Friday, April 16, 2010

Jurulatih tenis kanak-kanak




KHOO CHIN BEE, 33, merupakan seorang jurulatih yang dikagumi di Pusat Tenis Monster (Monster Tennis). Pusat tenis yang beroperasi sejak tahun 2008 itu saban hari menyaksikan telatah jurulatih wanita tersebut melatih barisan pemain tenis muda dengan penuh bersemangat dan berdisiplin.

Bentuk fizikal wanita itu yang tegap dan berotot sememangnya menyerlahkan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih profesional. Manakan tidak, sebelum mengorak langkah menjadi jurulatih di Monster Tennis, Chin Bee merupakan pemain tenis kebangsaan. Namanya juga sudah terpahat dalam arena sukan tenis tempatan kerana berjaya merangkul pelbagai pingat dalam kejohanan sukan di peringkat tempatan dan luar negara. Chin Bee dilahirkan dalam keluarga yang begitu arif dengan sukan tenis memandangkan dua orang abangnya juga merupakan pemain tenis negara. Mungkin kerana itulah, minat Chin Bee terhadap tenis terbit secara semula jadi, lantaran mengikut jejak abangnya dalam sukan berprestij itu.

Walau bagaimanapun selepas hampir 11 tahun terlibat dalam sukan itu, pada tahun 2004, Chin Bee terpaksa melupakan hasrat meneruskan perjalanan sebagai pemain tenis bertaraf antarabangsa. Ini kerana pada ketika itu, agak sukar mendapatkan tajaan syarikat korporat untuk menaja pemain tenis negara ke pentas antarabangsa.

Bagaimanapun anak kelahiran Perak tersebut tidak menganggap keputusan itu sebagai penghujung kariernya yang dibina sejak berusia 16 tahun lagi. Sebaliknya, dia mula mengalih tumpuan dan pengalaman yang ditimba selama ini terhadap profesion jurulatih yang turut menuntut cabaran bukan sedikit.

Pusat tenis kanak-kanak


CHIN BEE (kiri) bersama Amy memulakan pusat latihan tenis tertutup yang dibina khusus untuk melatih bakat muda dalam sukan tenis.


Chin Bee yang ditemui Kosmo! pada satu pertemuan di Monster Tennis di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu tampil dalam persalinan kemeja T putih dan seluar pendek rona biru kelihatan sibuk melayan kerenah anak-anak muridnya yang teruja bermain tenis di pusat tersebut.

Apa yang menarik, semua anak muridnya bukan terdiri daripada golongan remaja ataupun dewasa sebaliknya mereka adalah kanak-kanak yang berusia tiga hingga lapan tahun.

"Pusat tenis ini direka bentuk istimewa untuk golongan kanak-kanak sahaja. Mungkin anda tertanya mengapa kanak-kanak? Jawapannya, kerana tenis merupakan salah satu sukan yang paling sukar di dunia. Ia perlu dilatih ketika seseorang masih kanak-kanak kerana masih segar dan hijau dari segi fizikal dan mental.

"Jika dilihat bintang-bintang tenis terkemuka dunia seperti Rafael Nadal, Maria Sharapova, Martina Hingis dan Andre Agassi, semuanya sudah memegang raket tenis semasa berusia dua ataupun empat tahun. Ini bukan sahaja memudahkan proses latihan, malah membantu perkembangan kanak-kanak itu sendiri," ujar wanita berambut pendek yang tinggi lampai itu.

Katanya, dia sentiasa bercita-cita untuk membuka sebuah akademi tenis di ibu kota bagi melatih anak-anak muda yang berminat terhadap sukan itu. Semasa tempoh persaraan daripada sukan tenis, kakak iparnya, Amy Chan melontarkan idea mengenai pembukaan pusat tenis tertutup atau di dalam bangunan untuk kanak-kanak.


CHIN BEE dibantu oleh seorang jurulatih muda dalam melatih kanak-kanak dengan sukan tenis di Pusat Tenis Monster.


Setahu Chin Bee pusat sedemikian masih belum wujud di Malaysia tetapi di luar negara ia sudah pun begitu popular.

Setelah lama membuat perbincangan, dia berganding bahu dengan Amy membuka Monster Tennis di Sri Hartamas. Lazimnya, tenis adalah sukan yang melibatkan aktiviti luaran dan perlu mengharungi cuaca yang panas terik. Tetapi di Monster Tennis pula konsep aktiviti dalaman diperkenalkan supaya anak-anak kecil lebih selesa bermain di kawasan yang teduh dan tertutup.

Perkembangan positif

Sementara itu, persekitaran tempat bermain yang selesa menjamin keselamatan kanak-kanak dan ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana si cilik sentiasa diawasi oleh jurulatih yang profesional. Di pusat itu turut disediakan peralatan permainan berkualiti tinggi yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.

Pusat yang mempunyai kira-kira 120 kanak-kanak yang berminat untuk bermain tenis itu dilatih dengan modul latihan yang terbaik. Selain mencungkil bakat, modul tersebut juga dibentuk untuk menggalakan tumbesaran dan perkembangan fizikal serta mental kanak-kanak berkenaan.

Semasa sesi latihan, Chin Bee berkata jurulatih dapat mengenalpasti tahap perkembangan kanak-kanak dengan mudah.

Antaranya, kebolehan mengenal pasti warna yang betul, fungsi pergerakan tangan kanan dan kiri, koordinasi mata dan tangan serta kemahiran mengendalikan bola tenis secara seimbang. Bukan semua yang mampu melakukannya dengan baik. Ada yang lambat dan terdapat kanak-kanak yang pantas membuat segala latihan.


PERSEKITARAN tempat bermain yang selesa menjanjikan keselamatan kanak-kanak tanpa mengundang sebarang kecederaan.


Setelah mengetahui kebolehan seseorang kanak-kanak, dia akan memberi latihan mengikut kemampuan mereka supaya dapat mempelajari dengan sempurna.

"Setiap sesi yang dijalankan kira-kira 45 minit itu bukan sahaja mengajar mereka tentang kemahiran bermain tenis pada masa yang sama menerap elemen komunikasi, bertolak ansur, kerjasama, bertanding secara sihat dan perkembangan otak kanak-kanak itu," kata wanita yang sentiasa mengikuti pelbagai kursus jurulatih yang berlangsung di luar negara untuk menimba teknik dan kemahiran mengajar kanak-kanak.

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak kecil tersebut memberitahu peranan sebagai ibu, isteri dan jurulatih tenis memang bukan satu tugas dan tanggungjawab yang mudah. Oleh sebab kariernya menuntut lebih masa dalam rutin harian, adakalanya dia kurang meluangkan masa bersama Hayden Khoo Menond, 5 dan Hayley Khoo Menond, 2.

Walau bagaimanapun, dengan suaminya. Suresh Menond, 45, juga terlibat dalam bidang yang sama apabila menjadi Pegawai Pembangunan Asia Persekutuan Tenis Antarabangsa, ia sedikit-sebanyak memudahkan Chin Bee menguruskan hal-hal keluarga.

Dia yang memulakan kerja sekitar pukul 7 pagi akan pulang ke rumah lewat malam untuk menguruskan anak-anak dengan bantuan seorang pembantu rumah.

Pada waktu senggang dia biasanya gemar membacakan buku-buku cerita kanak-kanak ataupun membawa anak-anaknya membeli-belah pada hujung minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: