![]() |
| Fatin Nadia (dua dari kiri) dengan rekaan-rekaan rambut yang dianggap futuristik. |
SEAKAN di dunia berbeza apabila berada di pertemuan antara pelajar dari jurusan Rambut dan Rekaan Universiti Limkokwing dan peminat fesyen rambut bergabung. Masing-masing hadir dengan gaya rambut tersendiri pada Hari Graduasi dan Pertunjukkan Rambut 2010 universiti tersebut.
Para pelajar fakulti sepakat memilih tema The Fame untuk menonjolkan bakat terpendam dan seterusnya mengasah bakat yang ada hingga ke peringkat terbaik.
Seramai 13 pakar dari Akademi Rekaan Rambut dari Iran, Malaysia, Indonesia dan Korea Selatan, turut sama menyaksikan hasil kerja para pelajar universiti yang telah bermula sejak sembilan bulan lalu.
Selain majlis graduasi, para pelajar itu juga turut serta dalam pertunjukan, persembahan dan pelbagai lagi pertunjukkan lain.
Setiap pelajar dikehendaki menghasilkan tiga gaya rambut dengan tema berbeza yang semuanya mesti mengambil inspirasi dan penampilan artis Hollywood, Lady Gaga.
Dalam kategori tocang, menyaksikan satu inovasi baru yang mempunyai pengaruh Afrika manakala dalam kategori Tekno Urban pula banyak mengambil pengaruh remaja. Dalam kategori ini penggunaan warna berani seperti biru, merah jambu dan oren digunakan.
Penampilan yang paling menarik perhatian para penonton ialah apabila kategori Avant Garde dipertontonkan. Kategori ini memperlihatkan cabaran pelajar dalam mengatur kreativiti mereka menghasilkan rambut paling unik berdasarkan Lady Gaga.
Boleh dikatakan setiap pelajar tampil dengan idea dan kreativiti di luar jangkaan. Masing-masing menghasilkan fesyen rambut unik .
Muhammad Harith Haikal, pelajar jurusan rekaan rambut dari Malaysia mempunyai hasil rekaan yang tidak kurang hebatnya.
Salah satu hasil kreativitinya mencuri tumpuan umum apabila rambut yang dihias begitu menawan.
"Saya mahu menghasilkan satu rupa yang seakan puteri dan sekali gus menjadikan model saya seperti daripada keturunan diraja. Dengan rekaan rambut seperti ini saya mahu buktikan bahawa rambut bukan sahaja boleh diletakkan di kepala tapi juga boleh dijadikan hiasan di badan," katanya.
Setiap kategori diadili oleh barisan para juri merangkumi aspek gaya rambut, solekan, pakaian dan inspirasi.
Seorang lagi pelajar dari Malaysia, Fatin Nadiah Latiff mengakui amat teruja dan bangga kerana dapat menyertai pertunjukkan itu.
Dia mengilhamkan tiara yang diperbuat daripada rambut pada modelnya.
Tiara yang berketinggian kira-kira dua kaki dari kepala modelnya memang mencuri tumpuan apabila dipertandingkan dalam kategori tocang Mohawk.
"Ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, saya harap dapat turut serta lagi dalam pertunjukkan seperti ini di masa depan," kata gadis itu.
Sementara itu Ketua Akademi Gaya Hidup Antarabangsa, Airene Wong, berkata, dia amat berbangga dengan hasil kerja yang telah ditunjukkan oleh para pelajar.
"Walaupun ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan masa dan sebagainya namun hasilnya cukup berbaloi," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: