KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk memberikan imbuhan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, pihak kerajaan dan SPRM sedang menyediakan draf satu kaedah yang bersesuaian berhubung imbuhan tersebut sebagai pengiktirafan kepada mereka.
"Perbincangan telah dibuat dengan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan mengenai apakah bentuk imbuhan tersebut," katanya pada sidang media selepas menutup kursus Pencegahan Rasuah dan Pengurusan Risiko Dalam Organisasi Awam di sini semalam.
Abu Kassim berkata, imbuhan itu nanti dapat memberi kesedaran dan mendidik pegawai-pegawai kerajaan tentang usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah.
Katanya, ini kerana agensi-agensi penguatkuasaan merupakan agensi kerajaan yang paling banyak terdedah dengan rasuah bukan sahaja di negara ini malah di luar negara.
"Jika kita lihat di negara ini kini, agensi-agensi penguatkuasaan jugalah yang paling banyak melapor dan mengambil tindakan ke atas pemberi-pemberi rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: