
"MAK yang mempengaruhi saya terlibat dalam dunia tarian seawal usia empat tahun. Pertama kali melihatnya menari mengiringi persembahan penyanyi, Francisca Peter di kaca televisyen hati saya berbunga riang. Maklumlah, mak masuk tv dan menari untuk penyanyi tempatan popular.
"Dek terlalu teruja menonton mak beraksi saya pun turut menari sama. Walaupun tidak menghafal gerak tari yang sama saya tetap menari dengan tarian ciptaan sendiri (ketawa). Sejak itu minat terhadap bidang tarian mula bercambah hingga kini," imbas Natasha Yusof, 26, mengenai ibunya, Farah Sulaiman.
Farah merupakan penari popular sekitar tahun 1980-an. Wanita kecil molek dan berkulit cerah itu antara penari yang disegani kerana kerap tampil dengan gerak tari gemalai dan lincah.
Bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kebanyakan artis popular seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan, Rohana Jalil, Ramlah Ram dan Hail Amir sering mendapatkan khidmat tari daripada Farah.
Biarpun kini sudah menginjak usia 52 tahun dan sibuk menguruskan rumah tangga, koreografer kelahiran Batu Gajah, Perak itu masih bertenaga menyumbangkan gerak tarinya.
Buktinya, dia tegar menari mengikut irama muzik rancak bersama barisan koreografer pada malam final pertandingan program realiti televisyen Astro Sehati Berdansa musim ketiga.
![]() |
| NATASHA (kanan) gembira kerana berpeluang mengikut jejak langkah ibuya, Farah Sulaiman sebagai penari. |
Bicara Natasha yang kini menjadi tenaga pengajar tarian tiang dan aktif melakukan pementasan pentas Broadway, kelincahan ibunya menari walaupun usianya sudah mencecah separuh abad cukup dikagumi. Natasha berpendapat hasratnya berkecimpung dalam bidang tarian bukan mengejar populariti dan glamor. Sebaliknya, dia menyifatkan dunia tarian mengajarnya erti disiplin, kesabaran dan semangat kerja berkumpulan.
Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu memberitahu, tarian bukan sekadar menghiburkan para penonton. Pada masa yang sama memberi peluang menggembirakan hati dan kehidupan baru kepada insan yang memerlukan.
"Saya hormati dan kerap meniru cara mak bekerja. Dia seorang pereka tari yang kreatif dan bersahaja. Gerak tari yang dipraktikkan untuk pementasan Broadway atau mengiringi persembahan artis dihasilkan dengan cara tersendiri tanpa meniru tarian persembahan artis tempatan mahupun antarabangsa.
"Paling istimewa, jika dulu mak ligat memenuhi undangan tarian buat artis popular kini dia semakin aktif menganjurkan tayangan amal pementasan Broadway. Misi utamanya ingin menyalurkan bantuan kewangan dan berkongsi kegembiraan bersama individu dan persatuan Orang Kurang Upaya (OKU)," tutur Natasha yang kini sibuk menjalani latihan Sparks of Broadway produksi kendalian ibunya untuk pementasan amal Persatuan Sindrom Down Malaysia.
Tarian yang berbeza
Tambah graduan Ijazah Psikologi dan Sumber Manusia, Universiti Curtin, Perth Australia itu, dia berbangga memiliki seorang ibu yang masih menitikberatkan tanggungjawab sosial tanpa mengharapkan sebarang balasan, wang dan nama. Namun kata Natasha, walaupun mereka berdua meminati bidang yang sama tetapi kedua-duanya menggemari tarian yang berbeza.
![]() |
| NATASHA kini merupakan tenaga pengajar tarian tiang. |
Kata Farah yang pernah terlibat dalam penggambaran klip video Datuk Siti Nurhaliza, Ku Milikkmu: "Saya gemar tarian balet dan jazz tetapi Natasha menyukai tarian tiang. Saya kurang gemar mengajar orang lain menari manakala Natasha pula lebih cenderung menjadi tenaga pengajar.
"Sebagai ibu, saya tidak pernah menghalang minat anak-anak dan memberi kebebasan kepada mereka memilih cara hidup sendiri.
Sementara itu, Adilah Ahmad Khairudin, 27, pula melahirkan kepuasannya kerana dapat bersama-sama mengusahakan bisnes butik Poya bersama ibu, Sharifah Naemah Khalidza, 54.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sanggup melepaskan jawatan di syarikat pengiklanan kerana kasihan melihat ibunya tidak menang tangan mengendalikan butik Poya yang sudah mempunyai tiga cawangan di sekitar Bangsar dan Petaling Jaya. Dia juga menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan berjaya seperti ibunya.
"Sebelum memiliki butik sendiri mama gigih berniaga di rumah dan menyewa tapak bazar secara kecil-kecilan. Walaupun terpaksa berniaga di tepi jalan dan berpanas, mama tidak pernah mengeluh. Kadangkala saya pula yang menangis apabila melihat mama masih mampu tersenyum meskipun selama beberapa hari gerai kami tidak mendapat sambutan.
"Mama tidak putus asa. Setiap pelanggan yang lalu-lalang disapa penuh mesra. Malah, mama bukan jenis peniaga yang memaksa pelanggan untuk membeli sebaliknya gemar memberi peluang kepada pelanggan membelek produk terlebih dahulu," tutur Adilah yang mula membantu ibunya berniaga sejak menuntut di sekolah menengah.
Pada awalnya anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu kekok mengendalikan urus niaga di butik. Dia juga perlu membuat tempahan stok dan merantau ke banyak negara untuk mencari fabrik berkualiti dan memikirkan rekaan terbaru.
Namun semuanya dapat diatasi dengan mudah dengan tunjuk ajar ibunya. Salah satu pesanan ibu yang tersemat dalam memorinya ialah layan pelanggan seperti bergaul bersama teman.

Memasak sejak kecil
"Saya tidak menyesal melepaskan jawatan sebagai perancang media semata-mata untuk menjadi peniaga seperti mama. Lagipun kerjasama kami berdua mengusahakan butik Poya, secara tidak langsung mengeratkan hubungan kami.
"Sebelum ini saya hanya berkesempatan berjumpa dengan mama pada hujung minggu kerana pada hari lain saya sibuk bekerja dan pulang lewat malam," jelas graduan lulusan Universiti Multimedia, Cyberjaya, Selangor jurusan Ijazah Pemasaran bersama Multimedia.
Chef Azrin Zuliani Zainol, 30, turut mempunyai cerita sendiri mengapa dia mengikut jejak langkah ibunya Azizah Che Long, 55, atau lebih dikenali sebagai Chef Liza.
Seawal usia tujuh tahun, Chef Azrin yang mesra dipanggil Erin bersama empat adik-beradik perempuannya yang lain sudah didedahkan kepada dunia masakan. Sewaktu menetap di Sungai Petani, Kedah, ibunya, Chef Liza, sanggup membina empat ruang dapur untuk anak-anaknya termasuk dapurnya sendiri.
Di dapur berkenaan Chef Liza sudah menyediakan kelengkapan utama seperti alat-alat memasak, ketuhar dan dapur gas manakala bahan-bahan masakan hanya dibeli mengikut permintaan anak-anak.
"Saya cenderung pada pembuatan kek dan pastri. Jadi, saban hari saya akan membelek buku resipi untuk melihat cara pembuatan dan jenis-jenis kek. Selain itu, dia juga mempelajari cara-cara membuat kek daripada ibunya.

"Paling menggembirakan pada usia sembilan tahun saya sudah berjaya menghasilkan sebiji kek. Kebetulan pada waktu itu mama baru menamatkan kursus di England dan membawa patung Barbie yang diperbuat daripada gula. Lantas saya berusaha mengadun sebiji kek yang dihiasi dengan patung comel itu tanpa bantuan sesiapa pun," ujar Chef Erin yang pernah berkhidmat dengan pelbagai hotel ternama di bahagian kek dan pastri.
Kini anak ketiga daripada lima orang adik-beradik itu berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Akademi Memasak Chef Liza Zainol di Kuala Lumpur. Sebagai menghargai jasa ibunya yang banyak membantu mendidiknya menjadi chef yang berkebolehan, Chef Erin kini sedang berusaha mengembangkan akademi masakan ibunya itu.
Kata graduan Wilton School of Cake Decorating, Darrien, Illinios, Amerika Syarikat (AS) itu: "Saya bakal merealisasikan impian ibu yang ingin membuka akademi masakan yang lebih besar dan memiliki bangunan sendiri. Di akademi baru itu nanti kelas masakan, demonstrasi, pejabat pengurusan dan asrama peserta diletakkan di bawah satu bumbung."


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: