Saturday, April 3, 2010

ICCI Pusat Komuniti Islam


ICCI Dublin yang menjadi tumpuan umat Islam beribadat dan menjalankan kegiatan sosial.


SETELAH dua kali bertukar bas dan melintasi kota Dublin yang penuh dengan kesibukan aktiviti harian dan jual beli, akhirnya saya bersama saudara Adi Rahman, Pengerusi Grup Penjejak Tamadun Eropah (GPTD-E) sampai ke kawasan Jalan Clonskeagh, Dublin 14.

Di pinggir Kota Dublin ini tersergam gah sebuah masjid terbesar di Republik Ireland yang juga merupakan Pusat Kebudayaan Islam Ireland (ICCI).

Memasuki pintu utama ICCI membuat perasaan dan hati bertambah gembira apabila masjid ini amat sibuk dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan keduniaan yang turut menggambarkan betapa hidupnya fizikal dan rohani masjid ini walaupun hari tersebut merupakan hari Sabtu iaitu hari cuti.

Pertemuan singkat bersama Setiausaha kepada Imam Masjid, Ali Salim merupakan satu detik yang amat penting kerana ia menambahkan lagi koleksi jaringan umat yang harus diterokai dan disambung oleh generasi muda seperti kami.

Akibat kesibukan melayan tetamu yang hadir kami tidak berkesempatan bertemu dengan Setiausaha Majlis Fatwa dan Kajian Eropah (ECFR) iaitu Sheikh Hussein Mohammed Halawa.

Inilah kehebatan ICCI apabila turut menempatkan pejabat rasmi ECFR yang bertujuan secara umumnya untuk mengumpulkan cendekiawan dan ulama Islam terutamanya yang menetap di Eropah. Juga mengeluarkan fatwa semasa yang menjawab segala persoalan umat Islam di Eropah; menghasilkan penerbitan berkaitan kajian undang-undang dan fatwa Islam; dan memberikan panduan kepada individu yang bekerja untuk Islam khususnya untuk menyebarkan konsep Islam sebenar dan fatwa.

Lebih menarik dan hebat, ECFR ini dipengerusikan oleh ulama tersohor dunia Islam yang menjadi penerima anugerah Maal Hijrah 1431 H Kerajaan Malaysia baru-baru ini, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan dibantu oleh Sheikh Faisal Mawlawi.

ECFR yang diilhamkan penubuhannya pada 1997 di London turut dibarisi oleh pemuka-pemuka ilmuwan Islam seperti Sheikh Abdul Raheem al-Taweel (Sepanyol), Sheikh al-Arabi al-Bichri (Perancis), Sheikh Dr. Mustafa Ceric (Bosnia), Sheikh Rashid al-Ghanoushi (UK), Sheikh Mahboubul Rahman (Norway) serta 29 lagi barisan cendekiawan yang mewakili pelbagai negara.

Lebih signifikan, ICCI bukan sahaja menjadi tempat ibadat khusus semata-mata malah ia juga merupakan tempat ibadat umum dengan pelbagai fungsi dan aktiviti.

ICCI juga mempunyai pejabat pentadbirannya tersendiri yang tersusun, pusat kebajikan komuniti, pusat dakwah, pusat kecemerlangan pendidikan, perpustakaan dan kutub khanah, pusat wanita dan belia. Oleh kerana itu saya menggelarkan ICCI ini sebagai pusat komuniti umat.

Kehadiran ICCI juga seharusnya memainkan peranan lebih besar dengan menjadi pusat mendidik umat Islam Ireland untuk menangani cabaran yang amat penting seperti disebutkan oleh Tariq Modood, Profesor Sosiologi, Politik dan Dasar Awam di Universiti Bristol iaitu isu kepelbagaian budaya yang mana umat Islam harus bijak untuk berintegrasi dan berpartisipasi sebagai penduduk dan rakyat dalam komuniti Eropah.

Usaha ini penting bagi menggambarkan umat Islam juga mempunyai hak dan peranan sebagai rakyat Eropah bukan sekadar berdiam diri dan reda atas apa sahaja yang diperlakukan oleh pihak pemerintah di Eropah dan Ireland khususnya.

Umat Islam Ireland dibentuk oleh komuniti pelbagai budaya merangkumi mereka yang berasal dari Pakistan, Malaysia, Somalia, Afrika Selatan, Nigeria, Algeria, Libya, Bosnia, dan Ireland sendiri.

Kedatangan umat Islam ke Ireland bermula sejak 1950-an iaitu para pelajar yang akhirnya berkahwin dengan penduduk setempat dan menetap di sana. Pertubuhan Islam pertama di Ireland adalah Pertubuhan Islam Dublin yang ditubuhkan tahun 1959 sehinggalah kejayaan umat Islam membeli satu hektar tanah yang dibiayai oleh Timbalan Pemerintah Dubai, Sheikh Hamdan al-Maktoum yang membawa kepada pembinaan ICCI.

ICCI kemudiannya dibuka secara rasmi dan bersejarah oleh Presiden Ireland pada ketika itu, Mary Robinson dan Sheikh Hamdan al-Maktoum pada 14 November 1996.

Sheikh Hamdan al-Maktoum juga dalam masa yang sama bermurah hati membiayai seterusnya kos pentadbiran, operasi dan penyelenggaraan ICCI. ICCI dibina oleh arkitek tempatan Ireland, Michael Collins & Associates yang kemudiannya mereka memenangi anugerah dari Institut Diraja Arkitek Ireland atas rekaan dan lakaran reka bentuk ICCI.

Setelah 14 tahun kemunculan ICCI di persada dakwah Eropah, ia terus aktif berfungsi dengan pelbagai kemudahannya seperti kedai buku, gimnasium, dewan serbaguna, restoran dan bilik seminar. Juga perkhidmatan seperti kuliah agama, pengendalian perkahwinan dan kematian dan pusat perterjemahan.

ICCI mengingatkan kita semula kepada Masjid Rasulullah yang dibawa atas dasar takwa dan multi-fungsi menatijahkan lahirnya gergasi-gergasi yang membuka dunia dengan cahaya keimanan. Semoga ICCI terus berperanan dalam menyebarkan mesej rahmat ke segenap pelosok Ireland dan Eropah khususnya. ICCI boleh dilayari di www.islamireland.ie.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: