereka ke sempadan untuk terus ke Chaam, Thailand.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan ekspedisi bersejarah ini dengan melayari www.israqadventure.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: