Friday, May 14, 2010

Belajar masak juadah empat perdana menteri




TIDAK dinafikan kebelakangan ini bidang masakan kian menjadi perhatian, malah pada ketika ini semakin ramai tukang masak yang menempa nama dan populariti. Bahkan jika kena caranya, bidang ini bukan saja mampu mempopularkan seseorang, tetapi berupaya memberi hasil dan pendapatan lumayan kepada individu yang terbabit secara serius dalam bidang ini.

Tidak hairan jika generasi muda kini turut berlumba-lumba menceburi bidang berkenaan bagi menimba ilmu serta mencari pengalaman untuk memulakan tapak sebagai chef profesional.

Menyedari perkembangan positif dalam bidang itu, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim/Miskin Klang (PEYAKIN), membuka peluang kepada penghuninya untuk menyertai kelas masakan secara serius.

Pengelola kelas masakan, Datin Habibah Yahaya memberitahu, aktiviti yang dikenali sebagai Program Dapur Latihan Selera Perdana bertujuan mendedahkan para penghuni tentang kerja-kerja penyediaan makanan yang sedikit sebanyak dapat membantu masa depan mereka kelak.

''Program ini memberikan pendedahan secara terperinci mengenai bidang masakan daripada mencipta resipi, kaedah memasak hingga kepada penyediaan,'' katanya selepas majlis pelancaran Program Dapur Latihan Selera Perdana.

Majlis yang dirasmikan oleh ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd. Noah itu turut diserikan dengan persembahan oleh anak-anak PEYAKIN dan beberapa jualan amal termasuk jualan buku Selera Perdana.

Jelas Habibah lagi, pihaknya telah mengatur pelbagai program untuk mereka dengan menggunakan dapur latihan ini.

''Biarpun masih baru, namun sambutan yang diterima daripada anak-anak ini sangat membanggakan.

"Malah mereka seolah-olah tidak sabar menunggu hari minggu untuk membuktikan 'bakat' mereka dalam bidang masakan.

''Ternyata ramai di kalangan anak-anak ini begitu berminat untuk belajar memasak. Bukan saja pelajar perempuan malah pelajar lelaki juga turut menunjukkan minat yang sama," ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam program tersebut seramai 70 orang anak-anak diberikan giliran secara kumpulan untuk mencuba pelbagai aneka masakan.

Setiap hari minggu, dua kumpulan akan menunjukkan 'bakat' mereka dengan pimpinan tunjuk ajar oleh pakar masakan.

Antara masakan yang dipelajari termasuk roti jala, cucur udang, kek dan pelbagai aneka masakan lagi.

Lebih menarik kata Habibah lagi, kesemua masakan yang diajarkan kepada anak-anak ini merupakan juadah kegemaran empat mantan perdana menteri iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengimbas sejarah penubuhan Program Dapur Latihan Selera Perdana, ia merupakan sumbangan yang diperoleh daripada hasil jualan buku Selera Perdana yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada awal tahun lau.

Hasil jualan buku tersebut sebanyak RM200,000 telah diserahkan kepada PEYAKIN untuk tujuan pembelajaran masakan kepada anak-anak yatim berkenaan.

Cerita Habibah lagi, untuk peringkat permulaan hasil air tangan anak-anak yatim ini hanya untuk hidangan mereka semua.

Bagaimanapun, sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan pihaknya bersedia untuk menerima tempahan dari luar.

''Biarpun program ini biasa tetapi ia memberikan pendedahan kepada anak-anak ini dengan suasana di dapur.

''Maklumlah kesemua mereka dibesarkan di asrama dan juga disediakan makanan, namun melalui program ini mereka boleh merasai seolah-olah mereka berada di dapur rumah sendiri,'' ujar beliau.

Sementara itu Tun Rahah dalam ucapannya berbangga dengan penubuhan Dapur Selera Perdana ini kerana memberi peluang kepada generasi muda untuk mencuba bidang masakan.

Katanya, usaha ini hanya akan tercapai jika orang ramai terus memberikan sokongan dengan cara yang sesuai.

''Saya percaya bahawa anak-anak di sini boleh dibimbing untuk menjadi seorang chef yang terkenal atau pengusaha makanan yang berjaya suatu hari nanti.

''Mulai sekarang mereka juga boleh diajar untuk memasarkan hasil masakan bagi sekurang-kurangnya mengisi dana PEYAKIN," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: