Wednesday, March 17, 2010

Wanita HIV Zimbabwe tuntut pembelaan


Wanita Zimbabwe yang menghidap HIV positif kerap menjadi mangsa penderaan dan disisihkan masyarakat.


SEJAK disahkan menghidap HIV positif kira-kira enam tahun lalu, Cecilia Chinhamo bukan saja terpaksa berjuang melawan penyakit tersebut malah berdepan dengan penderaan mental daripada suaminya sendiri.

"Suami saya sering memaki dan memanggil saya mayat hidup. Saya hanya mampu menangis. Apa lagi yang saya mampu lakukan," kata wanita berusia 30 tahun itu ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Harare, ibu negara Zimbabwe.

Seperti kebanyakan wanita Zimbabwe yang menghidap HIV, Chinhamo bergelut untuk meyakinkan suaminya untuk turut menjalani ujian atau menggunakan kondom sebagai langkah keselamatan.

Pada sama dia juga diburu kebimbangan mengenai nasib dan masa depan anak perempuannya yang berusia empat tahun.

"Masalahnya suami saya beranggapan dia sihat. Dia enggan menjalani ujian dan bertegas menyatakan dia negatif. Ada masanya dia bersetuju menggunakan kondom, tetapi selalunya payah," katanya.

Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Chinhamo terpaksa juga berkerja untuk menyara hidup dengan menjual sayur di Chitungwiza, di pinggir Harare.

Sesekali dia mendapat bantuan kiriman dari adik perempuannya yang berkerja di sebuah bank di negara jiran, Afrika Selatan.

Mengikut statistik kerajaan, daripada 1.6 juta rakyat Zimbabwe yang menghidap HIV, lebih 55 peratus adalah wanita.

Begitupun menurut Carol Mubira, dari pasukan penyelidik International Treatment Preparedness Coalition (ITPC), penderitaan wanita biasanya berganda bukan saja disebabkan penyakit tersebut tetapi juga akibat penderaan daripada pasangan hidup dan disisihkan daripada masyarakat.

Kumpulan Mubira membuat kajian tentang keadaan hidup wanita yang menghidap HIV di Argentina, Kemboja, Moldova, Maghribi, Uganda dan Zimbabwe.

Hasil penemuan mereka yang dibentangkan dalam satu persidangan di Harare baru-baru ini mendapati, pelbagai usaha yang dilakukan untuk menghalang merebaknya HIV sedikit sebanyak turut mendatangkan masalah kepada wanita, yang selalunya jarang memberitahu sesiapa mereka menghidap penyakit tersebut.

"Dalam kes tertentu wanita yang disebabkan status HIVnya tidak dapat menyusukan bayi, dilabel sebagai wanita jahat oleh keluarga mertua kerana mereka tidak memahami bahawa ibu boleh memindahkan penyakit tersebut kepada anak," katanya.

Menurut Mubaira, dalam hal berkaitan adat dan budaya, wanita yang tidak menyusukan anak dianggap sebagai wanita sihir.

Wanita ini akan dipulaukan oleh saudara mara dan masyarakat. Wanita HIV positif terus menjadi mangsa stigma masyarakat yang tidak memahami penyakit tersebut.

Pelan AIDS Kebangsaan Zimbabwe bagi 2010 menyebut wanita dan gadis adalah golongan paling terdedah dengan penyakit tersebut.

"Mereka mungkin terpaksa akur kepada keadaan dengan melakukan hubungan sek yang tidak selamat.

"Peningkatan tahap kemiskinan juga telah menjerumuskan wanita-wanita ini ke kancah pelacuran manakala golongan lelaki bebas bertukar-tukar pasangan termasuk di kalangan pekerja seks," katanya.

Kekurangan ubat anti-retroviral (ARV) bagi merawat penyakit tersebut menyebabkan orang ramai tidak mahu mendedahkan status HIV mereka.

Zimbabwe mengenakan levi AIDS ke atas gaji pekerja dan menggunakan wang tersebut bagi membantu memerangi penyakit tersebut.

Bagaimanapun dengan kadar pengangguran sekitar 85 hingga 90 peratus, wang yang dikutip tidak cukup untuk memenuhi keperluan program tersebut.

Kerajaan juga menggunakan sebahagian daripada Cukai Tambah Nilai untuk mengimport ubat-ubatan yang berharga AS$18 hingga AS$80 (RM63 - RM280) untuk bekalan sebulan bagi seorang pesakit.

Bagaimanapun, seorang pekerja awam hanya memperoleh kira-kira AS$150 (RM525) sebulan.

Ketika ini terdapat 180,000 pesakit menerima rawatan perubatan daripada program kerajaan walaupun pakat menyatakan lebih 600,000 orang masih memerlukan rawatan itu.

"Menjelang hujung tahun ini kami harap lebih 300,000 orang mendapat faedah daripada program ARV ini. Kami telah berbincang dengan beberapa pertubuha, tetapi untuk mengatasi kekurangan ARV mungkin mengambil masa ," katanya Menteri Kesihatan Zimbabwe, Henry Madzorera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: