Monday, May 10, 2010

Joe Flizzow cemburukan Malique



Suatu ketika masa dulu, dua anak muda yang menganggotai kumpulan hip hop yang digelar Too Phat ini cukup popular di mata masyarakat.

Namun, setelah beberapa tahun bersama, Malique dan Joe Flizzow lebih selesa membawa haluan masing-masing.

Walaupun tidak pernah mengisytiharkan pembubaran kumpulan mereka, ramai menganggap Too Phat sudah ‘terkubur’. Apatah lagi mereka jarang membuat persembahan bersama dan masing-masing muncul dengan album sendiri.

Bagaimanapun, Joe Flizzow berkata, Too Phat tidak pernah dibubarkan malah hubungannya dengan Malique masih baik hingga ke hari ini.

Selain nyanyian, mereka sebenarnya masih mempunyai tanggungjawab lain harus dilaksanakan dan keputusan berehat seketika dari Too Phat sebenarnya memberi kepuasan kepada mereka untuk berkarya.

“Kami tak pernah isytiharkan Too Phat telah dibubarkan, cuma orang ramai sahaja yang menganggap kami sudah ‘bungkus’. Sampai satu tahap kami membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing, kerana ada tugas lain yang harus diberi tumpuan.

“Walaupun sudah lama tidak membuat persembahan bersama, kami sebenarnya sibuk menguruskan kerja seni lain. Selain menyanyi, kami juga ada studio sendiri. Dalam masa yang sama, saya misalnya, cuba buat album sendiri. Itu pun untuk kepuasan saya. Ini membuatkan kami lebih produktif dan wujudnya tiga produk dalam masa yang sama.

“Selain Thoo Pat, kita juga ada Malique dan Joe Flizzow. Tiga produk inilah yang akan membuatkan kami sentiasa berkembang,” katanya yang memiliki sebuah studio, Kartel Records, yang kini sedang giat menjalani rakaman album untuk artis-artis baru di bawah naungannya.

Mahu berkongsi berita gembira dengan ramai peminat Too Pht di luar sana, Joe berkata, sudah tiba masanya untuk Too Phat kembali aktif dalam industri memandangkan ramai peminat menantikan kemunculan semula mereka. Sebagai permulaan, mereka akan muncul dengan single terbaru tidak lama lagi dan sudah semestinya ingin kembali memanaskan pentas yang ada.

“Saya dah rakam satu lagu baru dengan Malique dan kami memang bertekad untuk aktif semula dalam nyanyian. Lagu ini masih berkonsepkan hip hop dan kami percaya ramai peminat menantikannya. Setelah lagu ini keluar, kami bercadang untuk buat road show bertemu peminat, tapi itu semua masih dalam perancangan awal,” katanya yang enggan mengulas mengenai lagu itu kerana ingin membuat kejutan istimewa buat peminat Too Phat.

Menyentuh statusnya yang masih bujang hingga hari ini, Joe berkata, dia masih belum bersedia mengikat komitmen dengan mana-mana gadis memandangkan dia lebih selesa hidup sendiri. Namun jauh di hatinya berasa cemburu melihat kebahagiaan rakannya, Malique yang sudah berkeluarga dan memiliki seorang cahaya mata.

“Cemburu tu memanglah cemburu bila tengok dia ada keluarga sendiri. Malah ramai juga sepupu saya dah kahwin usia muda, sedangkan sayalah paling tua antara mereka. Orang tua saya pun ada bising-bising juga, tanya bila saya nak kahwin.

“Soal kahwin ni biarlah dulu sebab komitmennya besar. Saya tak mahu terburu-buru, kalau dah bersedia nanti, kahwinlah juga,” katanya yang ditemui ketika majlis memperkenalkan Top 12 peserta Showdown 2010, di KL Live, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: