Saturday, May 8, 2010

Agnes, duta & juri


TERLIBAT sebagai juri Indonesian Idol, Agnes mahu memberi motivasi kepada pendatang baru agar kental mengharungi permulaan dunia menjadi artis.


HADIR ke Malaysia menjayakan persembahan sulung sempena Minggu Setiausaha bersama Agnes Monica dan Hotel Quality di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, hujung April lalu, penyanyi muda berbakat besar dari Indonesia, Agnes memberi sebuah persembahan bertenaga.

Ironi, ramai yang mahu melihat Agnes sedikit ‘sopan’, memakai gaun atau kelihatan feminin sambil melantunkan untaian lagu balada miliknya seperti Matahari, Teruskanlah atau Merpati Putih.

Namun yang ditampilkan gadis 26 tahun itu adalah sebuah persembahan penuh energatik dan tidak bersifat feminin. Agnes tetap Agnes yang lincah dengan tariannya dan menguasai pentas dengan lagu-lagu rancak. Lebih daripada itu, persembahan tengah hari itu mirip sebuah konsert. Itulah Agnes.

Katanya, dia tidak akan mengubah corak persembahan walaupun mengetahui audiens pada Minggu Setiausaha lebih rileks dan akan duduk menikmati makanan.

“Sewaktu dilamar untuk menjayakan persembahan pada Minggu Setiausaha, saya memang sudah memberitahu saya tidak akan mengubah konsep persembahan saya dan mereka bersetuju. Jadi saya teruskan dengan konsep saya.

“Ya, walaupun boleh dilihat banyak audiens yang duduk dan kurang agresif seperti audiens di konsert, namun saya berpuas hati dengan sambutan yang mereka berikan,” katanya yang turut mendendangkan medley Michael Jackson seperti Beat It dan Smooth Criminal.

Bercakap tentang perkembangan terkini, Agnes yang kini menjadi juri bagi program Indonesian Idol bersama Rossa dan komposer Erwin Gutawa memberitahu dia teruja dapat bersama program realiti tersebut untuk mencari bakat baru yang boleh mewarnai industri hiburan republik tersebut.


SEBAGAI penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu rancak dan skil tarian, Agnes memberi sebuah persembahan bertenaga pada majlis Minggu Setiausahanya bersama Hotel Quality hujung April lalu.


Walau ada yang mempersoalkan usianya terlalu muda untuk menjadi juri, Agnes berpendapat usia bukan faktor, tetapi pengalamannya dalam industri yang sudah melebihi usia 10 tahun diharap mampu membantu pendatang baru mendapatkan tips untuk menjadi penghibura yang baik.

Katanya: “Pada mulanya, saya takut menerima lamaran menjadi juri. Tapi akhirnya saya terima kerana mahu memberi bimbingan dan menolong memotivasikan para peserta, bukan menjatuhkan mereka.”

Dalam masa yang sama, penyanyi dan pelakon yang dikenali dengan sikap tidak pernah berhenti belajar ini juga baru sahaja dilantik menjadi duta oleh MTV EXIT Indonesia dalam usaha membanteras gejala perdagangan manusia.

MTV EXIT merupakan sebuah pesta muzik yang menjadikan hiburan sebagai medium menyalurkan maklumat tentang perdagangan manusia. Sebelum Indonesia ia terlebih dahulu diperkenalkan di negara Asia lain dan Indonesia terpilih dalam kempen ini kerana terdapat banyak kes perdagangan manusia terjadi di negara tersebut.

“Saya merasakan adalah baik untuk kita berkongsi maklumat dan menyalurkan sesuatu untuk komuniti kita. Tak silap saya, konsert ini bukan sahaja ditayangkan di negara Asia lain, tetapi juga di Eropah,” katanya yang akan memulakan kempen di seluruh Indonesia bersama beberapa artis lain dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: