Wednesday, April 14, 2010

2 rakyat Malaysia curi RM150j ditahan

KUALA LUMPUR 13 April - Setelah bertahun-tahun usaha memburu mereka menemui kegagalan, dua lelaki rakyat Malaysia yang paling dikehendaki oleh polis Australia kerana terlibat mencuri wang dari mesin pengeluar automatik (ATM) bank di negara itu, akhirnya berjaya ditangkap.

Mereka diburu pihak berkuasa Australia setelah dikesan mencuri wang berjumlah kira-kira 50 juta dolar Australia (A$) iaitu hampir RM150 juta dari berpuluh-puluh mesin ATM di negara berkenaan.

Suspek yang kini bertaraf jutawan merupakan antara anggota kumpulan sindiket yang aktif mencuri wang dari mesin ATM bank terkemuka di negara itu menggunakan kad ATM curi yang dipalsukan.

Mereka dikatakan melakukan jenayah tersebut sejak bertahun-tahun lalu.

Perbuatan licik mereka berakhir selepas pihak berkuasa Australia memberkas salah seorang suspek berusia 24 tahun di Lapangan Terbang Darwin pada malam Ahad lalu.

Ketika ditahan, lelaki terbabit dipercayai sedang menunggu penerbangan untuk meninggalkan Australia.

Sumber di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memberitahu, suspek ditahan oleh pegawai penguat kuasa di lapangan terbang itu selepas identitinya dikenal pasti.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut ke atasnya, polis mendapat maklumat mengenai seorang lagi rakannya yang turut terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut.

"Berdasarkan maklumat itu, polis berjaya memberkas suspek kedua di Lapangan Terbang Sydney pagi semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh polis Australia bahawa kedua-dua suspek menduduki carta teratas orang paling dikehendaki di negara berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket terbabit mengambil kesempatan mencuri maklumat daripada kad ATM mangsa semasa mereka berkunjung di sebuah restoran makanan segera di New South Wales.

"Suspek dipercayai akan mencuri maklumat pada kad ATM atau kad kredit mangsa sewaktu mereka membuat pembayaran.

"Mereka kemudian menggunakan peralatan khas untuk mencuri data yang disimpan dalam jalur magnetik di belakang kad ATM atau kad kredit terbabit sebelum memindahkan maklumat itu kepada kad palsu dan mengeluarkan wang daripada akaun mangsa," jelasnya.

Kata sumber itu lagi, dalam tempoh lebih setahun sahaja, kumpulan sindiket dapat mengumpul hampir RM150 juta daripada kegiatan haram berkenaan.

"Berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa, polis Melbourne yang menjalankan siasatan akhirnya berjaya mengenal pasti identiti kedua- dua suspek.

"Identiti mereka kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa di semua lapangan terbang negara itu bagi membantu mengesan mereka," katanya.

Menurut sumber, kedua-dua suspek kini ditahan sementara menunggu untuk didakwa di mahkamah.

Selain New South Wales, katanya, suspek turut dikesan pernah mengeluarkan wang di beberapa mesin ATM di Southland, Springvale, Carnegie, Keysborough dan Toorak.

Tambah sumber itu, pihaknya kini masih menunggu laporan lanjut daripada polis Australia berhubung penahanan dua lelaki dari Malaysia itu bagi membolehkan saki baki anggota sindiket yang dipercayai berada di negara ini dapat diberkas.

Kedua-dua suspek bagaimanapun bukanlah rakyat Malaysia pertama ditahan oleh polis Australia kerana terlibat dalam sindiket pemalsuan kad ATM atau kad kredit.

Pada Februari lalu, seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara oleh kerajaan Australia selepas didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad kredit berjumlah A$400,000 (RM1,196,029) bagi menipu sebuah gedung beli-belah terkemuka di negara berkenaan.

Akhbar Australian Associated Press melaporkan, Goh Ching Boon, 25, mengaut keuntungan lebih A$225,000 (RM672,869) melalui kegiatan jenayahnya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: