![]() |
| PEMINAT setia Glee akan dapat menyaksikan sembilan episod baru dalam bahagian kedua musim pertama yang akan mula ditayangkan malam ini secara eksklusif di saluran Star World. |
HAMPIR setahun lalu nama Chris Colfer langsung tidak dikenali sehinggalah dia memberanikan diri menghadiri uji bakat untuk sebuah siri televisyen.
Tiada lain dalam fikirannya ketika itu hanyalah untuk mencuba nasib dan sama sekali tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat sebarang watak dalam siri yang dinamakan Glee itu.
Dia hadir dengan semangat yang cukup tinggi dalam menonjolkan bakat terpendam dalam dirinya dengan membawakan watak Artie sambil menyampaikan lagu Mr. Cellophane.
Namun, siapa sangka bakat nyanyian dan lakonan yang ada dalam dirinya itu membuahkan hasil apabila berjaya menawan hati pihak penerbit untuk mengambilnya berlakon dalam Glee.
Walaupun ketika itu watak Artie sudah menjadi milik Kevin McHale tetapi pihak penerbit dan pencipta iaitu Ryan Murphy, Brad Falchuk dan Dante Di Loreto sanggup mencipta satu karakter baru khusus buat Colfer.
Lalu, watak Kurt Hummel, seorang pelajar sekolah yang berperwatakan lembut namun memiliki aspirasi tinggi untuk berjaya seperti orang lain dan tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Sering kali dibuli dan ditindas, namun itu bukan satu penghalang untuk Kurt meneruskan minatnya dalam nyanyian apabila menjadi ahli kelab Glee iaitu New Directions di William McKinley High School di Lima, Ohio, Amerika Syarikat.
Dengan populariti yang dikecapinya sekarang, Colfer merasakan ia bagaikan satu mimpi yang tidak pernah diimpikannya selama ini.
Kerana itu, dia mengucapkan terima kasih kepada penerbit dan pencipta Glee yang memberinya peluang untuk membintangi siri televisyen terhangat masa kini.
Walaupun namanya kini berada di puncak seiring dengan barisan pelakon Glee yang lain, namun Colfer tetap merendah diri.
Tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan yang dimilikinya hari ini, apa yang penting buat Colfer adalah tanggungjawabnya sebagai seorang aktor dalam membawakan watak Kurt dalam siri itu.
Baginya, watak Kurt yang dilakonkan seharusnya dilihat sebagai watak yang perlu dihormati kerana dia memiliki kelebihan di sebalik personalitinya yang sering kali menjadi mangsa buli dan penindasan.
"Saya tidak mahu penonton menonton watak saya sekadar satu hiburan semata-mata tetapi mahu penonton mengkaji dan menyelami ke dasar hati Kurt dalam merealisasikan impiannya.
persembahan terbaik
"Kerana itu, saya sendiri sebagai seorang aktor harus memberikan persembahan yang terbaik dalam menjayakan watak berkenaan agar ia dapat memberi inspirasi kepada penonton," kata Colfer atau nama sebenarnya Christopher Paul Colfer ini dalam satu temu bual baru-baru ini.
Glee ternyata menyerlahkan bakat Colfer sebagai seorang aktor serba boleh kerana bukan sahaja berlakon tetapi anak muda berusia 19 tahun ini juga memiliki suara yang cukup merdu.
Ini dapat dibuktikan apabila dia menyampaikan sebuah lagu berjudul Defying Gravity dalam siri itu yang mendapat pujian ramai.
Apatah lagi, lagu Defying Gravity sebelum ini dibawakan oleh penyanyi wanita dalam pementasan teater muzikal Wicked.
Manakan tidak, kebolehannya menyampaikan lagu tersebut pada nada F tinggi yakni F5 memang sesuatu yang cukup jarang dimiliki oleh kaum Adam.
Satu yang pasti kata Colfer, watak Kurt sememangnya mempunyai persamaan dengan dirinya yang selalu menjadi mangsa buli, ditindas dan tidak kurang juga memandang sinis kepadanya.
Ceritanya, sewaktu di zaman persekolahan dia juga pernah dibuli oleh kumpulan pelajar popular di sekolahnya dan dipinggirkan.
"Jadi, untuk membawakan watak Kurt bagi saya memang tiada masalah kerana antara Kurt dan diri saya pernah berdepan dengan situasi yang serupa.
"Emosi itu akan terhasil dengan sendirinya memandangkan pengalaman sebelum ini banyak membantu saya untuk menghayati watak ini.
"Tetapi, saya tidak kisah dengan apa yang orang lakukan atau katakan tentang diri saya kerana saya percaya dengan kesabaran saya selama ini, semuanya sudah berbalas dengan kejayaan yang saya miliki hari ini," ujarnya dalam nada sinis.
Sudah menjadi adat kata Colfer, apabila menjadi seorang yang popular, mereka yang sebelum ini tidak memandangnya akan terus mengaku pernah menjadi sahabat baik.
"Saya mempunyai daya ingatan yang kuat dan saya juga bukan seorang yang bodoh. Saya tahu siapa kawan dan lawan saya" kata anak kelahiran Clovis, California, Amerika Syarikat (AS) ini lagi.
Sepanjang setahun terlibat dengan produksi Glee, Chris Colfer mengakui ia merupakan pengalaman dan kenangan cukup manis serta terindah yang tidak dapat dilupakan.
Antaranya apabila Glee memenangi anugerah Siri Komedi atau Muzikal Terbaik pada Golden Globe dan Screen Actors Guild awal tahun ini.
Tetapi, katanya, kemenangan itu tidak serupa dengan pengalaman apabila dijemput oleh Presiden AS, Barrack Obama ke White House dan membuat persembahan untuk keluarganya.
Lebih membanggakan buat Colfer, apabila salah seorang pelakon Glee yang juga rakan karibnya, Amber Riley yang membawakan watak Mercedes Jones diberi peluang menyanyikan lagu kebangsaan secara solo.
Tidak cukup dengan itu, Colfer juga begitu teruja apabila terkenang kembali sewaktu dijemput oleh personaliti televisyen tersohor dunia, Oprah Winfrey ke program The Oprah Winfrey Show.
"Apabila difikirkan kembali, saya memang tidak percaya dengan apa yang telah kami lalui setakat ini.
"Untuk berada di White House sehari selepas menjalani rakaman bersama Oprah, saya fikir ia antara detik terbaik dan tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila," tuturnya dalam nada terharu.
Bukan hendak memuji melambung hanya kerana dia salah seorang bintang Glee tetapi bagi Colfer, siri televisyen itu memiliki lebih daripada sekadar hiburan.
Mengambil contoh watak Kurt sendiri, Colfer memberitahu dia sendiri sudah menyatakan hasratnya kepada pencipta dan penerbit tentang gambaran masa depan Kurt.
Semuanya itu kata Colfer, hanya akan menjadi kenyataan seandainya Glee terus diberi peluang mewarnai kaca televisyen untuk jangka masa yang lama.
Secara peribadi, Colfer sendiri begitu kagum dan bangga dengan apa yang telah dikecapi oleh Glee setakat ini sehingga memiliki kelompok peminat yang cukup besar.
"Glee adalah kisah tentang perjuangan dan semangat anak muda dalam mengharungi cabaran yang perlu ditempuhi setiap hari dalam kehidupan mereka.
"Penceritaan yang ditonjolkan sebenarnya banyak berlaku dalam realiti kehidupan hari ini dan apabila muzik dan lagu digabungkan, ia menjadikannya ia lebih menarik untuk ditonton," tuturnya penuh bersungguh.
Bermula hari ini (12 Mei), bahagian kedua musim pertama Glee yang merangkumi sembilan episod akan mula ditayangkan di saluran Star World (saluran 711, Astro) bermula pukul 9 malam.
Bagi Colfer sendiri, peminat Glee tidak seharusnya melepaskan peluang menonton bahagian kedua ini yang menjanjikan lebih banyak konflik, dramatik dan juga lagu-lagu yang menarik.
Bukan itu sahaja, peminat dan penonton akan dapat melihat bagaimana watak Kurt itu berkembang menjadi sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka.
Lebih menarik apabila salah satu episod yang akan ditayangkan nanti akan memberi penghormatan kepada Ratu Pop Dunia, Madonna menerusi lagu-lagunya yang dibawa dengan versi baru oleh barisan pelakon Glee.
Seperti yang dijangka, apabila episod baru ditayangkan di Amerika Syarikat pada bulan lalu, ia telah mencatatkan rating yang cukup luar biasa iaitu 14 juta penonton.
Colfer juga turut ditebak jika sembilan episod bahagian kedua ini tidak mampu menyamai sukses yang telah dikecapi menerusi 13 episod dalam bahagian pertama sebelum ini.
Bimbang juga jika peminat dan penonton sudah bosan dan merasakan tidak ada yang baru dalam episod seterusnya.
"Saya sendiri tidak gentar kalau ada yang berpendapat begitu kerana saya optimis dengan jalan cerita untuk bahagian kedua ini.
"Untuk sembilan episod ini, saya melihat jalan ceritanya semakin berkembang.
"Rating untuk episod pertamanya sudah membuktikan dan selebihnya, kita serahkan kepada peminat dan penonton," ujarnya yang teringin untuk melihat dan menyanyikan lagu-lagu kumpulan Abba pula dalam episod yang akan datang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: