
TIDAK berkiblat pada mana-mana jalur muzik secara rigid, sekumpulan anak muda yang mahu dikenali sebagai Na'Faz Band ini bagaimanapun mengakui rock menjadi inti dalam setiap karya mereka.
Atmosfera muzik semasa yang masih menyanjung kumpulan rock legenda seperti Wings dan Search tetapi dalam masa yang sama menyambut baik kedatangan pemuzik-pemuzik baru yang lebih popular disebut pemuzik indie, mendorong perintis grup baru ini, Mohd. Nazri Mohd. Razak atau Naz supaya Na'Faz tidak berlengah lagi.
Sementelah dalam tangan sudah tergenggam lebih 30 buah lagu dan lirik milik sendiri, Na'Faz memilih komposer otai LY sebagai penerbit eksekutif bagi projek kelahiran single pertama mereka, Angau Igau.
"Saya bekerja di belakang tabir, menguruskan artis dan majlis hiburan, jadi sudah lama mengenali LY. Bagi saya, dia komposer yang ada banyak sisi, setiap lagunya memberikan variasi.
"LY sendiri menaruh keyakinan untuk kami tampil berkongsi luahan bersama khalayak," kata Naz yang bertindak sebagai vokalis Na'Faz.
Mengeluarkan duit saku di bawah syarikat milik sendiri, Aces Sdn. Bhd. yang telah lima tahun beroperasi, bukan perhatian dan pulangan material yang diharapkan anak kelahiran Sarawak ini.

"Jika saya mengambil pendekatan projek ini sebagai satu pelaburan, sudah tentu pulangan kewangan yang diharapkan. Tetapi sebagai permulaan, penerimaan pihak luar dan kepuasan peribadi menjadi perkara utama.
"Saya menaruh keyakinan, single Angau Igau yang bakal kami lancarkan pertengahan Mei nanti boleh diterima pendengar," katanya.
Lagu pengenalan Na'Faz, Angau Igau ditulis sendiri oleh Naz manakala LY (Rosman Shafie) bertindak sebagai komposer. Ia berkisarkan dambaan seorang lelaki terhadap wanita idamannya, namun ego menjadi penghalang.
"Saya kira ia sebuah lagu yang menarik tambah lagi, ada liriknya yang berbunyi 'muat turun laguku ke dalam telefonmu'. Semacam satu promosi kepada lagu sendiri juga," tambah Naz lagi.
Tidak terburu untuk perancangan album penuh, segalanya nanti akan berterusan jika respons yang baik diterima daripada pendengar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: