
SEBUAH bandar dalam bandar. Demikian konsep pembangunan yang menterjemahkan mengenai monumen moden Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang terletak dalam radius kota kosmopolitan ibu negara.
Bersama-sama pencakar langit Menara Berkembar Petronas, pusat beli-belah Suria KLCC, Masjid As-Syakirin dan Dewan Orkestra Filharmonik, pusat konvensyen tersebut menjadi sebahagian daripada pelan induk Pusat Bandar Kuala Lumpur iaitu sebuah lokasi komersial mampan.
Seperti mana status Menara Berkembar Petronas yang gah menjulang mencakar langit, ternyata Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan seni bina futuristik memukau warga dunia saat pintunya dibuka pada 12 Jun 2005.
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dizahirkan dengan kos RM550 juta sebagai satu keperluan untuk memastikan ibu negara mempunyai sebuah destinasi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran atau dipanggil MICE yang terbaik.
Berjaya memenuhi aspirasi sebuah destinasi MICE berstatus lima bintang maka tidak hairanlah, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan di mata dunia.
Pada tahun 2007 dan 2008, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Pusat Pameran dan Konvensyen Terbaik Asia oleh majalah TravelWeekly (Asia). Pada tahun lalu majalah CEI turut memberi anugerah yang sama kepada Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Moden dan canggih
Seni bina dan perancangan pusat konvensyen bertaraf antarabangsa itu secara konsepnya dilaksanakan oleh Neuformation Architects Malaysia dan Cox Group of Architects and Planners dari Australia. Bagaimanapun cabaran merealisasikan konsep itu dilaksanakan oleh Arkitek Jururancang (Malaysia) Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai arkitek reka bentuk.
![]() |
| BERLATAR belakang panorama Menara Berkembar Petronas. |
Dibina untuk acara tempatan dan antarabangsa, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dibina dengan ciri futuristik dilengkapi dengan teknologi bangunan yang canggih dan terkini.
Menceritakan mengenai pembinaannya, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Datuk Peter R. Brokenshire memberitahu, seni bina pusat konvensyen itu menerapkan reka bentuk sebuah bangunan moden tetapi disudahkan dengan kemasan elemen tradisional.
Menjadi satu keunikan dalam seni bina bangunan itu apabila mengambil elemen motif pada kain songket dan batik untuk menjadi reka bentuk kemasan pada bangunan. Sebagai contoh katanya, dapat dilihat dengan jelas kemasan pada luar bangunan apabila besi-besi dibentuk menjadi seperti motif pucuk rebung.
Penggunaan cermin sebagai dinding bangunan menambahkan lagi elemen futuristik Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selain menjadi sumber pencahayaan semula jadi.
Kecanggihan teknologi adalah satu kelebihan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berbanding destinasi MICE lain. Disokong oleh teknologi terkini seperti rangkaian data, pengkabelan berstruktur, LAN tanpa wayar, telekomunikasi 3G dan kemudahan audiovisual digital yang memudahkan perhubungan delegasi dengan pangkalan data menyerlahnya sebagai sebuah pusat konvensyen bertaraf dunia.
Jelas Brokenshire, selain reka bentuk dan kemudahan bertaraf lima bintang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur juga sentiasa mengamalkan standard antarabangsa yang merangkumi pengurusan, kualiti dan kumpulan berdedikasi yang terdiri daripada rakyat tempatan sendiri.
"Lokasi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sangat strategik iaitu berada di tengah-tengah kawasan pusat bandar raya iaitu lingkungan pelan induk pembangunan Pusat Bandar Kuala Lumpur yang berkeluasan 100 ekar. Faktor itu menjadi kekuatan utama kepada pusat konvensyen ini.
"Dengan konsep bandar dalam bandar, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mempunyai banyak kelebihan dari segi lokasi dan kedudukannya, kemudahan yang tersedia dan jaringan hubungan pengangkutan yang baik melalui rangkaian sistem jalan raya mahupun transit aliran ringan (LRT).

"Dalam lingkungan itu terdapat Suria KLCC untuk membeli-belah, masjid As-syakirin untuk melaksanakan ibadah, pelbagai hotel di sekitarnya, bahkan terdampar Taman KLCC menghijau yang luas bersebelahan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
"Semuanya boleh dicapai dengan hanya berjalan kaki sahaja. Sangat mudah kepada sesiapa sahaja," katanya bagi menjelaskan konsep bandar dalam bandar tersebut.
Menyentuh mengenai tempat-tempat yang yang berpayung di bawah pusat konvensyen tersebut katanya, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mempunyai Dewan Pleno, Teater Pleno, Dewan Pameran, Grand Ballroom, Dewan Persidangan, Dewan Bankuet dan bilik-bilik mesyuarat.
Dewan Pleno dan Teater Plano yang dilengkapi dengan pencahayaan dan sistem bunyi yang canggih sesuai digunakan untuk sesi ucaptama, pembukaan acara besar mahupun persembahan konsert. Dewan tersebut turut tersedia dengan sistem pengundian digital, kemudahan penterjemahan serentak, bilik VIP dan bilik persalinan.
Dewan Pleno dengan tempat duduk bertingkat yang mampu menampung sehingga 3,000 orang itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi antaranya projektor dan skrin, pentas tetap, kemudahan belakang pentas dengan lif terus selain mempunyai pit orkestra dengan lantai pentas yang boleh bergerak naik ke lantai auditorium.
Dewan yang sesuai untuk pelbagai acara pameran itu mempunyai akses pengangkutan terus, grid siling mudah alih untuk menyesuaikannya dengan pelbagai majlis, perkhidmatan katering yang cekap, bilik penyimpanan, pejabat penganjur dan bilik rehat.
Seramai 2,380 orang delegasi boleh dimuatkan dalam bentuk teater atau 2,000 orang tetamu dalam bentuk bankuet di Grand Ballroom. Reka bentuk silingnya yang tinggi membuatkan dewan yang boleh dibahagi kepada dua itu kelihatan elegan dan mewah.
![]() |
| SITI NURHALIZA dan Khalid merupakan pasangan pengantin pertama yang mengadakan majlis resepsi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. |
Dewan bankuet adalah antara tiga ruang terpenting yang terdapat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk kegunaan mesyuarat yang boleh memuatkan hampir 800 orang dalam satu-satu masa, manakala terdapat sebanyak 20 bilik mesyuarat di dua tingkat bangunan itu dengan jumlah ruang lantai seluas 1,922 meter persegi.
Perkahwinan orang glamor
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menjadi pasangan pertama yang mengadakan majlis perkahwinannya di pusat konvensyen yang terletak di tengah-tengah bandar raya itu.
Grand Ballroom menjadi saksi utama majlis yang berlangsung gilang-gemilang pada 28 Ogos 2006 itu dihadiri oleh hampir 2,800 tetamu.
Lokasi itu dipilih oleh pasangan Wedding of the Year tersebut kerana persekitaran dan landskapnya yang sesuai dengan tema resepsi mereka iaitu perkahwinan dalam taman.
"Saya dan suami memang berbincang sebelum mengadakan majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan kami rasakan ia adalah sebuah tempat yang sesuai untuk meraikan hari bahagia kami.
"Kami akui lokasi ini bukan saja sebagai sebuah tempat eksklusif, mempunyai keluasan dewan yang mampu menampung tetamu-tetamu, malah yang paling penting pengurusannya yang melayan kami dengan baik selain melengkapi semua pakej yang kami inginkan.
"Bagi saya Pusat Konvensyen Kuala Lumpur adalah satu lagi mercu tanda Kuala Lumpur dan berpotensi untuk kekal sebagai pusat konvensyen terbaik yang mampu menampung semua acara di ibu negara," katanya mengenai pusat konvensyen yang diuruskan oleh Convex Malaysia Sdn. Bhd. iaitu usaha sama antara KLCC (Holdings) dan Ogden International Facilities Corporation, Australia.
Serampang dua mata
Walaupun Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hanya dipandang sebagai sebuah pusat konvensyen oleh sesetengah pihak, tetapi ia sebenarnya membawa peranan yang besar bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke dalam negara.
![]() |
| DEWAN Pleno, Dewan Ballroom dan Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dilengkapi dengan teknologi canggih untuk kemudahan tetamunya. |
Berada di bawah pengurusan yang berbeza, Aquaria KLCC yang terletak di aras concourse pusat konvensyen itu menawarkan pengalaman menarik bersama ribuan jenis spesies marin di dalam akuarium.
Tidak ketinggalan terdapat seramai 51 orang chef hebat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan tempatan dan antarabangsa. Terdapat menu hidangan 'mesti cuba' kepada warga asing seperti nasi lemak, nasi kerabu, sate, laksa Penang, roti canai, rendang dan ais kacang.
Pusat konvensyen itu juga memperkenalkan budaya tempatan sebagai langkah untuk mempopularkan budaya Malaysia ke mata dunia melalui enam jenis kebudayaan iaitu melukis batik, tenunan songket, ukiran piuter, anyaman bakul, ukiran kayu dan tarian gamelan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: