![]() |
| TENGKU Muhammad Zulfadli Tengku Azhar (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Adfinity, Mohd. Nor Ikhram Ramli bersama poster dan ruang penganjuran Program Karnival 1Kasih yang akan diadakan 14 Mei ini. |
BAKAL diadakan selama tiga hari dua malam bermula 14 Mei ini di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Program Karnival 1Kasih pastinya menjadi medan untuk membuktikan perpaduan di kalangan belia negara.
Bertemakan Berseronok Tetaoi Jangan Lupa Iman, pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan karnival yang turut dihadiri artis ternama dan kumpulan nasyid indie tanah air.
Acara yang telah disusun adalah pameran kereta dan motosikal, bolasepak jalanan, pertunjukan fesyen, pertandingan karaoke dan sesi bersama barisan pelakon filem Kecoh Betul.
Filem berkenaan membariskan pelakon seperti Saiful Apek, Nabil, Bell Ngasri, Datuk Aziz Sattar dan Diana Danielle.
Di samping mempromosikan filem yang akan ditayangkan tidak lama lagi, pengunjung boleh membuat pembelian awal untuk menyaksikan filem berkenaan termasuk beramah mesra dengan pelakon-pelakonnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Adfinity Empire, Tengku Muhammad Zulfadli Tengku Azhar, selaku penganjur bersama Kelab Generasi Elit, Program Karnival 1Kasih bertujuan menyeru perpaduan di kalangan belia negara.
Ia juga, jelasnya, sebagai membuktikan kelompok belia mampu menganjurkan program berskala besar.
''Kami menjangkakan karnival ini akan menerima lebih 100,000 pengunjung untuk tiga hari.
''Insya-Allah, ia akan diadakan setiap tahun dan tidak hanya tertumpu di ibu negara sahaja.
''Mengikut perancangan, program ini akan bertandang sama ada ke Melaka atau Kedah sekitar November nanti,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujar Tengku Muhammad, Program Karnival 1Kasih diadakan bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara.
Program tersebut turut menyelitkan forum ilmiah di malam pertama di samping konsert nasyid indie malam berikutnya.
Setakat ini, tiga buah kumpulan nasyid indie telah menyatakan persetujuan untuk bersama memeriahkan Program Karnival 1Kasih itu.
Tidak ketinggalan, ia bakal disertai dua kumpulan nasyid popular tanah air yang akan diumumkan kemudian.
''Kami amat mengharapkan sokongan belia untuk bersama hadir ke program ini dan masuk adalah percuma,'' katanya.
Mengenai penglibatan kumpulan nasyid indie tempatan, katanya, ia bagi memberi peluang kepada mereka untuk lebih dikenali di semua peringkat.
''Ini juga adalah peluang kumpulan sebegini untuk diketengahkan di lapangan muzik arus perdana,'' ujarnya.
Menurutnya, Program Karnival 1Kasih menyediakan sebanyak 250 gerai jualan yang akan dibuka sepanjang berlangsungnya program tersebut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: