Tuesday, May 11, 2010

Jamal, Aishah rai para ibu


Jamal dan Aishah menurunkan tandatangan bagi melibatkan diri dalam persembahan hari ibu A Tribute To Mum - We Love You, di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 Mei ini.


Sempena sambutan Hari Ibu yang disambut pada Ahad minggu kedua setiap Mei, apa kata insan istimewa itu diraikan dengan menyaksikan persembahan istimewa Jamal Abdillah dan Aishah.

Persembahan dua penyanyi terkenal itu akan berlangsung pada 16 Mei ini di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pukul 3 petang.

Majlis yang diberi nama A Tribute To Mum - We Love You yang akan diacarakan oleh pengacara terkenal Syed Muradzi Syed Shamsul atau Dee itu bakal menyaksikan kedua-dua penyanyi itu menyanyikan enam buah lagu.

Bagi pihak penganjur, kedua-dua penyanyi tersebut cukup diyakini mampu menghiburkan para peminat apatah lagi tidak dapat dinafikan kedua-duanya mempunyai vokal yang cukup mantap.

Terpanggil untuk ke sekian kalinya membuat persembahan meraikan para ibu, Jamal berkata, biarpun sudah tidak mempunyai ibu namun, saban tahun bagaikan suatu perkara wajib yang ada dalam takwim tahunannya memandangkan rata-rata peminat wanitanya kini ramai yang sudah bergelar ibu.

Menyanyi sejak tahun 1979, nama Jamal tidak pernah luput dari pesada seni tempatan.

"Maka, tidak hairanlah ramai di kalangan peminat saya semuanya yang sudah bergelar ibu dan mereka membesar dengan lagu-lagu nyanyian saya," kata Jamal sambil ketawa kecil.

Katanya, biarpun telah kehilangan ibu sejak 10 tahun lalu namun kasih sayang ibu tiada galang gantinya.

Jamal berjanji memberikan persembahan yang terbaik untuk para ibu.

"Kalau bercerita tentang hari ibu, apa yang boleh saya katakan setelah 10 tahun ibu pergi saya masih rasa berdosa terhadap ibu.

"Dengan apa yang telah dilalui, saya banyak mengabaikan kasih sayang ibu ketika hayatnya. Hinggakan lebih kurang enam kali hari raya saya tidak pulang berhari raya dengan ibu.

Kasih sayang

"Disebabkan itu, ibu mengalihkan kasih sayang sepenuhnya pada arwah adik saya. Setelah adik meninggal dunia seminggu selepas itu ibu saya pula pergi buat selamanya.

"Ini sesuatu yang saya sukar hendak bercerita setiap kali bercakap tentang ibu," kata Jamal dengan nada sayu.

Biarpun sudah lama berkecimpung di persada seni, inilah kali pertama Aishah dan Jamal digandingkan bagi meraikan para ibu.

Malah bagi Aishah setiap kali tibanya Mei, dia kalau boleh memang tidak mahu ketinggalan menghiburkan mereka yang bergelar ibu biarpun hakikatnya seperti Jamal, Aishah sudah hampir sembilan tahun kehilangan ibu.

Sebagai anak dan juga seorang ibu, keseronokan dirasai apatah lagi pada hari tersebut, dia dapat melihat begitu ramai keluarga yang berkumpul bagi sama-sama meraikan ibu tercinta.

"Bagi saya dalam meraikan ibu sebenarnya setiap hari boleh dikatakan adalah hari ibu. Namun, tiada salahnya jika anak-anak mengambil peluang ini sebagai salah satu cara meraikan ibu mereka.

"Jujurnya, saya sendiri sebagai ibu memang tidak langsung mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak.

"Di zaman sekarang yang sudah ada kemudahan telefon cukup sekadar anak-anak selalu bertanya khabar sebagai tanda mereka diingati," katanya.

Kepada yang berminat menyaksikan persembahan kedua-dua penyanyi tersebut, sila hubungi Fadzilah (0133627101), Elina (0193806688) atau Laili (0172398814). Meja dijual pada kadar harga RM1,000, RM2,000 dan RM3,000.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: