![]() Melly Goeslow |
LUCU apabila komposer wanita terkenal Indonesia, Melly Goeslow membuka rahsia bagaimana dia mendapat ilham ketika menghasilkan lagu. Sejak berjinak dengan dunia penciptaan lagu, fesyen dijadikan wanita itu sebagai inspirasi dalam berkarya. Justeru, tidak hairan dia sering berpenampilan pelik tidak kira sama ada di dalam video klip ataupun ketika menghadiri sebarang acara.
Wanita berusia 36 tahun yang banyak mencipta lagu berhantu seperti Jika, Menghitung Hari dan banyak lagi itu gemar menyelak majalah fesyen, internet serta menonton pertunjukan fesyen di waktu senggang bagi mendapatkan ilham.
Namun itu bukanlah fokus utama kami ketika menemuramah penyanyi ini menerusi telefon. Namun maklumat itu cukup menarik untuk dikongsikan dengan peminatnya. Soalan kami sebenarnya lebih menjurus kepada kisah skandalnya dengan seorang pegawai polis yang sudah berumahtangga yang kini menjadi topik hangat di Indonesia. Tetapi soalan itu kami ajukan di hujung perbualan kerana tidak mahu mood Melly berubah tiba-tiba kerana ada yang mengatakan dia seorang ‘moody’.
Penyanyi dan komposer yang sudah pun memiliki dua cahaya mata ini tidak mahu memberi sebarang komen lanjut. Cukup jika dia menyerahkan semua itu kepada peminat untuk mentafsir sendiri gosip hangat itu.
“Setiap manusia diberikan akal dan hati, itulah yang mereka harus pakai. Bagi saya, membuang waktu saja untuk berbicara atau berbahas mengenai perkara itu. Banyak lagi perkara lain yang boleh dibincangkan daripada mengikut hati. Di Indonesia, gosip memang cukup menyedihkan tetapi sudah berjaya saya tangani.
“Saya serahkan kepada peminat untuk mentafsir. Saya tidak suka terlalu memikirkan mengenai gosip. Bagi saya ia hanyalah umpama masuk telinga kiri dan keluar di telinga kanan. Sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia, saya tidak pernah punya niat untuk menjawab mengenai gosip ini,” kata Melly.
Kata penyanyi itu, dia dan suaminya Antoe Hoed langsung tidak pernah membincangkan mengenai gosip berkenaan kerana menyifatkan hubungan mereka sebagai aneh. Bagaimanapun, sehingga kini iaitu setelah 15 tahun bergelar suami isteri, Melly mengakui rumah tangga mereka masih lagi bahagia.
Kunci kejayaan kepada kerukunan rumah tangga kata pencipta lagu runut bunyi Ayat Ayat Cinta itu adalah komunikasi.
“Ribut dalam rumah tangga pasti ada. Setiap suami isteri itu harus mempunyai komunikasi yang baik sebagai kunci kepada kebahagiaan rumah tangga,” kata Melly lagi yang sekali lagi diberi kepercayaan menghasilkan runut bunyi untuk filem Ketika Cinta Bertasbih.
Lagu berkenaan yang didendangkan bersama Amee kini sedang ligat diputarkan di corong radio. Sering kali diberi kepercayaan menghasilkan album runut bunyi hingga diberi jolokan komposer soundtrack, Melly berkata semuanya berlaku secara kebetulan, namun dia masih tidak lupa dengan penghasilan albumnya sendiri.
Baru saja tampil dengan album mini berjudul Glow penghujung tahun yang lalu, penyanyi ini memberitahu dia tidak mempunyai sebarang alasan kenapa sudah hampir tiga tahun tidak tampil dengan album solo.
“Saya tidak mempunyai sasaran setiap tahun harus keluar dengan album. Saya lakukan mana yang termampu, jika diberi tanggungjawab menghasilkan soundtrack maka saya akan mendahulukan kerja itu.
“Sering terikat dengan penghasilan soundtrack tidak bermakna saya tidak lagi menghasilkan album untuk diri sendiri. Saya masih lagi berkarya untuk diri sendiri, baru saja tampil dengan album Glow, album penuh saya bakal menyusul tidak lama saja lagi.
“Saya membuat soundtrack kerana adanya penawaran dari pihak mereka, jika ada yang mahu, saya akan buat. Tetapi jika ada filem yang saya kurang mampu untuk lakukan, saya akan menolaknya” kata Melly
Berkarya untuk album dan soundtrack ujar penyanyi ini adalah dua perkara yang berbeza. Menghasilkan album biasa membolehkan dia berimaginasi, tetapi jika menghasilkan soundtrack pula, dia perlu memahami jalan ceritanya.
Justeru, setiap kali menghasilkan soundtrack, dia akan duduk berbincang bersama pengarah dan juga kru untuk mengetahui kisah filem itu dengan lebih mendalam bagi memberinya idea untuk menghasilkan lagu yang baik. Setakat ini, komposer itu sudah terbabit di dalam tujuh buah soundtrack filem antaranya Ada Apa Dengan Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan banyak lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: