Thursday, March 25, 2010

Semuanya demi keluarga - Dr. Fazley


GAMBAR Fazley ketika menimang cahaya mata kedua.


TIDAK mengenal erti penat dan lelah. Itu yang dapat disimpulkan terhadap perunding motivasi, penulis, usahawan, pengacara, penyanyi, pelakon dan juga model terkenal bernama Dr. Fazley Yaakob.

Masakan tidak, dalam satu masa, semua beban tugas yang dipikulnya itu berjalan seiringan di samping mendukung tanggungjawab sebagai anak, bapa dan juga suami.

Terbaru, Fazley yang bakal memasuki usia 32 tahun menerima perkhabaran gembira apabila isterinya, Azrene Soraya selamat melahirkan putera kedua mereka, pagi Ahad lalu.

Pertambahan ahli keluarga itu diakui olehnya sebagai satu tanda bahawa dia perlu bekerja lebih keras demi masa depan dirinya dan keluarga.

"Tanggungjawab makin besar. Pastinya saya akan bertambah sibuk selepas ini. Dengan kelahiran anak yang kedua ini, saya sememangnya berdebar. Kalau dahulu, kami sudah biasa hidup berdua bersama Payish (anak lelaki sulungnya bernama Ahmad Fariedz Shah).

"Kini, kami akan membiasakan diri pula dengan kelahiran anak kedua,'' kata Fazley saat menceritakan perihal perkembangan hidupnya ketika ditemui di majlis pelancaran kamus elektronik Besta tribahasa, Besta MD622 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini merupakan tahun keempat Fazley menjadi jurucakap produk kamus elektronik Besta.

Besta MD622 dimuatkan dengan Kamus Oxford Fajar Inggeris-Melayu, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Dewan edisi keempat, Kamus Arab-Melayu/Melayu-Arab, Kamus Perdana, Kamus 11 Bahasa, Kamus Animasi, Kamus Sains dan Matematik, Ensiklopedia Britannica serta Kamus Slanga.

Ia menjadikan Besta MD622 lebih komprehensif dengan kosa kata berjumlah lebih 700,000 berserta suara dalam 12 bahasa asing.

Ahad lalu, Fazley dikurniakan cahaya mata kedua yang diberi nama Fieradz atau nama timangannya Piyash. Bayi seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan di sebuah hospital swasta di ibu negara menerusi pembedahan.

Kelahiran Piyash memberi inspirasi kepada Fazley untuk melengkapkan lagu yang dia ciptakan khas buat anak-anaknya, Lagu Dari Papa.

Lagu Dari Papa merupakan salah satu lagu dalam album terbarunya yang bakal dilancarkan April ini.

Menyambung perbualan di pertemuan itu, Fazley berkata, selain sibuk di lapangan seni, perunding motivasi dan model, dia kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah buku tulisannya yang kedua.

Buku tersebut berjudul Think You Can, Think You Can't, Either Way You Are Right : How Efficacious Are You?.

Kata Fazley, buku berkenaan dijangka dipasarkan sekitar Oktober nanti dan sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat usia.

"Buku ini memberi panduan tentang hala tuju diri kita. Setiap kejayaan yang ingin ditempuh adalah bermula dari pemikiran kita sendiri.

"Lebih kurang begitulah apa yang hendak saya sampaikan menerusi buku itu,'' jelasnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

Kembali aktif menyanyi

Sementara itu, diajak berbual mengenai kesibukan yang menyelimutinya, Fazley memberitahu, dia kini kembali aktif menyanyi selepas lebih setahun berhenti daripada terlibat dalam bidang nyanyian.

Kini Fazley mula sibuk mempromosikan single terbarunya berjudul Superhero yang digubah oleh Ajai manakala lirik oleh Fazley sendiri.

"Saya berhenti menyanyi kerana mahu tumpukan kepada bidang pengacaraan di televisyen. Baru-baru ini saya diundang menjadi pengacara untuk sebuah program bual bicara Suara Siswa yang disiarkan di TV1.

"Saya juga turut mengacarakan program Catur Bistari di samping menjadi perunding motivasi untuk Akademi Fantasia musim kelapan (AF8),'' ujar artis serba boleh ini lagi.

Ditanya tentang program motivasi kelolaannya pula, jelas Fazley, adakalanya dia terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk mengendalikan program berkenaan di Singapura atau Brunei.

"Seminggu sekali saya terpaksa terbang sama ada ke Singapura atau Brunei. Tetapi, saya kena pilih antara satu. Alhamdulillah rezeki makin bertambah.

"Kesibukan juga makin bertambah. Kena tahu bagaimana hendak uruskan masa dengan baik,'' tambahnya.

Begitulah Fazley, artis yang boleh dibanggakan kerana sentiasa berani tampil dengan sesuatu yang baru untuk menjayakan diri dan keluarga.

Namun, bagi Fazley, kejayaan bukanlah mudah untuk dijana andai tampil dengan usaha yang ala kadar sahaja.

1 comment:

  1. aku memang kagum dengan fazley ni. macam-macam tugas yang dapat dipengangnya.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: