![]() |
| ERRA Fazira (dua dari kiri) bersama para pelakon Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami! selepas pratonton filem itu di Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. |
ANAK dara tua atau andartu merupakan senario yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini apabila ramai wanita termasuklah golongan berkerjaya yang masih tidak bertemu dengan calon suami sesuai.
Gelaran itu bukan sahaja sinis bunyinya, malah ia tentunya akan lebih gamat apabila digambarkan menerusi medium perfileman yang diilhamkan sendiri oleh penerbit filem tersebut.
Filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami (AT21HMC) misalnya, memaparkan tentang senario itu yang semakin banyak berlaku dalam masyarakat hari ini berdasarkan pengalaman penerbitnya, Haliza Misbun.
Menurut Haliza, dia tidak menafikan jalan cerita filem arahan Din CJ itu merupakan cebisan daripada pengalamannya yang masih belum bertemu jodoh biarpun sudah mencecah usia lewat 30-an.
"Saya akui 15 hingga 20 peratus daripada jalan cerita filem ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Tetapi kalau dalam cerita filem ini, ia bukannya tentang saya tetapi ia juga pengalaman yang dilalui oleh ramai lagi andartu di luar sana.
"Saya mahu menggambarkan bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh golongan andartu tetapi juga 'karenah lelaki' yang ada bermacam-macam perangai," katanya ketika ditemui selepas pratonton AT...21HMS di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
AT...21HMS merupakan filem pertama terbitan Haliza di bawah Big Production Sdn. Bhd., yang menelan kos penerbitan termasuk produksi berjumlah RM1.2 juta.
Selain selaku penerbit, Haliza juga melakonkan watak utama dalam filem itu sebagai Nik Melati Sukma atau Nikki di mana ia merupakan penampilan pertamanya sebagai heroin di layar perak.
Jelas pelakon yang popular melalui drama televisyen itu sejak lebih 10 tahun lalu itu, dia berasakan belum terlambat untuk bergelar heroin filem pada usianya kini yang lewat 30-an.
Sebaliknya, watak Nikki yang dilakonkannya dalam filem itu cukup sesuai dengan usianya selain sebagai suatu transformasi populariti lakonannya daripada medium drama ke filem.
"Ini bukan sahaja filem pertama terbitan saya. Malah, ia juga filem pertama yang saya lakonkan dan menjadi heroin pula. Bagi saya soal umur tidak menjadi isu kerana saya bukannya melakonkan watak heroin yang muda," ujarnya.
Menerusi filem yang akan ditayangkan di 48 buah pawagam di seluruh negara mulai 20 Mei ini, Haliza menampilkan ramai pelakon popular termasuklah Ari Wibowo yang didatangkan dari Indonesia.
Meskipun pernah digosipkan dengan Ari tetapi Haliza tidak menafikan jalan cerita filem terbitannya itu turut dibantu oleh para pelakon lain yang dibuat atas pemilihannya sendiri.
"Kebanyakan pelakon yang ditampilkan dalam filem ini memang saya pilih sendiri contohnya Ari Wibowo dan Erra Fazira. Mereka bukan sahaja sangat berbakat tetapi merupakan kawan-kawan rapat saya sejak dulu lagi," jelasnya.
Tambah Haliza, dia menggunakan perkataan terlampau pada judul filem itu bagi menggambarkan watak Nikki yang begitu memilih sehingga lambat mendapat jodoh.
Malah, watak itu juga digambarkan mempunyai perwatakan yang melampau seperti memakai gaun Inggeris sewaktu majlis akad nikahnya hendak dijalankan dalam filem tersebut.
"Ia adalah gambaran tentang watak Nikki. Bayangkan pengantin perempuan (Nikki) yang lari dengan memakai gaun pada majlis pernikahannya. Ia juga tentang gambaran citarasa Nikki yang berbeza daripada wanita lain," katanya.
Selain Haliza, Erra Fazira dan Ari Wibowo, AT...21HMS turut dilakonkan oleh Fahrin Ahmad sebagai Omar Shariff, Awie (Putra Aziz Al-Biruni), Azhar Sulaiman (Ayob), Fara Fauzana (Wulan), Abby Abadi (Sarah), Datuk Jalaluddin Hassan (Nik Mat), Maimun Mutalib (Fatimah) dan Fizo Omar (Jeremy).
Naik kelas ekonomi kerana Haliza
Hubungan akrab Ari Wibowo dan Haliza Misbun bukan setakat dalam set penggambaran drama dan filem yang mereka lakonkan bersama, tetapi ia juga terbawa-bawa sehinggalah ke luar lokasi penggambaran.
Atas dasar hubungan itulah maka pelakon filem dan sinetron popular dari Indonesia ini tidak terlalu berkira bagi membantu Haliza menjayakan AT...21HMS sewaktu penggambarannya diadakan tahun lalu.
Jelas bapa kepada dua anak ini, dia sanggup memenuhi undangan Haliza meskipun sentiasa sibuk menjalani penggambaran drama bersiri di negaranya saat tawaran berlakon filem itu diterimanya.
"Biasanya kalau dapat undangan berlakon atau mengadakan persembahan di Malaysia saya minta penganjur menyediakan tiket penerbangan kelas bisnes. Tetapi Haliza punya fasal saya kata beri tiket kelas ekonomi pun tidak mengapa. Tinggal di hotel bajet (murah) pun tidak apa.
"Saya lakukan ini kerana mahu mengurangkan bajet Haliza. Saya tahu kos menerbitkan filem tinggi dan ini pula filem pertama terbitannya. Saya tidak mahu berkira dengannya kerana kami sudah lama berkawan baik," katanya ketika ditemui pada pratonton tersebut.
Bapa kepada Marco, 9, dan Kenzo, 2, ini juga sanggup meluangkan jadualnya yang ketat semata-mata untuk melakonkan cuma beberapa adegan dalam filem itu.
Tambah pelakon berusia 39 tahun ini, dia sanggup datang ke Kuala Lumpur bagi menjalani penggambaran watak yang dilakonkannya pada sebelah pagi dan pulang ke Jakarta pada sebelah petangnya.
"Saya menjalani penggambaran untuk watak lakonan saya dalam filem ini cuma dalam masa satu hari sahaja. Kalau ikutkan memang penat tetapi saya puas kerana watak yang saya lakonkan itu lain daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini," jelasnya.
Erra lakon watak pembantu
AT...21HMS merupakan filem yang menampilkan ramai pelakon popular tanah air termasuklah Erra Fazira yang sebelum ini dikenali ramai sebagai 'ratu filem Melayu' era masa kini.
Bagaimanapun, menerusi filem genre komedi itu, dia buat pertama kalinya melakonkan watak pembantu selepas lebih 10 tahun menjadi heroin di layar perak.
Menurut Erra, dia tidak terasa seperti 'turun taraf' apabila melakonkan watak Markonah dalam filem komedi tersebut.
"Saya tidak terasa jatuh taraf atau rendah diri berlakon dalam filem ini biarpun hanya melakonkan watak sampingan sahaja. Apa yang penting saya suka dengan watak dan karekter Markonah.
"Apabila Haliza menawarkan saya berlakon dalam filem ini saya cukup berbesar hati kerana dia kawan baik saya. Apatah lagi, ini filem pertama terbitannya. Ini sebagai salah satu tanda sokongan saya kepadanya," komen Erra.
Pada masa sama, Erra tidak menafikan bahawa selepas lebih sedekad bergelar pelakon, ramai pelakon muda yang muncul dan secara tidak langsung ia melenyapkan gelaran 'ratu filem Melayu' yang diberikan kepadanya.
Sebagai contohnya, pasangan pelakon Farid Kamil dan Lisa Surihani kini merupakan pasangan pelakon yang cukup popular sebagai hero serta heroin dalam dunia perfileman Melayu.
"Saya tidak nafikan tentang perkara itu. Memang sekarang ini zaman Lisa dan Farid. Biasalah mana ada sesuatu gelaran itu kekal sepanjang zaman. Saya boleh terima kenyataan itu kerana zaman sudah berubah.
"Saya pun sudah berkahwin dan ada anak serta suami. Jadi mungkin untuk melakonkan watak heroin sudah kurang sesuai lagi dalam filem. Bagilah peluang pada pelakon baru pula," ujarnya dalam nada merendah diri.
Fizo takut berlakon dengan Haliza
Fizo Omar yang merupakan pelakon remaja popular yang ditampilkan dalam ini berasa teruja kerana ia merupakan kali pertama dia mencuba bakat di layar perak.
Pelakon berusia 25 tahun ini pada masa sama menyatakan bahawa rasa keterujaannya itu turut bercampur baur dengan perasaan cuak dan takut apabila pertama kali berlakon bersama Haliza Misbun.
Jelasnya, sebelum menjayakan penggambaran filem itu, dia mendengar cerita mengenai Haliza, seorang pelakon dan penerbit yang cukup garang sewaktu berada di lokasi penggambaran.
"Mulanya, saya rasa takut juga mahu berlakon dengan Haliza sebab ada yang kata dia garang. Tetapi selepas berlakon saya dapati dia bukanlah seperti yang diceritakan.
"Walaupun hanya berlakon lima babak dalam filem ini tetapi saya berasa seronok. Ini adalah pengalaman pertama saya berlakon filem," katanya.
Sebagai pelakon paling muda dalam filem ini, Fizo tidak menafikan dia juga berasa segan apabila digandingkan dengan ramai pelakon yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.
Namun, atas bantuan dan semangat yang diberi oleh para pelakon lain terutamanya Haliza sendiri, menyebabkan jejaka kacak ini lebih yakin untuk melakonkan watak Jeremy dalam filem itu.
"Saya segan juga hendak berlakon dengan ramai pelakon berpengalaman dalam filem ini. Saya takut lupa dialog atau buat salah di set penggambaran. Pada masa sama saya berasa lebih yakin dan beruntung kerana Haliza beri kepercayaan kepada saya dalam filem ini.
"Mungkin bakat saya mula diberi perhatian selepas berlakon lebih 20 drama televisyen. Mungkin ini suatu permulaan untuk saya bertapak dalam dunia perfileman pada masa akan datang," tuturnya.
Selepas AT...21HMS, Fizo menerima banyak tawaran berlakon termasuklah dalam drama berjudul Jersi 9 sebanyak 13 episod yang tamat penggambarannya baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: