
Peserta teratas 12 yang berjaya ke peringkat seterusnya ialah, Return Crew, Blacky Wacky, Backyard Revulution, Feasible Crew, Funky UX Crew, IDS Crew, Giler Battle, HMC Phlow, Soul Krazy, Famous Crew, Blazin Squad, Borneo Soul Breakers, Floor Fever dan Wakaka.
Dihoskan penyampai radio FLY.FM, Hafiz Hatim, Showdown akan bersiaran setiap Rabu jam 9.30 malam di saluran hip 8TV. Persembahan secara langsung yang dibawa dari KL Live ini akan dinilai dua juri profesional iaitu, penerbit dan penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow dan penari serta koreografer tersohor, Maple Loo.
Setiap minggu semua krew akan beraksi untuk memenangi hati juri dan penonton juga berpeluang mengundi krew kegemaran mereka. Bagaimanapun, keputusan akhir terletak di tangan juri untuk menentukan kumpulan yang akan tersingkir setiap minggu.
Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, beliau meletakkan kepercayaan yang sepenuhnya terhadap dua juri yang dilantik itu bagi mencari peserta yang manakah paling layak bergelar juara Showdown 2010 memandangkan program realiti ini bakal menjadi pertandingan tarian yang terhebat dalam sejarah program televisyen Malaysia.
“Bermula pada bulan Januari lagi, krew Showdown 2010 menjelajah ke lima buah negeri, iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur untuk mencari krew tarian yang terhebat menyertai program ini.
“Showdown ialah gelanggang untuk mencari krew terhebat Malaysia. Industri seni tari di negara ini pun semakin berkembang dan program sebegini merupakan platform yang baik untuk penari mengetengahkan bakat masing-masing,” katanya ketika majlis memperkenalkan Top 12 krew Showdown di KL Live, petang kelmarin.
Untuk mengenali Top 12 krew dengan lebih dekat, anda boleh saksikan Diari Showdown 2010 yang akan disiarkan setiap Selasa, jam 11.30 malam bermula 11 Mei ini.
Bagi anda yang ingin bertemu secara dekat, jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan street dance semua krew yang julung kalinya akan diadakan di Jalan Bukit Bintang, jam 2 petang, hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: