Friday, May 7, 2010

Artis terjemah rasa prihatin


Para artis dan wartawan Mingguan Malaysia bergabung menyanyikan lagu Warisan sebagai acara kemuncak mini konsert yang berlangsung di Dataran Teluk Kemang baru-baru ini.


BUKAN mudah menyatukan puluhan anak seni dalam satu masa. Apatah lagi, apabila melibatkan jadual kerjaya yang tidak menentu, sedikit sebanyak membataskan mereka membuat keputusan sama ada bersetuju ataupun tidak untuk melibatkan diri dalam sesuatu acara.

Ahad lalu, buat pertama kalinya berlangsung program Kembara Mingguan Malaysia yang dianjurkan oleh akhbar Mingguan Malaysia dan Negeri Sembilan merupakan destinasi pertama yang menjadi pilihan.

Menerusi program tersebut, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah mengunjungi serta beramah mesra dengan penghuni Rumah Kanak-kanak Rembau, penghuni Rumah Anak Yatim Ulu Gadong serta konsert mini yang berlangsung di Dataran Teluk Kemang pada sebelah malamnya.

Menariknya, lebih 10 artis terkenal tanah air meluangkan masa sehari suntuk untuk sama-sama menyertai kembara tersebut.

Dalam erti kata lain, ia menterjemah rasa prihatin para artis terhadap kanak-kanak mangsa dera serta yang kurang bernasib baik.

Antara artis yang terlibat ialah Hattan, Ameng Spring, Zamani, Kamal Adli, Intan Ladyana, Roslan Shah, Haiza, Izwan Pilus, Jehan Miskin, Fazli Zainal dan Hairi Anak Wayang.

Turut serta ialah krew radio Suria FM selaku radio rasmi acara tersebut serta beberapa penyampainya iaitu Tuah Zolqarnain, Lin dan Bob.

Terdahulu, kembara yang melibatkan konvoi 10 buah kenderaan pelbagai guna dilancarkan dari ibu pejabat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak sekitar pukul 9 pagi.

Turut serta dalam pelepasan tersebut ialah Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud dan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah.

Selain itu, program tersebut turut disertai oleh Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin serta wartawan hiburan Mingguan Malaysia.

"Jadual masa yang tidak menentu dan padat tidak langsung menjadi penghalang bagi kami para artis untuk sama-sama menjayakan program sebegini.

"Kami memang boleh luangkan masa sekiranya tidak terbatas dengan jadual kerja.

"Apa yang kami harapkan pada masa akan datang jika masih ada peluang kami akan sama-sama melibatkan diri lagi," kata Hattan yang mewakili rakan artis pada program tersebut.

Apa yang membanggakan, sepanjang berlangsungnya kembara tersebut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Zainab Nasir yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas tidak ketinggalan meluangkan masanya untuk turut serta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: