Monday, May 10, 2010

AFundi Masuk: Shahir Pilihan Majoriti

Gerak isyarat tangan Shahir menunjukkan betapa dia berterima kasih kepada para pengundinya.

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh seminggu, Shahir yang tersingkir dari Akademi Fantasia Kelapan (AF8) minggu ketujuh diundi masuk semula ke akademi menerusi AFundi Masuk malam tadi.

Pelajar pilihan tenaga pengajar mahupun penonton itu meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi bagi AFundi Masuk iaitu 68.6 peratus, menurut Pengurus Saluran RIA, Azlin Reza Azmi.

"Ini diikuti Anum (18.57 peratus), Farina (4.2 peratus), Alif (3.78 peratus), Nad (3.03 peratus), Ema (1.17 peratus) dan Shah (0.63 peratus)," katanya pada sidang akhbar selepas konsert pengumuman keputusan AFundi Masuk di Dewan Sri Putra di sini.

Keputusan itu jelas menunjukkan para penonton tidak rela penyanyi berbakat ini tersingkir.

Bagaimanapun Azlin menegaskan, seorang peserta pasti disingkirkan untuk AF8 minggu kesembilan kerana hanya lima peserta yang akan ke final.

Kelmarin, Farina tersingkir pada konsert AF8 minggu kelapan.

Sementara itu, Pengetua AF8, Norman Kru menjelaskan pengenalan AFundi Masuk bukanlah bermatlamat 'menyelamatkan' Shahir yang dikatakan merupakan pelajar kegemarannya.

Kembali bersama...(dari kiri) Ain, Iwan, Shahir, Maulana, Adira dan Daus.

"Pertamanya, saya tidak boleh katakan Shahir adalah pelajar favourite saya kerana saya menyayangi semua pelajar saya sama rata.

"Keduanya, kemasukan AFundi Masuk adalah ekoran penyingkiran beberapa pelajar berbakat sebelum ini. Yalah...sebelum Farina tersingkir pun, kita dah tahu memang ada AFundi Masuk," katanya.

Tegas Norman, AFundi Masuk digunakan untuk memastikan kualiti final adalah terjamin.

Menurutnya, kemasukan Shahir akan memantapkan barisan pelajar yang akan melangkah ke peringkat akhir.

"Tak tentu lagi Shahir akan ke peringkat akhir. Ia bergantung kepada persembahannya pada konsert kesembilan nanti," katanya yang pada mulanya tidak menyetujui pengenalan AFundi Masuk.

Dalam pada itu, Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 22, bersyukur dia diberi peluang kedua untuk meneruskan perjuangan dalam AF8.

Penyanyi bersuara jantan seperti didakwa pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie ini berjanji akan membalas kepercayaan serta sokongan mereka yang mengundinya kembali ke akademi.

"Sepatutnya saya memberikan sesuatu yang terbaik terhadap pengorbanan mereka. Akan ada pengorbanan daripada saya," ujarnya.

Ditanya sejauh mana peluangnya melangkah ke peringkat akhir nanti, kata Shahir: "Mungkin sesetengah orang nampak ada sesuatu yang boleh saya tonjolkan dalam industri muzik.

"Malangnya konsert ketujuh saya tersingkir. Mungkin inilah peluang yang mereka berikan kepada saya," katanya.

Shahir tidak mungkin mensia-siakan peluang kedua ini.

"Jika saya kecewakan peminat saya lagi, maka ini adalah satu kegagalan bagi saya," akuinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: