Saturday, April 17, 2010

Juruterbang tahu pesawat akan terhempas


GAMBAR fail pada 14 April lalu menunjukkan anggota-anggota keselamatan Rusia mengawal bangkai pesawat Tupolev Tu-154 yang terhempas di Smolensk.


WARSAW - Analisis kota hitam menunjukkan bahawa juruterbang pesawat yang membawa Presiden Poland, Lech Kaczynski mengetahui nahas akan berlaku, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang daripada pasukan penyiasat mendedahkan terdapat perbualan yang 'dramatik' di atas pesawat beberapa saat sebelum pesawat Tupolev-154 itu terhempas dalam kabus tebal dengan mengakibatkan 96 penumpang dan anak kapalnya terbunuh pada Sabtu lalu.

Seorang pakar dari Poland, Kolonel Zbigniew Rzepa enggan mendedahkan butiran lebih lanjut.

Namun, Peguam Negara, Krzysztof Parulski mengakui: "Tiga hingga lima saat sebelum pesawat itu terhempas, semua juruterbang itu tahu kejadian tersebut tidak dapat dielakkan."

Beliau turut menjelaskan pesawat itu bergerak pada kelajuan 150 hingga 180 meter sesaat.

Juruterbang pesawat itu, Kapten Arkadiusz Protasiuk dan krew penerbangannya sebenarnya mempunyai masa yang mencukupi untuk mengetahui bencana yang akan melanda pesawat dan penumpangnya.

Parulski bagaimanapun tidak menyatakan sama ada penyiasat percaya para penumpang, Presiden Poland itu dan isterinya Maria, ahli politik dan ketua tentera yang menaiki pesawat berkenaan mengetahui mereka akan terhempas.

Satu sumber yang rapat dengan siasatan tersebut mendakwa kesilapan besar juruterbang pada saat-saat akhir itu telah menyebabkan bencana berkenaan berlaku.

Beliau mendakwa analisis kotak hitam dan pembinaan semula bangkai pesawat menunjukkan bahawa belokan terakhir yang dilakukan oleh juruterbang menyebabkan kapal terbang tersebut melanggar pokok.

Juruterbang itu tidak mengendahkan amaran supaya tidak mendarat berikutan kabus tebal. Kotak hitam itu juga menunjukkan juruterbang terlambat untuk tidak mendarat selepas beliau menyedari kedudukan pesawat buatan Rusia tersebut tidak selari dengan landasan kapal terbang tentera berhampiran Smolensk, Rusia.

Presiden Poland, Lech Kaczynski dan isterinya Maria akan dikebumikan esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: