Sunday, May 9, 2010

Jelitawan licik dan konspirasi




BUKAN setakat arahan pertama pengarah berjiwa indie bukan Melayu, Jason Chong, Belukar juga filem pertama yang mengangkat aktor muda, Bront Palare sebagai hero dan pertama kali menampilkan pengacara sensasi, Daphne Iking menjadi heroin.

Secara sepintas, daripada judulnya Belukar membayangkan ia sebuah karya dokudrama atau dokumentari tetapi secara tersiratnya, judul Belukar mungkin dipilih atas pertimbangan banyak perkara tersembunyi dan menarik yang boleh diterokai dari dalam Belukar.

Daripada situ, Jason sudah meminta khalayak supaya tidak menghukum filemnya sekadar membaca tajuk atau melihat imej yang terpampang di lembaran poster.

Dari segi plot, Belukar tidak mengikut hukum linear sebaliknya hadir sebagai sebuah penceritaan non-linear yang sarat elemen flash back.

Penonton yang menonton di pertengahan tayangan mungkin sukar untuk memahami filem itu secara tepat. Walau bagaimanapun, cinta yang terbit antara Nick lakonan Bront Palare dan Eva (Daphne) sudah boleh diramal sejak awal lagi. Itu konsep filem di mana hero pasti berhubungan cinta dengan si heroin.


Belukar
Pengarah: Jason Chong
Klasifikasi: PG13
Genre: DramaPelakon: Bront Palarae, Chew Kin Wah, Danny, Daphne Iking dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.
Durasi: 1 jam 38 minit
Pengedar: Metrowealth
Tayangan umum: 6 Mei 2010


Apa yang lebih menarik, Belukar berjaya membuahkan sebuah garapan seni visual yang menarik. Sinematografinya mampu menonjolkan Sabah dan Labuan sebagai sebidang tanah indah yang berbaloi untuk diterokai.

Dari segi lakonan, permainan yang ditunjukkan dalam Belukar tidak mendatangkan masalah. Muka baru filem, Bront dan Daphne walaupun pertama kali diberi peluang sebagai pendokong utama, mereka tidak mengecewakan.

Daphne yang cantik di pentas pengacaraan kelihatan sedikit mencuba tetapi masih berjaya menzahirkan watak jelitawan licik yang meyakinkan. Emosi kelakar, romantik, geram dan marah yang mahu disampaikan dapat dibaca dengan jelas oleh penonton.




Skil penyiasatan, aksi, gaya dan gajet-gajet penyiasat profesional ditonjolkan Jason menerusi watak Nick. Mungkin Jason sendiri gemar mengikuti filem penyiasatan dan aksi dari luar dan mempersembahkannya ke dalam Belukar.

Melengkapkan darah indie filem ini, runut bunyi yang mempunyai 13 buah lagu adalah 100 peratus ciptaan kumpulan indie seperti Azlan & The Typewriter, Coca D Monday, Love as Arson, Tikalama, dan Mr. Irwin.

Komen Suzana: Jika penonton mahu mencari sebuah filem Melayu yang lari daripada imej hantu dan aksi mat motor, mungkin Belukar pilihan yang baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: