![]() |
| pengurusan wakaf yang efisien membolehkan terbinanya Asrama Anak Yatim, Mukim Derga, Alor Setar, Kedah ini. |
SELARAS dengan visi dan misi Jawhar dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi ummah menerusi pengukuhan institusi wakaf, kesemua 18 projek fizikal di bawah RMK-9 dilaksanakan mengikut fokus utama seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, perumahan dan agama.
Pengurusan Jawhar yang komited melalui kerjasama utuh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dapat menyiapkan dua projek pada tahun 2009 iaitu Projek Asrama Anak Yatim, Mukim Derga, Alor Setar, Kedah dan penyediaan tapak untuk pembinaan Kompleks Wakaf di Seksyen 9, Kajang, Hulu Langat, Selangor (kerja tanah).
Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Dr. Sohaimi Mohd. Salleh berkata, dua projek fizikal lain juga baru disiapkan iaitu Projek Asrama Anak Yatim Bakti Machang pada 15 April 2010 dan Projek Ruang Niaga Tambun (21 April lalu).
"Projek selebihnya akan disiapkan pada tahun ini dan 2011," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Projek Asrama Anak Yatim, Mukim Derga, Alor Setar, Kedah
Projek berfokus kebajikan dan pendidikan ini adalah projek fizikal pertama yang berjaya disiapkan. Ia berharga sekitar RM2 juta.
Ia sekali gus memberi gambaran Kerajaan Persekutuan memandang serius keperluan penyediaan penginapan serta lain-lain kemudahan kepada golongan anak yatim di seluruh negara khasnya di negeri Kedah.
Menurut Sohaimi, penyerahan kunci asrama anak yatim itu telah disempurnakan pada 9 Disember 2009.
Ia memulakan operasinya secara rasmi pada 28 Disember 2009 dan kemudiannya diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah selaku pihak yang akan menguruskan asrama itu.
Katanya, bangunan asrama dua tingkat ini dikhaskan untuk anak-anak yatim perempuan. Ia merangkumi kemudahan tiga bilik asrama bagi menampung 50 pelajar, pejabat pentadbiran, surau, rumah warden, bilik mesyuarat, bilik bacaan, dewan makan, bilik rawatan, bilik air dan stor kering.
Sehingga kini, untuk fasa pertama terdapat seramai 22 pelajar terdiri daripada anak yatim perempuan sekitar negeri Kedah menerima kemudahan serta manfaat daripada projek pembangunan yang dilaksanakan ini.
"Dengan terbinanya asrama anak yatim ini, sudah pasti akan memberikan kehidupan yang lebih sempurna serta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada penghuninya yang mana sebelum ini terpaksa tinggal di bangunan lama milik Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)," jelas beliau.
Projek Asrama Anak Yatim, Machang, Kelantan
Projek berharga RM1.5 juta telah siap pada 15 April 2010. Pelaksanaan projek ini adalah berdasarkan keperluan prasarana yang lebih baik kerana bangunan sedia ada telah usang dan menyebabkan para pelajar anak-anak yatim terpaksa hidup serta mengulang kaji pelajaran di dalam suasana yang serba kekurangan.
Kata beliau, seperti projek Asrama Anak Yatim Mukim Derga, projek ini memberi kemudahan penginapan serta persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada 50 pelajar anak yatim lelaki di seluruh Negeri Kelantan khasnya di sekitar Machang.
"Majlis penyerahan kunci Asrama Anak Yatim Bakti Machang disempurnakan pada 18 April 2010.
"Ia kemudiannya diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) selaku pihak yang akan menguruskan asrama anak yatim ini," jelas beliau.
Bangunan asrama dua tingkat ini merangkumi kemudahan tiga bilik asrama, pejabat pentadbiran, rumah warden, bilik bacaan, bilik mesyuarat dan bilik air.
Projek Ruang Niaga, Mukim Ulu Kinta, Tambun, Perak
Sehubungan itu, kata Dr. Sohaimi, dalam usaha menggalakkan umat Islam menjadikan perniagaan sebagai salah satu kerjaya pilihan, Jawhar juga membangunkan projek-projek ekonomi di atas tanah wakaf yang strategik serta nilai komersial yang tinggi.
Salah satu projek ekonomi yang berjaya disiapkan adalah pembinaan bangunan ruang niaga di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Mukim Ulu Kinta, Tambun, Perak di mana pembinaannya siap pada 21 April 2010.
"Projek ruang niaga ini mengandungi empat unit ruang perniagaan di tingkat bawah dan empat unit ruang pejabat di tingkat atas di samping ruang meletak kenderaan," katanya.
Maklum balas daripada MAIPk, Jawhar menerima banyak permohonan daripada para usahawan Muslim untuk menyewa bangunan tersebut walaupun ia masih dalam pembinaan.
Ini adalah petanda baik kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sembilan persepuluh dari sumber rezeki itu datangnya daripada perniagaan". (riwayat Abu Sa'id bin Mansur)
Sohaimi berkata, projek itu sudah tentu memberi kemudahan serta peluang kepada usahawan Muslim terutamanya golongan asnaf yang berdaya maju berniaga bagi meningkatkan pendapatan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berpeluang menjadi penyumbang zakat di masa akan datang.
"MAIPk pula akan mendapat pulangan hasil kutipan sewa yang kompetitif di mana hasil tersebut akan digunakan bagi pembangunan hartanah wakaf yang lain di lokasi yang strategik dan berdaya maju untuk manfaat ummah pada masa akan datang.
"Rantaian ekonomi yang dipelopori Jawhar ini dijangka akan mewujudkan kesan yang besar terhadap sosio ekonomi umat Islam," tambah beliau.
Mengulas tentang pencapaian Jawhar setakat ini, kata Sohaimi, pihaknya tidak akan cepat berpuas hati, bahkan akan sentiasa mengambil tindakan pemantauan bagi mengatasi kelemahan dalam pelaksanaan dan memastikan rancangan pembangunan yang dirangka berjalan lancar.
Katanya, Jawhar telah meletakkan sasaran yang tinggi bagi setiap projek pembangunan yang dilaksanakan.
"Perancangan yang teliti telah dibuat bagi memacu manhaj transformasi institusi wakaf sebagai instrumen kewangan komersial Islam yang maju dan berdaya saing," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: