Tuesday, April 13, 2010

Lamb of God promosi Wrath di Singapura


LAMB of God akan mengadakan konsert di Singapura pada 15 April ini sempena promosi album terbaru mereka berjudul Wrath.


PELBAGAI usaha akan dilakukan oleh mana-mana juga penyanyi atau pemuzik bagi mempromosikan album terbaru mereka agar ia didengar dan minati oleh para peminat di seluruh dunia.

Kumpulanpure metal dari Richmond, Virginia, Amerika Syarikat (AS) iaitu Lamb of God juga tidak terkecuali berusaha keras bagi mempromosikan album terbaru mereka yang berjudul Wrath.

Lamb of God yang dianggotai Randy Blythe (vokalis), Willie Adler (gitaris), Chris Adler (dram), John Campbell (bassis) dan Mark Morton (gitaris) menggunakan konsert untuk platform tersebut.

Selepas 15 tahun ditubuhkan, kumpulan yang terkenal di arena muzik metal di AS itu misalnya, akan mempromosikan Wrath pada konsert pertama mereka di Singapura 15 April ini.

Pada konsert yang akan diadakan di D'Marquee, Downtown East, Singapura itu, Lamb of God akan mempromosikan lagu-lagu yang dipetik daripada album tersebut yang diedarkan di seluruh dunia.

Wrath yang diedarkan di negara ini melalui syarikat rakaman Warner Music Malaysia Sdn. Bhd., sejak tahun lalu mendapat sambutan hangat daripada para peminat tempatan.

Sambutan hebat yang diberikan oleh para peminat di seluruh dunia paling ketara sejak lima tahun lalu apabila Lamb of God mengikat kontrak dan bernaung di bawah label Epic Records.

"Kami pun tidak menyangka bagaimana kumpulan metal yang ekstrem seperti Lamb of God boleh wujud dalam label major seperti Epic Records," kata Mark Morton tentang perjalanan kariernya.

Selain Singapura, kumpulan yang menampilkan Chris Adler sebagai salah satu pemain dram terbaik dunia itu telah mengaplikasikan formula sama dalam mempopularkan nama mereka.

Sebagai contohnya, pada album-album terdahulu Lamb of God, mereka turut mengadakan konsert bergerak bagi mempromosikan album-album mereka seperti Sacrament pada tahun 2006.

Dengan mengadakan konsert bergerak ke seluruh dunia selama 19 bulan, mereka mengambil kesempatan itu bagi mempromosikan Sacrament hingga ia menjadi siulan ramai peminat.

Ekoran usaha gigih itu, maka tidak hairanlah Lamb of God menerusi album tersebut pernah berada dan carta Top 10 Billboard di AS selain tersenarai 10 Album Metal Terlaris di negara mereka.

Pengalaman mengadakan konsert bergerak bersama Ozzy Osbourne di Ozz Festival pada 2007, Unholy Alliance Tour bersama Slayer dan Megadeth (Gigantour) turut membantu mereka.

Justeru, selepas 15 tahun menimba pengalaman, Lamb of God kini mampu berdiri sendiri dengan mengadakan konsert bergerak mereka ke seluruh dunia tanpa dibayangi oleh kumpulan lain.

Konsert bergerak sempena kemunculan album Wrath itu akan diadakan di 71 buah tempat meliputi negara-negara benua Amerika Utara, Asia, Amerika Selatan dan Eropah.

Selepas Singapura, Lamb of God akan meneruskan konsert mereka di Manila, Filipina pada 17 April ini dan siri konsert itu akan berakhir pada 5 Oktober ini di Mexico City, Mexico.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: