![]() |
| MESRA... Razali tidak pernah lupa untuk mengetahui perkembangan anggota dan pegawainya bagi membentuk pasukan yang kuat dan mantap. |
SECARA umumnya, ramai mengetahui jabatan yang bertanggungjawab untuk memerangi jenayah di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanyalah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Namun, tidak ramai yang sedar bahawa sebenarnya terdapat beberapa cabang bahagian lain di bawah JSJ yang memainkan peranan penting dan antaranya adalah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat atau D7.
Melihat dari mata kasar, masyarakat beranggapan bahawa D7 hanya menjalankan tugas mudah membanteras jenayah yang tertumpu kepada tiga aspek iaitu kongsi gelap, judi dan maksiat semata-mata.
Tetapi realitinya, tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh anggota dan pegawai D7 tidak semudah dari apa yang disangkakan.
Ini kerana, untuk membanteras trio jenayah itu, D7 memerlukan perancangan rapi selain keberanian untuk menghasilkan kejayaan.
Berbeza dari bahagian tersebut di negeri lain, D7 yang berpangkalan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ternyata mencabar.
Manakan tidaknya, anggota dan pegawai di bawah bahagian tersebut perlu menyelinap segenap pelosok ibu kota untuk mengesan jika terdapat kewujudan kongsi gelap, lokasi perjudian dan tempat aktiviti maksiat dijalankan.
Skop tugas yang perlu diselesaikan juga kelihatan rumit kerana kongsi gelap adalah satu kumpulan yang mampu bertindak ganas memandangkan ahlinya telah diba'iah supaya taat setia dan rela berkorban demi kumpulan mereka.
Begitu juga dengan perjudian yang semakin canggih ketika ini, D7 terpaksa merencana pelbagai kaedah bagi mendapat bukti sebelum mendakwa sindiket perjudian seperti yang menggunakan permainan komputer secara online.
Ini kerana, sindiket tersebut dilihat sering mengalihkan permainan judi online itu kepada laman web lain ketika diserbu.
Jenayah maksiat juga tidak boleh dipandang mudah, D7 terpaksa berdepan dengan lambakan pelacur terutamanya gadis putih gebu dari China iaitu 'China Doll' yang mana kegiatan tersebut semakin menular keluar di seluruh negara dan bukan sahaja di ibu kota.
Untuk mengesan pelacur yang merupakan warga tempatan dan warga asing, risikan dan perancangan rapi perlu dilakukan sebelum menahan pelacur-pelacur berkenaan.
Sindiket yang melindungi 'ayam-ayam' itu juga semakin bijak mengaburi pihak berkuasa. Namun bak kata pepatah, "Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga."
Kebijaksanaan pegawai dan anggota polis ternyata tidak dapat ditandingi apabila mereka berjaya menjejak pelacur-pelacur tersebut walaupun bersembunyi di dalam lorong-lorong tikus.
Meskipun sukar namun itulah antara tugasan dan cabaran pasukan D7 terutamanya Kontinjen Kuala Lumpur yang diketuai oleh Deputi Supritendan Razali Abu Samah.
Cabaran yang terpaksa dilalui mereka bukan terhenti di situ sebenarnya, malah lebih daripada itu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas di D7 sentiasa terdedah kepada ancaman daripada sindiket dan suspek yang telah ditumpaskan.
Ancamannya bukan sekadar menerima ugutan melalui panggilan telefon dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) seperti anggota lain tetapi mereka juga pernah diekori oleh pihak yang tidak berpuas-hati terhadap tugasan yang dijalankan.
Selain itu, maki hamun, kutukan dan tempat melepaskan kemarahan suspek telah sebati dengan anggota D7.
Perkara itu diakui sendiri oleh Razali ketika ditemubual di pejabatnya di IPK Kuala Lumpur baru-baru ini.
D7 bukan sahaja melakukan serbuan dan tangkapan tetapi mereka juga ditugaskan untuk melakukan urusan suspek yang ditahan mengikut Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO) dengan menghantar pesalah ke Pusat Pemulihan Akhlak atau dibuang daerah.
Walaupun pelbagai tugasan dilakukan D7 untuk menghakis kerisauan orang ramai terhadap trio kesalahan jenayah berkenaan namun realitinya kejayaan mereka tidak diendahkan.
Kejayaan D7 menumpaskan sesuatu sindiket pelacuran, perjudian dan aktiviti kongsi gelap di dada akhbar dan skrin televisyen hanya menjadi berita yang sedap dibaca, didengar dan dilihat.
Apa salahnya sekiranya ucapan terima kasih diberikan kepada PDRM yang menjaga keharmonian dan keselamatan sejak 203 tahun yang lalu.
Dengan itu pasti semangat juang mereka akan lebih membuak dan lebih banyak kejayaan dapat dikecapi pada masa hadapan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: