Tuesday, May 11, 2010

Irama jazz cara Tilu


SHEILA MAJID (tiga dari kanan) dan Edry (belakang kanan) bersama anggota Tilu pada majlis pelancaran album sulung kumpulan yang membawa irama jazz, R&B dan pop itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MUNGKIN anda pernah dengar lagu Ku Bukan Aku yang sering kali diputarkan di corong-corong radio tempatan akhir-akhir ini.

Lagu milik kumpulan muzik berentak jazz, R&B dan pop yang dinamakan Tilu itu berjaya menempatkan diri mereka dalam kedudukan carta di radio.

Pada awal penampilan mereka, Tilu berjaya menarik hati beberapa pihak media tempatan untuk hadir pada acara majlis yang dianjurkan dengan mereka.

Ia satu permulaan baik kumpulan yang dianggotai lapan anak muda terdiri daripada Mira selaku vokalis, Bajai (pemain keyboard), Johar (pemain drum), Puja (pemain bass), Kibas (pemain gitar) dan Daus (pemain trumpet). Fareed pula bertindak sebagai pemain flungal horn dan Jeffny pula pemain saksafon.

Menurut Fareed, Tilu memilih rentak jazz, R&B dan pop sebagai pendedahan dalam karya mereka dan telah melayakkan diri untuk menjadi salah satu kumpulan jazz muda tempatan yang berjaya mengorak langkah ke dalam industri muzik tanah air.

Fareed yang kini menjalani pengajian di Aswara memberitahu, Tilu menggunakan konsep semua ahli kumpuluan berhak memberi pendapat demi kebaikan kumpulan itu.

"Dengan penglibatan semua ahli dalam kumpulan ini, dari situ chemistry antara kami akan lebih kuat kerana memahami antara satu sama lain.

"Lapan orang dalam ahli kami semua mempunyai peranan masing-masing dalam memperjuangkan Tilu. Tugas-tugas itu membuatkan setiap daripada ahli kumpulan Tilu tidak berasa tersisih," katanya selepas majlis pelancaran album baru Tilu di Laundry Bar, The Curve, Damansara baru baru ini.

Pelancaran album sulung Tilu itu diserikan dengan kehadiran Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid.

Permulaan karier seni untuk kumpulan yang agak unik itu bermula apabila pihak pengurusan syarikat label album mereka, KRU Music Grup rasa yakin untuk mengeluarkan sebuah album penuh mengandungi lapan buah lagu yang kebanyakannya ciptaan Tilu sendiri kecuali Ku Bukan Aku ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.

Antara lagu yang terdapat dalam album terbaru Tilu ialah Diam-diam, Tolong, Yang Ku Ingin, I.L.U, Kau Selalu Ada, Malam Minggu dan Jangan-Jangan Cuba.

Jelas Fareed yang mewakili rakan-rakanya, proses pembikinan album itu mengambil masa kira-kira empat bulan dan album itu dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

Tambah Fareed: "Maksud Tilu dalam bahasa Sunda membawa erti tiga. Pada asalnya kami memberi nama Tilu kerana kami bermula dengan bertiga.

"Namun selepas penambahan ahli dan instrumen kami menjadi lapan orang, kami masih mengekalkan nama Tilu kerana itu merupakan permulaan kami."

Kelainan yang terdapat dalam Tilu mendapat perhatian daripada KRU.

Berkenalan lebih lanjut dengan kumpulan itu, antara lapan orang penyanyi kumpulan itu hanya Puja seorang yang telah berkahwin.

Sebelum ini Tilu telah menghasilkan sebuah klip video arahan Yusri Abdul Halim bagi memperkenalkan single pertama mereka Ku Bukan Aku.

Pengambaran klip video yang menelan belanja RM20,000 itu telah dijalankan di Stuidio TED Network di Batu Caves yang diserikan dengan elemen kos penghasilan imej janaan komputer (CGI).

Untuk peminat-peminat kumpulan Tilu anda boleh mengikuti perkembangan mereka melalui Facebook, My Space, Twitter, You Tube dan juga laman web KRU Studios www.krustudios.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: