Tuesday, May 11, 2010

Gee akui masih menyanyi



Sudah lama tidak muncul dengan album baru. Jarang juga melihat aksinya di pentas nyanyian. Adakah Fauziah Latiff sudah meletakkan titik noktah perjuangan nyanyiannya? Lagu-lagu popular nyanyiannya tidak pernah lekang di telinga pendengar.

Namun sejak akhir-akhir ini Fauziah Latiff atau lebih popular dengan nama Gee ini mengakui tidak membuat persembahan pentas namun itu bukanlah bermakna dia sudah bersara daripada bidang nyanyian.

Penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini masih lagi aktif seperti penyanyi lain, cuma lebih tertumpu kepada persembahan pentas dan tidak terlintas di kotak fikirannya untuk bersara awal daripada bidang seni ini.

Bertemu Gee atau nama sebenarnya Fauziah Latiff ini pada majlis pelancaran drama Gelora Di Hati Sara Gee dikatakan sudah beralih arah daripada nyanyian ke bidang lakonan.

“Saya masih menyanyi. Berlakon cuma mengisi masa yang terluang. Sewaktu Rosyam Nor menghubungi saya, kebetulan jadual saya tidak padat. Lagi pula berlakon untuk drama yang sama, jadi saya berasa perlu dilunaskan tanggungjawab saya.

“Sebetulnya saya masih tidak yakin akan kemampuan saya dalam bidang lakonan ini. Bukan senang nak berlakon. Emosi dan ekspresi kena sama. Saya berterima kasih kepada Rosyam dan pelakon lain dalam drama ini yang banyak membantu saya untuk lebih menjiwai watak Sara,” katanya.

Walaupun mendapat pujian ramai di atas keberkesanan lakonannya menerusi Gelora Di Hati Sara musim lalu, Gee masih tidak punya keyakinan untuk meneruskan bidang ini.

“Terus terang bukan tak ada tawaran berlakon, cuma saya tak yakin dan lebih selesa bergerak sebagai penyanyi. Berlakon hanya mengisi masa lapang. Lagi pula saya sekarang sibuk dengan syarikat saya. Jadi banyak urusan yang perlu saya lakukan. Tapi, Insya-Allah sekiranya selepas ini terdetik untuk berlakon, saya akan mencubanya,” katanya.



Muncul bersama single Ku Di Sini


Menerusi drama ini, Gee turut menyumbangkan suaranya untuk lagu tema menerusi lagu Ku Di Sini. Bukan hanya menyanyi, malah Gee juga mempamerkan bakatnya sebagai penulis lirik.

“Saya dapat idea untuk tulis lirik lagu ini pun kerana watak Sara. Nak kata ada cerita lain di sebalik lirik ini, rasanya ia adalah pengalaman biasa yang dialami seorang wanita.

“Saya hanya tulis apa yang saya rasa melalui watak Sara di mana jiwanya menderita dan penuh dengan gelora. Saya cuba kembangkan menerusi lagu ini. Tak sangka, saya juga boleh menulis lirik.

“Lagu ini juga single terbaru saya. Ia akan dimainkan di radio tidak berapa lama lagi. Cuma saya tak muncul dengan album penuh. Saya lebih selesa dengan hanya ada sebuah atau dua lagu baru sahaja,” kata ibu kepada dua anak ini.

Biarpun tidak melahirkan album penuh, Gee sebenarnya masih ligat mengadakan persembahan pentas. Gee mengakui akan terus menyanyi akan cuba menghasilkan lebih banyak lirik lagu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: