Wednesday, May 12, 2010

Gelombang kedua Nur Kasih


LIZA Othman yang memegang watak sebagai Khadijah juga akan kembali dalam filem Nur Kasih.


DRAMA bersiri Nur Kasih sememangnya telah mencetuskan fenomena luar biasa sejak mula ditayangkan pada 29 Mei tahun lalu.

Tidak ada siapa pernah menyangka dan menduga drama tersebut mampu mencatatkan jumlah penonton yang begitu tinggi sehingga mencecah 4.3 juta orang.

Tidak cukup dengan itu, apabila ia ditayangkan semula, rekod luar biasa juga dicatatkan oleh Nur Kasih apabila dua juta orang menontonnya. Sekali gus meletakkan Nur Kasih sebagai drama bersiri paling popular dan paling ramai ditonton di Malaysia

Memang tidak dapat disangkal lagi, kisah yang dipaparkan dalam siri itu mengambil pendekatan berbeza dengan apa yang ditonjolkan dalam drama Melayu lain.

Bukan sekadar jalan cerita serta lakonannya, tetapi kekuatan Nur Kasih juga terletak dari sudut teknikal yang cukup cemerlang sehingga berupaya meletakkan drama itu sebagai produk yang cukup membanggakan.

Rasanya tanpa gandingan mantap pasangan suami isteri, Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa sebagai pengarah dan penulis skrip drama bersiri Nur Kasih mungkin tidak akan berjaya.

Sementara gelombang Nur Kasih masih lagi kuat, penerbitnya, Filmscape Sdn. Bhd., tidak mahu menunggu lama untuk menzahirkan cerita seterusnya di layar perak.

Bakal menjalani penggambaran di sekitar Timur Tengah dan Malaysia pada penghujung bulan ini atau awal Jun, pastinya berita ini merupakan khabar gembira buat peminat setia Nur Kasih.

Ramai yang masih lagi menantikan kesudahan dan menunggu apakah akan ada konflik serta kisah terbaru yang akan menimpa Nur Amina, Adam dan Aidil.

Dengan bajet yang boleh dianggap sebagai cukup besar iaitu RM2.5 juta, penerbit eksekutif Filmscape Sdn. Bhd., Frank Lewis berkata, pihaknya sanggup mengambil risiko tinggi untuk menerbitkan filem Nur Kasih.

Untuk pengetahuan semua, filem Nur Kasih merupakan filem pertama terbitan syarikatnya itu. Sebelum ini ia lebih aktif menerbitkan drama-drama bersiri antaranya Frontpage, Kekasihku Seru dan Tower 13 dengan kerjasama Juita Viden.

Apakah yang menyebabkan Frank dan Filmscape sanggup melaburkan jumlah sebanyak itu untuk menerbitkan filem Nur Kasih?

Harus diingat, populariti dan kejayaan yang dikecapi oleh Nur Kasih menerusi televisyen tidak semestinya dapat diulang jika diterbitkan dalam bentuk filem.

Sememangnya Frank menyedari hakikat itu tetapi dia tetap optimis dengan sambutan yang bakal diterima oleh filem berkenaan apabila ditayangkan pada penghujung tahun ini.

"Filem ini diterbitkan pun kerana peminat dan kerana itu, kami tidak mahu menunggu lama untuk terbitkannya.

"Sementara orang masih memperkatakan tentang Nur Kasih, kami rasa inilah peluang terbaik untuk merealisasikan kisah ini ke layar perak pula.

"Sebetulnya, rancangan untuk menerbitkan filem Nur Kasih sudah lama ada dalam agenda kami iaitu sebaik sahaja penayangan episod terakhir.

"Di samping itu juga, kami perlu memikirkan jalan cerita yang terbaik untuk memantapkan lagi filem ini dan kami menjanjikan filem Nur Kasih akan memberi kepuasan maksimum kepada pengikut setianya kelak," ujar Frank optimis.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra peminat dan pelakon siri Nur Kasih dan pelancaran cakera video digital (DVD) drama bersiri itu di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah tiga bintang Nur Kasih iaitu Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz.

Enggan mendedahkan cerita yang akan berlaku dalam filem itu, Frank memberitahu sehingga ke hari ini, panel penilai skrip masih lagi berbincang dan mencari pendekatan baru dalam jalan ceritanya versi filem.

Ia termasuklah dari aspek pelakonnya sendiri yang akan memperlihatkan beberapa perubahan di samping pengenalan watak-watak baru yang akan menjadikan filem itu lebih menarik.

Apa yang pasti, filem Nur Kasih akan diteruskan tanpa penglibatan Ummi Nazeera yang memegang watak sebagai Siti Sarah berikutan komitmennya sebagai pelajar di Melbourne, Australia.

Namun begitu, Frank sudah memberi gambaran awal bahawa watak Katrina lakonan Sharifah Sofia akan kembali dalam filem ini.

"Watak Siti Sarah tidak akan dimatikan mahupun digantikan dengan pelakon lain. Kami mahu ia kekal sebagaimana yang sudah dilakukan dan siapa tahu di masa hadapan, Siti Sarah akan kembali," katanya lagi.

Filem Nur Kasih bakal ditayangkan secara serentak di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada Disember ini.

Bukan setakat filem, atas permintaan ramai, set DVD drama Nur Kasih telah dilancarkan serentak dengan waktu tayangan episod terakhir drama tersebut.

Set DVD Nur Kasih boleh didapati di semua cawangan Speedy Video seluruh Malaysia dengan harga RM99 bermula 1 April lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: