Thursday, March 4, 2010

Teater fahami falsafah Minang


BARISAN pelakon Teater Muzikal Teratak Minang.

Langkah Den Wahab dan Istana Budaya perkukuh nilai jati bangsa serumpun

AKHIR-akhir ini Malaysia dan Indonesia sering dibelenggu isu mengenai ketuanan budaya khususnya beberapa budaya yang dibawa bersama suku yang berhijrah ke Tanah Melayu.

Salah faham berlaku mengenai warisan budaya dan ia melampaui batasan sempadan negara terutama negara serumpun Indonesia. Segelintir masyarakat yang tidak faham dan berfikiran negatif menyebabkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia terganggu walaupun bukan di tahap yang serius.


Lantas, pelbagai langkah diambil kerajaan bagi meredakan salah faham antara dua negara ini termasuklah melalui cabang seni yang dilihat lebih halus dan beradab.


Inisiatif syarikat penerbitan Global Network Entertainment Sdn Bhd (GNE) dengan kerjasama Istana Budaya (IB), Teater Muzikal Teratak Minang menjadi perantara terbaik mengangkat kedua-dua budaya negara ini sebagai satu budaya serumpun yang tidak boleh dipisahkan.

Pengarah Urusan GNE, Den Wahab berkata, teater ini merujuk kepada pautan budaya Melayu dan Minangkabau dari Sumatera Barat Indonesia sukar untuk memisahkan apatah lagi memutuskan ketuanan budaya itu.


“Seperti mana yang kita tahu, ketamadunan dulu kala tidak dibatasi garis sempadan negara ini disebabkan penghijrahan manusia dari suatu tempat ke tempat yang lain. Penghijrahan ini membawa bersama adat, budaya, keturunan dan cara hidup yang dipraktikkan dan sukar untuk dipisahkan lagi.

“Teater ini juga bertujuan berkongsi nilai positif dari budaya, pepatah dan falsafah Minang bagi memperkukuhkan nilai jati bangsa serumpun melalui budaya dua hala dengan fokus terhadap satu etnik iaitu Minangkabau,” katanya yang juga bertujuan mengutip dana bagi mengisi Tabung Bencana Gempa Bumi di Padang, Indonesia.

Teater Muzikal Teratak Minang yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 April depan adalah salah satu pengisian yang menghiasi kalendar IB dalam slot Salam Serumpun.

Teater ini adalah cetusan idea Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika kunjungannya ke Padang, Indonesia menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi tahun lalu.

Menurut Den, kesinambungan dari cabaran dan sahutan menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim termasuk Ketua Pengarah IB, Muhammad Juhari Saarani, teater ini akan direalisasikan dengan restu dan sokongan mereka.

“Teater ini berkonsepkan teater moden berunsurkan falsafah dan budaya Minangkabau yang memaparkan kesamaan dalam perbezaan budaya Negeri Sembilan setelah proses evolusi budaya berabad lamanya.

“Ia akan mengambil masa masa selama satu jam 45 minit yang akan diiringi 30 pemuzik secara langsung di bawah pimpinan Pengarah Muzik Pak Ngah. Disamping itu juga, penari dari Artistana IB dan kumpulan Laman Marawa pimpinan Pak Din dari Ulu Beranang serta kumpulan tari Sofyani Group Dance dari Indonesia serta membariskan enam pelakon negara ini dan enam pelakon Indonesia,” katanya.

Pelakon negara ini terdiri daripada Razali Hussin, Ally Noor, Mastura, Ebby Yus, Razali Buyung dan Datin Rosnani Jamil. Sementara pelakon Indonesia seperti Eddy Silitonga, Elly Kasim, Hengky Zubir, Nadia Rosadi, Sanggar Budaya Soyani Dance Group dan Trio Ganto Rio.

“Besarlah harapan kami agar kerajaan Negeri Sembilan dan badan korporat tampil menghulurkan sumbangan bagi memantapkan lagi persembahan teater ini secara tidak langsung membantu kerajaan memperkasakan budaya tempatan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Pelakon, Razali Hussin berkata, biarpun negeri asalnya Pulau Pinang, namun watak sebagai Uda yang akan menggunakan dialek Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah baginya.

“Sebelum ini juga saya pernah melakonkan beberapa watak yang menggunakan dialek Negeri Sembilan dan Insya-Allah saya mampu melakukannya. Dialek Negeri Sembilan dan Minang walaupun sesekali dengar tidak jauh bezanya namun ia tetap mempunyai maksud yang lain dari segi sebutan.

“Namun di dalam teater ini juga saya diminta untuk menyanyi dua atau lebih lagu Minang termasuk menari dan bersilat,” katanya.



Sinopsis

---------



Buyung anak kelahiran Padang, Indonesia melahirkan hasrat untuk merantau. Dia bercita-cita mencari rezeki di tanah Malaysia. Perasaan ingin merantau kian membara agar gadis Minang yang dicintai, Siti Nurbahyah dapat disunting. Sebagai tradisi, anak muda Minang disaran agar merantau ke negara orang untuk menimba ilmu, pengalaman supaya pulang nanti menjadi orang yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Sesampai saja di Malaysia, Buyung tinggal di rumah bapa saudaranya Pak Wahab adik kepada ibu Buyung. Pak Wahab sudah lama tinggal di negara ini bersama sahabatnya Ujang dan mengusahakan perniagaan sendiri. Buyung membantu perniagaan Pak Wahab. Cinta Buyung kepada Siti Nurbahyah semakin mendalam. Rindunya tidak terkira sehinggalah terzahir berita yang meluluhkan rasa seluruh jiwa apabila Siti Nurbahyah akan dinikahi atas permintaan bapanya. Buyung kehilangan punca, harta yang dikumpul tidak bererti lagi. Lisa gadis tempatan yang sering ditemui di pasar malam setiap hari berjaya membalut cinta luka Buyung.

INFO: Pementasan Teater Muzikal Teratak Minang

  • Pementasan pada 16 hingga 18 April ini bermula jam 8.30 malam di Panggung Sari Istana Budaya.

  • Teater ini bakal dilakonkan oleh enam pelakon utama dari Malaysia dan enam Indonesia seperti Razali Hussin, Ally Noor, Mastura, Ebby Yus, Razali Buyung dan Datin Rosnani Jamil. Sementara pelakon Indonesia seperti Eddy Silitonga, Elly Kasim, Hengky Zubir, Nadia Rosadi, Sanggar Budaya Soyani Dance Group dan Trio Ganto Rio.

  • Teater arahan dan karya Lokman Ghani akan diserikan dengan lebih 20 lagu Minang dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Pak Ngah.

  • Tiket mulai dijual bermula 12 Mac ini dengan harga bermula RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 yang boleh didapati dengan menghubungi Tiket2u 03-4026 5558 atau di Box office Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: