Thursday, May 13, 2010

Kehadiran Sarah bukan masalah - Muniza


Muniza Yusoff tidak jemu-jemu mendidik dan mendampingi anak istimewanya.


UMPAMA permata, kehadiran anak dalam sesebuah keluarga tidak ternilai harganya. Waima apa pun yang dikurniakan ia adalah satu anugerah Tuhan.

Sudah menjadi lumrah setiap insan mengharap dan berdoa agar dikurniakan anak yang sempurna sifatnya. Namun jika anak yang hadir itu kurang sempurna, kehadiran itu harus diterima dengan penuh kesyukuran.

Menjaga anak istimewa memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa atau penjaga mereka.

Bagi Muniza Yusoff, 39, yang berasal dari Kelantan, kehadiran Nik Nor Sarah Nik Salleh , 11 tahun lalu tidak pernah dianggap sebagai beban.

Malah anak itu adalah anugerah terindah yang menyuntik semangat kepada Muniza dalam meneruskan kehidupan harian.

Nik Nor Sarah yang gemar dipanggil Sarah mempunyai seorang abang, Amer Zahid yang berusia 15 tahun.

''Terus terang saya katakan, apabila Sarah lahir, saya rasa cukup sedih kerana dia sindrom down. Kemudian saya mula reda dengan ketentuan Tuhan.

"Masa lahir Sarah tidak mahu menyusu, tapi berkat doa dan sentuhan saya sebagai seorang ibu, Sarah terus hisap susu badan sehingga dia berumur dua tahun.

''Doktor pula menjangkakan Sarah tidak boleh berjalan sehingga umurnya empat tahun dan dia akan lambat bercakap. Saya tidak putus asa, berkat doa dan urutan saya pada kakinya yang sangat lembik itu, pada usia setahun lapan bulan Sarah sudah boleh berjalan,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di Sering Ukay, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Bertutur

Ujarnya, Sarah mula bertutur pada usia empat tahun dengan sebutan pertamanya 'nak'.

Ujian seterusnya berlaku apabila bapa Sarah meninggal dunia ketika anak itu berusia enam tahun.

Muniza yang berkecimpung dalam perniagaan unit amanah meneruskan pengorbanan membentuk dan membimbing Sarah yang kini belajar di sekolah pendidikan khas di Taman Melawati.

Selain itu ibu muda ini juga tidak jemu-jemu membawa Sarah ke sesi terapi pertuturan.

''Saya selalu menganggap Sarah seperti anak yang normal. Saya tegas dalam membimbing dia. Sarah saya biarkan bergaul dengan semua orang. Saya tidak pernah ketepikan dan sisihkan dia.

" Ke mana sahaja saya pergi Sarah pasti akan saya bawa bersama. Saya percaya jika dididik dari awal, dia akan boleh berdikari," jelasnya.

Kata Muniza, Sarah mula bersekolah di tiga buah tadika ketika berusia tiga tahun.

Pada usia dua tahun dia sudah boleh ke tandas sendiri untuk buang air.

Ketika itu katanya, setiap pergerakan perlu berhati-hati kerana Sarah mudah dijangkiti penyakit.

''Saya naikkan Sarah van biasa pada umur 10 tahun untuk ke sekolah. Tapi bila balik sahaja, banyak bekas-bekas cubitan dan lebam-lebam di lengannya. Kawan-kawannya yang buat. Tapi dia kuat, sikit pun tidak mengadu,'' katanya.

Hasil keazaman dan dedikasi Muniza sebagai seorang ibu, Sarah kini sudah boleh mengaji, mampu menghafal ayat-ayat lazim bacaan solat dan menyanyi. Bahkan anak istimewa ini juga mudah bergaul dengan orang ramai dan bertanggung jawab.

Namun kata Muniza, sepanjang mendidik Sarah ada ketika hatinya terguris kerana sikap masyarakat yang suka memandang serong kepada insan seperti Sarah.

Katanya, pernah berlaku ketika di pusat membeli-belah seorang wanita sanggup melarikan bayinya hanya kerana Sarah mahu melihat bayi tersebut.

''Anak saya cuma sindrom down bukan penyakit yang berjangkit,'' katanya.

Sehingga kini Muniza masih lagi belajar untuk memenuhi segala keperluan tumbesaran Sarah.

Dia selalu berdoa agar anak kesayangannya itu terbela nasibnya pada masa akan datang.

''Saya berharap dia akan dapat berdikari. Sesetengah ibu bapa yang mempunyai anak istimewa membiarkan sahaja anak ini. Bagi saya anak seperti ini adalah anugerah bukannya pembawa masalah,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: