Saturday, April 3, 2010

10 tahun derita banjir kilat

SELAYANG: Penduduk di kawasan perumahan Selayang Baru di sini, diselubungi derita apabila masalah banjir kilat yang melanda kawasan itu setiap kali hujan lebat sejak 10 tahun lalu bagaikan tiada kesudahan.

ROSAK...Lau Koi menunjukkan bilik tidurnya yang dipenuhi lumpur.
ROSAK...Lau Koi menunjukkan bilik tidurnya yang dipenuhi lumpur.
PERLU DIBAIKI...Subahan (empat dari kanan) bersama penduduk  meninjau longkang yang rosak.
PERLU DIBAIKI...Subahan (empat dari kanan) bersama penduduk meninjau longkang yang rosak.
Malah, kejadian terburuk berlaku Rabu lalu menyebabkan pemilik lebih 1,000 kediaman di taman itu dan beberapa taman lain yang terjejas tidak menang tangan membersihkan rumah, selain kesal kerana ada barangan mereka yang rosak dan terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Selayang Baru, Mohd Riduan Jamaludin berkata, banjir dipercayai berpunca daripada sistem perparitan di kawasan perumahan itu yang cetek dan gagal menampung air menyebabkan penduduk terpaksa bersengkang mata membersihkan rumah yang berlumpur selepas air surut.


“Lebih menambah derita, projek pembangunan di Bukit Kota berhampiran taman ini turut menjadi punca banjir kilat kerana sistem perparitan tidak sempurna selain longkang besar yang sudah rosak dipenuhi sampah dan bongkah batu menyebabkan air tidak dapat mengalir.


“Dalam kejadian baru-baru ini, hampir semua penduduk berputih mata melihat kerosakan perabot dan peralatan elektrik akibat banjir yang hampir menenggelamkan kenderaan penduduk,” katanya.


Penduduk, Mohd Salleh Othman, 60, berkata, dia menetap di kawasan perumahan itu sejak 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu masalah banjir kilat di situ berlarutan. “Pihak bertanggungjawab berjanji selesaikan masalah ini, namun ia hanya sekadar omong kosong. Masalah ini seolah-olah tidak diendahkan dan kami terasa seperti dianaktirikan,” katanya.

Bagi Sulaiman Hijaz, 55, masalah banjir kilat bukan saja membebankan malah menimbulkan beberapa masalah lain kepada penduduk termasuk berdepan penyakit berbahaya seperti denggi.


“Saya percaya masalah ini akan terus menjadi beban kepada penduduk jika pihak berkuasa masih mengamalkan sikap sambil lewa dan tidak prihatin terhadap kesulitan penduduk.


“Kami sentiasa gelisah memikirkan bilakah masalah ini akan selesai,” katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal, ketika mengulas masalah penduduk itu mengakui isu banjir kilat sekitar kawasan terbabit sudah lama berlarutan.


Beliau yang melakukan lawatan ke kawasan terjejas itu semalam berkata, isu sama bukan saja dihadapi di Jalan 30 Selayang Baru, tetapi juga di perumahan lain seperti Selayang Indah dan Selayang Pandang.

“Isu banjir kilat di Selayang ini memang agak serius dan amat mendukacitakan apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) gagal mengatasi masalah ini seperti dijanjikan.


“Sepatutnya, usaha menaik taraf longkang monsun berhampiran oleh pihak JPS sudah dimulakan Februari lalu, tetapi tanpa alasan munasabah projek berkenaan terbengkalai sekali gus memburukkan lagi masalah banjir kilat di sini,” katanya.


Sebelum ini, beliau difahamkan Jurutera Daerah JPS terbabit bahawa kertas kerja tender untuk menaik taraf longkang itu sepatutnya sudah siap Disember lalu manakala pembinaannya dijangka dilaksanakan pada Februari.


“Justeru, kami menggesa pembinaan itu dapat disegerakan pihak JPS dan pihak MPS seharusnya turun padang melihat sendiri punca masalah berlaku. Jangan hanya berpeluk tubuh tanpa sebarang tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: