Tuesday, May 11, 2010

Elaine dalami Sybil


ELAINE memberi seluruh jiwa dan raga bagi menjayakan Suatu Ketika...Siapa Sybil?


PERASAAN sebak masih bersarang di hati aktres dan model jelita, Elaine Daly. Pertuturannya juga tersekat-sekat gara-gara menahan sedih dan air mata daripada mengalir.

Kesedihannya itu bukan kerana sesuatu buruk telah berlaku tetapi kerana mengenang kembali pengalamannya melakonkan watak pejuang wanita zaman pemerintahan Jepun, Sybil Kathigasu yang secara kebetulan mempunyai kaitan personal dengan dirinya.

Kata Elaine, Sybil Kathigasu merupakan nenek saudaranya yang nama sebenarnya adalah Sybil Daly seorang jururawat. Perjuangannya bukan di medan perang tetapi dengan merawat gerila anti-Jepun secara rahsia di rumahnya.

Tidak menyangka akan melakonkan sejarah keluarganya untuk tatapan umum namun, bagi Elaine ia umpama satu penghormatan yang besar buatnya dan seluruh keluarga.

"Semasa ditawarkan oleh penerbit, Lina Tan untuk merlakonkan watak Sybil saya agak terkejut dan terus beritahu Lina bahawa Sybil itu ada kaitan dengan keluarga saya.

"Selepas diterangkan, saya terus bersetuju untuk berlakon. Semua ahli keluarga saya juga memberi restu untuk saya terlibat dalam produksi ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Carcosa Seri Negara baru-baru ini.

Lina yang duduk di sebelah Elaine semasa temu bual dijalankan pula memberitahu, ketika pihaknya membuat pemilihan pelakon, fikirannya melayang kepada beberapa orang pelakon yang mempunyai wajah campuran kerana Sybil yang sebenar berketurunan Serani.

"Saya juga terbayang Elaine tetapi kurang yakin pada mulanya kerana dia tidak pernah membawakan watak berat seperti ini. Selepas bertanya kepadanya saya terkejut sebab Sybil itu sendiri ada kaitan dengan Elaine.

"Bagi saya tiada orang yang lebih sesuai membawakan watak Sybil dengan penuh penghayatan seperti Elaine kerana kesannya cukup berbeza daripada sekadar berlakon dengan melakonkan kembali keperitan yang pernah dilalui oleh keluarga sendiri," katanya.

Tidak takut

Menariknya kisah Sybil yang dibikin sebanyak lapan episod menerusi judul Suatu Ketika...Apa Dosa Ku itu menjalani penggambaran di lokasi yang sama seperti mana yang tercatat dalam sejarah 60 tahun dahulu.

Menjalani penggambaran di rumah yang pernah didiami Sybil benar-benar memberi impak yang cukup besar buat Elaine. Bukan takut sebaliknya Elaine berasa dirinya cukup bertuah dapat berada di lokasi bersejarah itu.

"Saya tidak takut, malah, saya harap ketika tidur saya bermimpikan mendiang Sybil kerana saya teringin sangat lihat cara pertuturannya, gaya jalannya dan cara penampilan dirinya. Saya juga berharap dia bercakap dalam mimpi saya.

"Tetapi sepanjang penggambaran di Papan, Perak saya tidak pula mengalami sebarang gangguan atau mimpi yang aneh. Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah pada hari terakhir penggambaran," katanya.

Ceritanya lagi, antara perkara menarik sepanjang berada di rumah Sybil, dia dapat saksikan sendiri lubang tempat Sybil menyembunyikan radio ketika zaman Jepun dan radio itu masih elok terletak di dalam lubang itu.

"Semuanya masih elok seperti dahulu sebab rumah itu terjaga seperti muzium. Saya berharap selepas ini lebih ramai orang menghargai pejuang yang selama ini tenggelam dalam nama kemerdekaan itu sendiri," ungkapnya yang kini sibuk berlakon dengan produksi dari Singapura.

Larut

Jelas wanita berusia 33 tahun itu, melakonkan watak Sybil merupakan lakonan yang paling mencabar kredibilitinya sebagai seorang aktres. Paling berat adalah untuk tenggelam bersama emosi Sybil dan kembali semula sebagai Elaine Daly.


SENATOR Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hadir memberi sokongan pada majlis pelancaran drama Suatu Ketika...Siapa Sybil? di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Sukar untuk saya membawa emosi Sybil. Apabila saya sudah berada dalam emosi Sybil yang dimahukan pengarah, sukar pula untuk saya kembali sebagai Elaine Daly.

"Secara jujur sehingga sekarang saya masih dalam proses untuk menjauhkan diri saya daripada emosi Sybil. Emosinya terbawa-bawa sehingga selesai penggambaran kerana selama tiga bulan saya menjadi Sybil satu angka yang cukup lama dan bukan mudah untuk memisahkan emosi itu daripada saya," balasnya.

Pernah ketika penggambaran, dia menahan air matanya daripada tumpah. Ini kerana, watak sebagai Sybil tidak membenarkannya menangis tetapi hati seorang Elaine tidak tertahan dek seksaan yang terpaksa dilalui Sybil.

"Sybil seorang wanita yang cukup kuat, dia merawat gerila anti-Jepun secara sembunyi-sembunyi walaupun tahu itu satu kerja yang sangat bahaya.

"Apabila Jepun dapat tahu, mereka menyeksanya supaya dia membuka mulut untuk memberitahu lokasi gerila yang dirawatnya. Tetapi dia seorang yang setia, biar mati pun dia enggan membocor rahsia itu," katanya menahan sebak.

Pelbagai cara seksaan yang dibuat Jepun ke atasnya. Antaranya, menarik semua kukunya dan disebat setiap hari sehingga tulang belakangnya membongkok yang mengakibatkan dia tidak boleh berjalan.

"Bila saya teringat balik saya boleh menangis dengan tiba-tiba. Ini bukan lakonan tetapi satu kisah benar yang selama ini tidak ramai yang tahu.

"Sybil tidak sepopular perjuang kemerdekaan yang lain tetapi sumbangannya sebagai seorang wanita pada zaman itu sangat penting.

"Saya tertanya-tanya juga dalam diri kenapa wanita ini sanggup berkorban sedemikian rupa. Kemudian menerusi kajian dan bahan bacaan, saya dapati Sybil lakukan pengorbanan itu hanya untuk masa depan anak dan keluarganya sekali gus membantu masyarakat di sekelilingnya," terangnya.

Apabila ditanya, adakah dia lebih mengenali siapa Sybil selepas berlakon di dalam drama arahan Bernard Chauly itu, Elaine mengakuinya.

"Sebelum berlakon drama ini, saya pernah dengar cerita daripada ibu bapa, mak cik dan keluarga yang lain tentang nenek saudara saya tetapi selepas berlakon, saya lebih mengenalinya sebab saya berpeluang merasai pengalamannya walaupun hanya melalui lakonan," katanya.

Kisah Sybil dibawakan oleh Astro dan ditayangkan menerusi dokumentari berjudul Suatu Ketika...Siapa Sybil? yang disiarkan oleh Astro Prima pada 2 Mei lalu, manakala, drama bersirinya sebanyak lapan episod berjudul Suatu Ketika...Apa Dosaku boleh disaksikan di Astro Citra pada setiap hari Rabu, pukul 9 malam bermula 5 Mei lalu.

Drama tersebut turut dibintangi oleh Paranee Damodaran, Beto Kushyairi, Zahiril Azim, Cheryl Samad, Khatijah Tan, Alaina Stephen, Venus Marie Beals, Lash Mokhtar dan Peter Davis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: