Wednesday, May 12, 2010

Bank Rakyat mahu buka 10 lagi cawangan


Ahmad Kidzbullah Ridzuan (dua kiri) diiringi Mohamad Azman Mustaffa dan Latif Seeni (dua kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pegawai khidmat pelanggan Bank Rakyat ketika melawat premis baru Bank Rakyat Cawangan Kota Kinabalu di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 11 Mei - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) bercadang menambah 10 buah cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

Pengurus Besar Operasi Cawangan Bank Rakyat, Ahmad Kidzbullah Ridzuan berkata, cawangan baharu itu adalah di Sarawak, Kedah, Pahang, Sabah dan Terengganu.

''Pada tahun ini, kami bercadang membuka tiga cawangan di Sabah iaitu di Kota Marudu, Semporna dan Putatan manakala Limbang, Putrajaya dan Serian di Sarawak.

''Di Semenanjung pula, kita bercadang buka dua cawangan di Pahang iaitu di Bentong dan Bera serta masing-masing di satu di Kedah (Kuala Nerang) dan Terengganu (Kerteh)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian premis baru Bank Rakyat Cawangan Kota Kinabalu di Harbour City, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Wilayah Bank Rakyat Sabah, Latif Seeni dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Kinabalu, Mohamad Azman Mustaffa.

Ahmad Kidzbullah berkata, Bank Rakyat cawangan Kota Kinabalu merupakan yang pertama di buka di Sabah iaitu pada tahun 1994, diikuti beberapa lagi cawangan di Keningau, Kota Belud, Lahad Datu, Likas, Sandakan, Tawau, Penampang dan Beaufort.

Menurutnya, bagi memenuhi kehendak dan menyediakan kemudahan pelanggan bank berkenaan, pihaknya telah membuka dua cawangan baru di Seksyen 23, Shah Alam dan Tanjung Karang di Selangor.

Awal tahun ini juga, jelasnya, Bank Rakyat memperkenalkan beberapa kemudahan pelanggannya iaitu perkhidmatan Tabung Haji dan perlindungan takaful perubatan iaitu Ikhlas Medic Assist Takaful serta e-debit yang membolehkan pemegang kad bank itu membuat pembelian barang.

''Perkhidmatan Bank Rakyat yang mendapat sambutan seperti pajak gadai Ar-Rahnu juga akan dibuka di negeri ini pada tahun ini untuk pelanggan kami di Sabah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: