"RAMAI menganggap sains itu suatu bidang yang sukar tetapi sebenarnya penuh dengan keseronokan kerana ia memberi peluang kepada kita mempelajari banyak benda baru setiap hari.
DIIKTIRAF...Tan (dua dari kiri) menerima anugerah Unesco - L’Oreal International Fellowships di ibu pejabat badan dunia itu di Paris, baru-baru ini.
Wanita berusia 30 tahun dari Sungai Petani, Kedah, itu mengharumkan nama negara apabila dipilih bersama 14 penyelidik berbakat dari seluruh dunia untuk menerima anugerah berprestij itu di ibu pejabat Unesco di Paris, Perancis, awal Mac lalu.
Bukan calang-calang orang mendapat pengiktirafan berkenaan kerana setiap tahun, hanya 15 penyelidik dipilih mewakili rantau masing-masing bagi merebut pengiktirafan tertinggi daripada L'Oreal dan Unesco iaitu Anugerah Laureates.
Sebelum Tan, nama negara sebelum ini harum dengan pencapaian tiga penyelidik, Dr Surani Abdul Aziz, Dr Nyon Mun Peak dan Dr Chan Yean Yean yang memenangi anugerah berkenaan pada 2001, 2006 dan 2009.
Menurut wanita yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam pengkhususan biologi molekul di Fakulti Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM), untuk pertandingan berkenaan, dia melakukan kajian mengenai fungsi 'small noncoding RNAs' ketika fasa pembentukan biofilm dalam Pseudomonas aeruginosa.
Pseudomonas aeruginosa ialah sejenis bakteria patogen oportunistik yang boleh menyebabkan jangkitan teruk pada sistem imunisasi manusia.
Katanya, melalui kajian berkenaan, pengamal perubatan dapat mengenal pasti jenis ubat khusus untuk digunakan serta memberi lembaran baru terhadap penggunaan kaedah rawatan alternatif.
"Pseudomonas aeruginosa boleh dianggap sebagai model organisma yang sesuai bagi mengkaji patogen oportunistik manusia, terutama dari segi kemampuan untuk membentuk lapisan biofilm.
"Secara mudahnya, hasil kajian saya nanti akan dapat membantu masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai bakteria berkenaan untuk mencari antibiotik yang sesuai bagi mengatasinya.
"Saya akan menyiapkan kajian berkenaan di bahagian Mikrobiologi dan Genetik Molekular, Sekolah Perubatan Harvard, bermula September depan di bawah seliaan Profesor Stephen Lory," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran L'Oreal For Women in Science Fellowships (FWIS), edisi kelima di ibu negara, baru-baru ini.
Apabila ditanya faktor yang mendorongnya untuk memilih bidang penyelidikan sains, Tan berkata, sejak di bangku sekolah lagi, dia amat meminati mata pelajaran biologi dan tertarik mengenai aspek molekular serta genetik di dalam subjek berkenaan.
Katanya, genetik molekul mempunyai jawapan untuk soalan asas mengenai sains dan proses biologi kehidupan dan hanya penyelidik yang mampu menemui jawapan berkenaan.
Biarpun penyelidik bukan pekerjaan umum di negara ini, dia memberanikan diri untuk mengikut gerak hati dan minat bagi melakukan apa yang disukai.
Katanya, bidang penyelidikan memerlukan ketabahan dan komitmen yang jitu meskipun terpaksa mengulang kajian beratus kali semata-mata untuk mendapatkan hasil yang diinginkan."Setakat ini, cabaran yang paling besar pernah dialami adalah terpaksa mengulang banyak kali kajian dari awal untuk menyiapkan projek PhD. Setiap kali gagal, saya akan pulang ke rumah menenangkan fikiran dengan menonton televisyen atau jika lebih teruk, akan menangis sepanjang malam.
"Menangis bukan amalan yang saya sarankan kepada semua tetapi sekurang-kurangnya ia amat membantu melepaskan tekanan dan dapat ke makmal keesokan pagi dengan minda yang lebih segar.
"Apapun, saya bersyukur serta berasa amat bertuah kerana rakan seperjuangan di makmal 414 terutama penyelia, Dr Razip Samian banyak memberi sokongan. Tanpa bantuan mereka, saya mungkin tidak berpeluang ke tahap ini," katanya yang mengakui gembira kerana L'Oreal menghargai usaha penyelidik muda wanita di negara ini.
Dia mengakui anugerah yang diterima itu sebagai satu penghargaan dan penghormatan kepada yang terbabit dalam bidang penyelidikan bagi menyumbangkan sesuatu untuk perubahan dunia.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga mengakui anugerah berkenaan turut menyediakan peluang baginya meneroka pelbagai teknologi serta kaedah penyelidikan terbaru dari negara luar dan berharap dapat membawanya ke negara ini.
Dalam pada itu, menurutnya, biarpun ibunya (Khoo Lai Lee) tidak berpendidikan tinggi, semua kakaknya berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan ia mendorongnya untuk mencapai kelayakan yang lebih tinggi.
Dia berkata, keluarganya bukan orang senang kerana ibu hanya pesara kerajaan tetapi ibunya sentiasa menggalakkan anak-anaknya untuk menuntut ilmu setinggi yang mampu.
"Sehingga kini, saya masih memegang kata-kata ibu iaitu kecantikan luaran boleh pudar seiring dengan peningkatan usia tetapi tidak dengan pengetahuan yang dimiliki.
"Ibu dan ayah (Tan Kek Chee) juga berpesan bahawa hanya dengan ilmu pengetahuan, saya mampu mengubah masa depan dan berjaya dalam hidup.
"Kata-kata mereka itu masih saya ingat sampai hari ini kerana kalau bukan dengan dorongan berkenaan, saya tidak mungkin berada di tempat sekarang," katanya yang turut menerima AS$40,000 (RM132,000) sebagai bantuan kewangan bagi menyiapkan kajiannya itu.
Sebelum mengakhiri perbualan, dia sempat menitipkan pesan kepada remaja perempuan yang ingin memilih bidang penyelidikan sains sebagai kerjaya supaya jangan terpengaruh dengan cakap orang bahawa kita tidak boleh berjaya semata-mata kerana jantina.
"Bagi yang mempunyai impian untuk bergelar penyelidik, jangan biarkan apa sekalipun menjadi halangan untuk melakukan apa yang anda minati.
"Percayalah, sains adalah untuk semua tetapi ia tidak semudah yang disangka. Kuatkan tekad dan jangan sesekali mudah berputus asa kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," katanya yang mengakui bangga kerana dapat mengikut jejak langkah tiga penyelidik muda dari Malaysia memenangi anugerah berkenaan.
>INFO
> Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, L'Oreal FWIS sudah mengiktiraf pencapaian 12 penyelidik wanita di Malaysia.
> Penerima anugerah L'Oreal FWIS akan bertanding bagi merebut gelaran L'Oreal International Fellowships - Unesco dan akhirnya, Anugerah Laureates L'Oreal - Unesco
> Penyelidik muda dari seluruh dunia dibahagikan kepada lima rantau iaitu Afrika, Arab, Asia dan Pasifik, Eropah dan Utara Amerika serta Amerika Latin dan Carribean.
> Malaysia sebelum ini pernah tiga kali terpilih memenangi anugerah L'Oreal International Fellowships menerusi Dr Surani Abdul Aziz, Dr Nyon Mun Peak dan Dr Chan Yean Yean.
> Keunggulan pemenang Anugerah Laureates L'Oreal - Unesco 2008, Profesor Elizabeth Blackburn dan Ada Yonath, diakui apabila penyelidikan mereka dipilih memenangi Anugerah Nobel bagi kategori perubatan dan kimia, baru-baru ini.
>PROFIL
NAMA: Tan Yifen
UMUR: 30 tahun
ASAL: Sungai Petani, Kedah
ADIK BERADIK: Anak bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda (Universiti Malaya),
sedang mengikut pengajian Ijazah doktor falsafah pengkhususan biologi molekul, USM
PENCAPAIAN: Unesco - L'Oreal International Fellowship 2010, Pemenang Biasiswa Fellowship Sains Kebangsaan (2004 - 2006), Pelajar cemerlang (senarai dekan) UM, 2000-2003.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: