Tuesday, May 11, 2010

157 hari rentasi Himalaya




BERMULA tahun depan pendaki yang ingin mencabar diri mereka berpeluang menyertai pengembaraan berpandu pertama sepanjang seksyen jejak Banjaran Himalaya.

Pengembaraan sejauh 1,700 kilometer (km) itu akan bermula pada Februari 2011. Ia dikendalikan oleh World Expeditions, syarikat kembara pelancongan global yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad membawa pendaki ke Nepal.

Bagaimanapun, perintis pengembaraan itu telah dilakukan oleh pendaki Britain, Robin Boustead yang telah menghabiskan masa sedekad lalu dengan merentasi puncak dunia itu.

Pada tahun lalu, Boustead berjaya merentasi Banjaran Himalaya, Nepal sekali gus memenuhi impiannya untuk mewujudkan laluan berdaya maju melalui gunung-ganang banjaran tersebut.

"Asia merupakan satu-satunya benua yang tidak mempunyai laluan berjalan jauh dan ia kelihatan satu pilihan tepat," kata Boustead dalam satu wawancara.

"Idea ini mula terlintas di fikiran saya pada tahun 1993 dan saya jatuh cinta dengannya. Tetapi ia tidak sehingga Nepal menjadikan sempadannya bebas tentera dengan China pada tahun 2002 untuk menjadi berdaya maju."

Boustead telah kehilangan 20 peratus daripada berat badannya apabila berjalan dari Kanchenjunga di sempadan bahagian timur Nepal dengan Tibet untuk ke daerah miskin di barat Humla.

Semasa dalam perjalanan tersebut, dia telah menemui pelbagai budaya di mana Nepal sebagai tempat tinggal masyarakat Tamang. Masyarakat penganut agama Buddha di pusat daerah Langtang yang jauh ke kawasan barat di mana penduduknya mengamalkan animis purba Hindu.

Dia berjalan menggunakan laluan yang pernah digunakan oleh pedagang purba dan lorong-lorong para petani mengangkut ternakan dengan bantuan pemandu tempatan.


PENGEMBARAAN World Expeditions yang bermula pada Februari tahun depan menggunakan laluan purba.


Boustead akan mengetuai sebahagian daripada pengembaraan World Expeditions yang bermula pada Februari 2011, dengan kos AS$31,000 (RM98,859) dan mengambil masa selama 157 hari untuk menyelesaikan pengembaraan tersebut. Bagaimanapun, ia boleh dibahagi-bahagikan kepada tujuh peringkat lebih kecil.

"Setakat ini, hanya seorang telah mendaftar untuk melakukan semua perkara dan ramai lagi dalam bahagian individu," kata Pengurus World Expeditions di Britain, Brad Atwal.

"Pelanggan kami terdiri daripada golongan profesional yang berumur 40 tahun ke atas yang mempunyai wang dan masa untuk melakukan pengembaraan ini. Mereka juga perlu mempunyai pengalaman dan bukan pendaki baru," katanya.

Beberapa seksyen memerlukan keupayaan pendakian gunung kerana ketinggian yang melebihi daripada 6,000 meter dan memerlukan pendaki mengapak ais serta menggunakan crampons.

Pendaki gunung terkemuka, termasuk rakyat Britain pertama yang mendaki Gunung Everest tanpa oksigen tambahan, Stephen Venables, telah dilantik untuk mengetuai laluan seksyen yang lebih mencabar.

Pelancaran laluan tersebut secara komersial merupakan usaha logistik utama kerana kebanyakan kawasan yang dilalui tidak pernah dijejaki pelancong.

Faedah pelancongan

Bagaimanapun, Boustead percaya pendaki yang terus menghala ke Gunung Everest dan daerah Annapurna akan mengalami kerugian. Dia berharap laluan tersebut akan memberi faedah kepada pelancongan merentasi kawasan lebih luas di Nepal.

"Orang datang ke Nepal kerana gunung-ganangnya. Tetapi kalau anda hanya mengunjungi kawasan pelancongan seperti Everest dan Annapurna anda sukar mendapat layanan dengan lebih dekat berbanding di luar kawasan terbabit," katanya.


NEPAL terkenal dengan gunung-ganang dan banjarannya.


Jabatan Pembangunan Antarabangsa Britain telah memberi jaminan kira-kira AS$3 juta (RM9.6 juta) untuk mempromosi laluan berkenaan dan membantu komuniti tempatan mengambil kesempatan dengan aliran pengunjung.

Idea Great Trail Himalaya bukanlah perkara baru kerana sejak tahun 1980, tentera India telah menjalankan beberapa siri merentasi Gunung Kanchenjunga di sempadan bahagian timur Nepal dan China untuk ke Ladakh, India.

Pada masa itu sebahagian besar Banjaran Himalaya Nepal, termasuk sempadan dengan Tibet, telah ditutup untuk orang luar.

Pemberontakan Maoist yang bermula pada tahun 1996 juga telah meletakkan sebahagian besar kawasan luar bandar Nepal tidak boleh dimasuki pelawat asing sehingga perjanjian damai ditandatangani pada tahun 2006.

Boustead berharap ia mungkin boleh menjadi kenyataan untuk berjalan sepanjang Banjaran Himalaya, dari China di bahagian timur sehingga ke bahagian barat Afghanistan.

Dia sedang mengkaji laluan melalui Bhutan dan Arunachal Pradesh, India dan berharap tahun depan dapat mengembara ke Pakistan dan Afghanistan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: